Fara Fauzana masih Fafau



RAMADAN sarat dengan rahmat Allah malah kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu. Bagi umat Islam, Ramadan bulan melipatgandakan ibadah. Malah, penganut agama lain di negara ini turut bergembira terutama dengan kemunculan bazar Ramadan yang ibarat syurga juadah.

Namun, buat penyampai radio popular Fara Fauzana, dia mahu memakmurkan Ramadan seperti yang dilakukan kebanyakan orang.

"Setiap kali Ramadan, kalau boleh saya hanya mahu beribadat. Tetapi karier begini tidak mengizinkan saya menolak undangan di samping perlu terlibat dengan acara radio dan televisyen.

"Bagaimanapun, kali ini saya juga mahu sibukkan diri dengan aktiviti surau dan masjid termasuk menyediakan moreh selepas tarawih. Saya nak merasa suasana begitu," ungkap anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini saat ditanya tentang kemahuan hatinya kala ini.






Jujurnya kata Fara, dia tiada pengalaman zaman kanak-kanak yang menyeronokkan berkaitan aktiviti surau sepanjang bulan puasa.

"Saya membesar di Shah Alam, ibu bapa saya bekerja. Mungkin sebab itu saya tidak merasa suasana seronoknya pergi ke masjid dengan kawan-kawan semasa kecil. Apa yang saya ingat tentang puasa ketika itu cuma bazar Ramadan.

"Jadi harap-harap, misi saya tahun ini akan menjadi, doakan yang terbaik," beritahu anak kedua daripada tiga beradik ini tanpa berat hati.

Selain tugas di konti Hot FM serta beberapa komitmen lain termasuklah terlibat dalam kempen Seindah Ramadan TV3, pengacara Nona itu juga sudah diikat untuk tidak ke mana-mana menjelang malam raya.

Terbuka hati

"Awal-awal lagi nama saya sudah disenaraikan untuk program Salam Raya. Nasiblah. Sudah namanya bujang, tinggal pula di Shah Alam. Rasanya selagi saya belum kahwin, memang itulah gayanya," jelas Fara yang baru selesai menjalani episod Nona istimewa raya di TV3.

Sepanjang tempoh 10 hari hilang dari konti radio baru-baru ini, Fara turut menjayakan sesi ramah mesra bersama peminatnya di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Ahad minggu lalu.



Tampil dengan imej berselendang sejak Februari dan kemudian perlahan-lahan mencari kesempurnaan dalam berhijab, secara mudahnya, Fara kini bukan sekadar berubah dari segi luaran. Dia juga sedang mengamati perubahan dalaman secara beransur-ansur.

Sudah banyak kali Fara memberitahu, perubahan itu bukan disebabkan dia sedang bersiap sedia untuk memasuki gerbang perkahwinan. Wanita berumur 34 tahun itu tidak mahu lagi kisah hijabnya menjadi fokus berita hiburan.

Barangkali Fara merasakan perubahan itu tidak perlu dicanang lagi yang akhirnya nanti boleh mendatangkan perasaan yang tidak baik.

"Saya tidak kisah apa yang orang luar akan cakap tentang saya. Saya cuma risaukan diri sendiri. Saya bimbang akan timbul riak.

"Tapi sejak bertudung, saya perasan satu perkara baharu iaitu saya rasa lebih dihormati, maksudnya lebih dihormati sebagai Muslimah," jelas Fara.

"Sekarang saya banyak melihat perkara yang selama ini saya nampak tetapi tidak dilihat dengan mata hati," katanya.

Bermula dengan selendang nipis untuk mendekatkan diri ke arah bertudung, Fara memilih untuk beristiqamah. Kini, dia sudah bertudung penuh. Cuma semasa fotografi ini dijalankan, Fara mengenakan turban.

"Rasanya tak perlu untuk saya menjelaskan perkara itu secara berlebihan. Saya juga tak tahu macam mana nak beri penjelasan lagi," katanya dari hujung talian.

Fesyen hijabista

Merancakkan tradisi dan persediaan menyambut Hari Lebaran, Farah Fauzana Mohd. Fadzil yang mudahnya digelar Fafau itu turut menjadi fokus fesyen.

Fesyen Muslimah, moden atau tradisi yang menjadi pilihan setiap kali tibanya Aidilfitri membuka lebih banyak peluang kepada pereka fesyen tempatan untuk memperkenalkan koleksi terbaharu mereka.


IMEJ muslimah memberi kelebihan buat Fara apabila dipilih menjadi wajah koleksi Aidilfitri FF by Maganda.

Menyelak buku baharu, Fara yang selama ini sering menggayakan rekaan para pereka fesyen turut dipilih menjadi wajah jenama atau dikenali sebagai muse untuk koleksi Aidilfitri FF by Maganda daripada Syed Faizal Syed Noh.

"Alhamdulillah peluang sebegitu memihak kepada saya.

"Syed Faizal memberi peluang agar saya berkongsi koleksi pakaian yang saya gayakan dalam Nona untuk diperagakan kepada penggemar fesyen khususnya wanita," jelas Fara yang turut mendapat khidmat nasihat daripada Syed Faizal dalam aspek penataan gaya dan solekannya.

Mengakui bukanlah tergolong dalam kalangan selebriti yang stailo dalam pemilihan fesyen, imej berhijab yang dibawanya kini tidak semestinya melayakkan dirinya digelar hijabista.

"Hijabista atau tidak, rasanya saya masih terlalu baharu. Saya tak tahu sama ada saya layak ke tidak untuk termasuk dalam golongan hijabista.

"Bagi saya hijabista istilah untuk mereka yang sangat stailo walaupun bertudung. Saya hanya mengikut tuntutan yang sepatutnya sahaja, insya-Allah. Doakan yang terbaik untuk saya," katanya.

Tidak berani memberi sebarang komen mengenai fesyen hijabista yang semakin popular, Fara berasakan dia masih dalam fasa menyesuaikan diri.

"Saya bersyukur dan sangat gembira dengan pembawaan diri ketika ini. Contohnya, ketika bersama pasukan Nona, mereka sangat memahami dan menyokong penampilan saya.

"Setakat ini tiada siapa yang mempertikaikan kenapa saya perlu bertudung atau sebagainya.

"Saya juga mendapat bantuan daripada rakan-rakan khususnya sahabat penyampai di Hot FM, Sharifah Aleya. Katanya, dia bosan tengok cara pemakaian selendang saya.

"Sampai sekarang saya masih ikut cara ikatan selendang yang Aleya ajar kepada saya," ujarnya ceria.

Ternyata, dia masih si Fafau yang sarat perwatakan ceria dan gila-gila walaupun sudah bertudung.

Sempena Ramadan, Fara memohon kemaafan daripada semua pendengar Hot FM, pengikutnya di laman sosial serta mereka yang mengenali Fara Fauzana.

"Maafkan saya andai ada yang terasa hati atau apa sahaja yang menyakiti kalian sebelum ini. Semoga Ramadan kita lebih diberkati dan dipermudahkan. Insya-Allah," tutup Fara.
Previous Post Next Post