Farish bersamba di Brazil



SUKAN bola sepak mampu mengumpul orang ramai tanpa mengira bangsa dan negara.

BERCAKAP pasal bola sepak tentu peminat sukan tersebut, tika ini sibuk bercerita soal perlawanan Bola Sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung meriah di Brazil. Menjadi antara sukan paling diminati, tentunya Piala Dunia sentiasa ditunggu peminat sukan ini di seluruh dunia.

Berlangsung hanya empat tahun sekali, setiap kali Piala Dunia diadakan ribuan penyokong setiap negara akan berkumpul di lokasi penganjuran dalam memastikan untuk melihat sendiri pasukan bola sepak negara mereka beraksi.

Namun tidak semua peminat bola sepak itu hanya mewakili negara masing-masing, ada sesetengah darinya juga tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman Piala Dunia itu sendiri. Antaranya adalah penyampai radio Suria FM Sabah, Farish Aziz.

Bercerita mengenai pengalamannya di sana menurut Farish atau nama sebenarnya Mohd. Farish Aziz Sulaiman, 30, sukar untuk menggambarkan kegembiraannya sepanjang berada di Brazil. Bagaimanapun dia pasti setiap peminat bola pastinya mempunyai impian yang sama untuk menyaksikan sendiri Piala Dunia di Stadium.






"Saya menaiki penerbangan selama 16 jam untuk ke Brazil pada 9 Jun lalu. Selama seminggu di sana jujur saya katakan memang berbaloi.

"Kita tahu sendiri Brazil dan bola begitu sinonim jadi memang ada yang berbeza sambutan Piala Dunia di sini. Sepanjang sebulan Piala Dunia berlangsung, Brazil bagaikan mengadakan pesta sepanjang tempoh tersebut," katanya.

Menghabiskan kira-kira RM 16,000 dalam memastikan impiannya itu terlaksana. Jelas Farish bukan mudah untuk dia mengumpul wang sebanyak itu. Katanya lagi sebagai peminat tegar dia tahu kisah ini bukan berlaku ke atas dirinya sahaja.

"Saya anggarkan sebanyak RM 16,000 sebab seperti yang kita tahu bila Piala Dunia tentunya lokasi penganjuran menerima kehadiran ribuan peminat bola seperti saya jadi semuanya akan mahal.

"Jujur saya memang sudah lama mahu menonton Piala Dunia, bila tiada tawaran kerja untuk ke sana jadi saya sanggup kumpul wang sendiri. Jadi rasanya tidak salah kalau ini adalah satu kepuasan untuk diri saya," katanya.

Hanya sempat untuk menyaksikan perlawanan pembukaan di antara Brazil dan Croatia, itu jelas Farish akan terus menjadi pengalaman terbaiknya. Malah balas Farish antara perkara yang paling mengejutkan adalah kisah pergaduhan antara penyokong bola sepak juga bukan sesuatu yang biasa di sana memandangkan mereka sangat profesional.

"Bayangkan tiket untuk menyaksikan perlawanan itu berharga RM800, itupun harga tiket biasa. Saya tidak tahu harga tiket di tempat duduk depan. Jadi saya fikir dapat menyaksikan perlawanan pembukaan juga sudah berbaloi.

"Memang saya fikir juga soal pergaduhan penyokong bola sepak, jujur saya katakan mereka sangat profesional. Malah saya melihat sendiri provokasi yang berlaku di antara seorang penyokong Brazil dan sekumpulan penyokong Croatia memang tiada apa yang berlaku memandangkan mereka sangat tenang," katanya.

Pengalaman biasa kalau kita cakap soal keselamatan untuk ke negara yang begitu asing dengan kita. Menurut Farish sendiri pada mulanya juga dia memikirkan soal yang sama, malah ada juga dia terdengar kisah tidak sedap beberapa penyokong bola sepak asing yang turut dirompak dan sebagainya. Namun ujar Faris, dia cukup bernasib baik untuk tidak melalui pengalaman seperti itu.

"Memang saya ada dengar berita-berita macam itu, tetapi Alhamdulillah saya tidak melaluinya.

"Jujur saya katakan sepanjang berada di sana apa yang saya dapat saksikan adalah bagaimana rakyat Brazil sendiri menghargai sukan ini. Jadi tidak salah untuk saya katakan memang layak Brazil untuk menjadi antara pasukan pilihan dunia memandangkan mereka mempunyai penyokong yang sangat setia," katanya.
Previous Post Next Post