Aiman & FAthia Belum Bincang Soal Kahwin



Sememangnya karier seorang pelakon sentiasa padat dengan jadual penggambaran apatah lagi kadang-kadang seorang pelakon itu perlu berada sehari suntuk di set filem mahupun drama.

Ternyata, dalam industri ini, kebanyakan artis yang memilih untuk menyambung pelajaran mereka lebih senang membuat keputusan untuk berehat seketika daripada industri dan fokus pada pelajaran.

Tetapi itu adalah risiko bagi seorang artis kerana menjadi seorang pelajar institut pengajian tinggi, sekurang-kurangnya masa yang perlu diambil adalah selama tiga tahun.

Menyepi selama tiga tahun itu bukanlah satu tempoh masa yang singkat, malah, ia sedikit sebanyak boleh menenggelamkan populariti seseorang artis.

Pelakon, Juliana Evans contohnya yang menyambung pelajaran di Amerika Syarikat, menyepi selama beberapa tahun untuk memberi fokus pada pengajiannya biarpun ketika itu dia sedang berada di puncak populariti.

Namun, bagi pelakon, Nur Fathia, dia mengambil risiko untuk membahagikan masanya sebagai seorang pelakon dan dalam masa yang sama, sebagai seorang pelajar.

Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Latiff, 27, kini sedang meneruskan pengajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Bagi diri pelakon ini, ternyata keputusan yang diambil itu bukan sesuatu yang mudah baginya malah mengakui perlu memberi fokus sepenuhnya bila melibatkan pengajian.

“Alhamdulillah, setakat ini pengajian saya berjalan dengan baik dan kini tinggal lagi satu semester sahaja untuk saya menamatkan pengajian saya.

“Saya ada ujian peperiksaan hari ini, jadi saya telah meminta cuti daripada pihak produksi untuk fokus pada peperiksaan akhir nanti," jelasnya.

Tambah Fathia lagi, perkara seperti meminta cuti daripada pihak produksi pasti akan melibatkan pihak lain yang terlibat seperti rakan pelakon dan oleh itu, dia perlu memberitahu lebih awal kepada produksi.

“Saya terangkan pada pihak produksi dan mereka membenarkan saya mengambil cuti. Lagipun pelakon-pelakon lain pun semua setuju. Tapi kena beritahu awal, risau juga dengan jadual pelakon lainkan," ujarnya.

Jelas Fathia, dia sentiasa menasihatkan dirinya untuk memberi fokus sepenuhnya kepada bidang akademik kerana itu yang akan menjamin masa hadapannya.

“Saya sentiasa berpesan pada diri sendiri untuk mengutamakan pelajaran saya. Sebab sebagai pelakon, kita tidak boleh jangka apa yang boleh berlaku pada masa hadapan.

“Sebab itu saya tidak mahu sia-siakan bidang akademik saya. Lagipun ini adalah peluang dan saya perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin," jelasnya.


Namun, bagi Fathia, dia tidak akan meminggirkan dunia lakonan biarpun selepas menamatkan pengajiannya yang berbaki satu semester sahaja lagi.

“Saya akan tetap berlakon. Mungkin bila saya dah puas dengan kerjaya lakonan barulah saya akan beralih ke bidang yang lain pula, mungkin sebagai penasihat undang-undang," ujarnya.






Soal kahwin nanti dahulu

Satu ketika dahulu, pasangan ini sering berdolak-dalik tentang kisah cinta mereka, namun kini, kedua-duanya lebih terbuka tentang cinta mereka terutamanya kepada peminat.

Malah, cinta mereka mendapat tempat di hati peminat yang begitu suka dengan kisah cinta pasangan ini. Lihat sahaja di laman sosial instagram, setiap gambar berdua pasti mendapat reaksi positif peminat.

“Saya kalau buka Instagram, kalau muat naik gambar berdua, mesti ramai peminat yang akan komen kata kami pasangan yang sweet dan sebagainya. Saya pun tidak tahu mengapa," katanya tertawa.

Biarpun baru-baru ini ada yang mengatakan hubungan mereka agak goyah, tetapi menurut Fathia, hingga kini, hubungan mereka berdua masih lagi baik.

“Kami semakin lama semakin rapat dalam mengenali isi hati satu sama lain. Kedua-dua keluarga pun menerima dengan baik hubungan kami. Keluarga Aiman pun menerima baik kehadiran saya," ujarnya.

Namun, jelas Fathia, mereka belum berbincang secara serius soal peringkat seterusnya hubungan mereka iaitu untuk bergelar suami dan isteri.

“Berborak pasal kahwin itu ada, tetapi secara serius itu belum ada lagi. Kami tidak rancang apa-apa pun lagi.

“Mungkin sebab sekarang dua-dua pun sibuk dengan kerjaya dan urusan masing-masing, itu yang mungkin membuatkan kami berdua belum terfikir untuk berbincang secara serius soal perkahwinan," jelasnya.
Previous Post Next Post