Pelakon Izreen Azminda memohon supaya semua pihak menghentikan cerita yang tidak benar mengenai hal rumahtangga yang mengaitkan dirinya mahupun bekas suami, Muhammad Riza Baharuddin.
Menurut Izreen, dia tidak mahu kisah ini dipanjangkan dan biarlah punca penceraian hanya dia dan suaminya sahaja yang tahu.
“Saya minta supaya hentikanlah cerita yang bukan-bukan yang mengaitkan diri saya ataupun Riza… Punca penceraian yang berlaku biarlah hanya kami sahaja yang tahu dan tidak perlulah diperbesarkan.
“Saya tidak mahu dedahkan dan berilah kami ruang untuk meneruskan hidup serta membesarkan anak dengan cara kami sendiri.” katanya seperti yang dilapor Utusan Online.
Selain itu, Izreen juga menyatakan perasaan lega apabila segala urusan dapat diselesaikan dengan baik malah menganggap keputusan untuk meneruskan hubungan sebagai sahabat merupakan jalan terbaik buat mereka.
“Semuanya dapat diselesaikan dengan baik dan saya rasa lega… Sebelum bercerai, kami diberi peluang untuk bermaaf-maafan malah kami juga masih boleh berkawan baik.
“Bagi saya, keputusan untuk bersahabat adalah lebih baik buat kami supaya anak tidak berasa jauh dengan kami… Selain keluarga dan rakan-rakan, anak adalah penguat hidup saya,” jelasnya.
Tambah aktres ini lagi, bagi menghormati tempoh edah, dia akan lebih berhati-hati dan mengelak daripada melakonkan terlalu banyak adengan mesra.
“Tempoh edah adalah selama tiga bulan dan bagi menghormatinya saya akan lebih berhati-hati dan menjaga tingkah laku… Selain itu, saya juga akan cuba elakkan berlakon terlalu banyak adengan mesra bersama pelakon lelaki lain kerana ia tidak manis dipandang.
“Kalau mahu bercuti selama tiga bulan pun tak boleh kerana ini adalah mata pencarian dan juga rezeki saya… Sebab itu saya masih perlu bekerja dan saya mahu ambil yang positif untuk terus mara ke hadapan.” ujarnya
Pasangan Izreen dan Riza telah berkahwin pada 31 Ogos 2012 di Alor Setar, Kedah. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak lelaki Adrian Umar yang kini berusia 10 bulan.