Jimmy Shanley: Anak dara, bukan janda



SEBELUM bertemu jodoh buat kali kedua, dia sudah memberitahu Hits akan dipastikan pilihan itu datang daripada wanita yang bakal bergelar ibu mertuanya sendiri. Atas doa yang baik, akhirnya pilihan untuk melanjutkan pengajian di sebuah Universiti di Shah Alam telah membuka hati seorang wanita untuk mengenali siapa anak muda berdarah kacukan ini. Tidak lama kemudian wanita itu mahu menjadikannya sebagai suami kepada anak perempuannya.

Enam bulan mengenali sisi sebenar Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 34, Profesor Dr. Zuriah Abdul Rahman, 55, percaya lelaki itu mampu menjaga anak perempuannya dengan baik.

Menurut Dr. Zuriah, pada mulanya dia langsung tidak mengenali siapa Jimmy dan kisah terdahulunya.






Kali pertama Dr. Zuriah melihat menantunya itu adalah ketika di masjid Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Kekerapan Jimmy bersolat di rumah suci itu sedikit sebanyak menarik perhatian wanita ini. Mulanya dia terdetik siapa lelaki itu, bagaimanapun dari situ perkenalan mereka membawa kepada ikatan suci antara Jimmy dan anak sulungnya Mariam Jamilah.

“Saya tidak mengajar dia di dalam kelas, tetapi dia memang selalu ke masjid jadi saya memang selalu nampak dia di sana. Sebelum ini saya memang tidak kenal Jimmy, tidak tahu apa yang berlaku dalam hidupnya. Tetapi Jimmy memang banyak bercerita, jadi kami cepat rapat," kata Dr. Zuriah.

Ditanya usaha Jimmy dalam mendekati anak perempuannya, Dr. Zuriah tidak menolak keikhlasan Jimmy membuka hatinya. Tidak melihat itu sebagai usaha keras, jelas Dr. Zuriah dia lebih senang memberitahu Jimmy hanya menjadi dirinya ketika bersama keluarga dia.

“Dia hanya menjadi diri dia, saya tidak nampak dia buat-buat atau berlakon baik. Saya pentingkan ilmu dan agama, dan saya lihat Jimmy akan berikan itu kepada keluarganya nanti," katanya.

Keluarganya penting agama - Jimmy Shanley

Ternyata, apa yang masih sama tentang perkahwinan pertama dan kali keduanya, dia masih menjadi pilihan ibu mertua. Tidak mampu dinafikan, sifat Jimmy yang mudah mesra, gaya komunikasi yang sentiasa baik menjadikan dia kesukaan banyak 'orang tua' untuk dibuat menantu.

Sementara itu, Jimmy melahirkan rasa bersyukur untuk kembali diberi peluang bergelar seorang suami.

Setelah empat tahun melalui episod sedih dalam kehidupan, Jimmy percaya sudah sampai masa untuk dia melengkapi kehidupannya dengan wanita bernama Mariam Jamilah Abdul Jalil, 26. Enggan mendedahkan tempoh perkenalan sebenar mereka, Jimmy bagaimanapun tidak menolak kali ini persediaan untuk bergelar suami itu lebih kepada sudut agama.

“Memang saya kenali siapa ibu bapanya dahulu, sebelum mengenali anaknya.

“Keluarga isteri saya sangat mementingkan agama. Saya melihat Mariam sendiri cukup tegas bab solat, jadi itu sudah cukup untuk menjadikan dia sebagai pilihan hati saya," katanya.

Terusik dengan kontroversi sebelum ini yang mengatakan dia sudah mengahwini seorang janda, apa yang ditakuti adalah perasaan Mariam sendiri. Menegaskan ini merupakan perkahwinan kali pertama Mariam, Jimmy berharap tiada lagi gosip yang akan melingkari hidup mereka.

“Saya tidak mahu kontroversi-kontroversi saya memberi kesan kepada isteri, sebab itu saya agak marah apabila ada berkata macam-macam.

“Saya harap selepas ini tiada lagi kontroversi, dan apa yang penting adalah doa dari semua pihak untuk kami membina rumah tangga ini dengan baik dari hari ke hari," katanya.

Benar ini perkahwinan kedua, namun bagi Jimmy, Mariam bagaikan satu permulaan baru buat kehidupan berkeluarga. Belajar dari kisah terdahulu, Jimmy dengan senang hati memberitahu, Mariam hanya akan menjadi suri rumah tangga.

“Apa yang saya lalui, buat kami berdua bertindak lebih matang soal ini. Jadi Mariam sendiri sudah beritahu apa yang dia mahukan dalam perkahwinan ini. Saya juga senang hati untuk mengetahui ciri-ciri isteri idaman itu ada dalam dirinya. Jadi saya harap perkahwinan kali ini akan berbeza, dari sebelum ini," katanya.

Cukup selesa dengan keluarga mertuanya, Jimmy sempat berkongsi antara momen penting yang menjadikan dia bersyukur diterima dalam keluarga Mariam.

“Ibu bapa Mariam memang menerima saya dengan baik, sebab saya banyak berkongsi apa yang berlaku dalam diri saya. Memang saya idamkan untuk mempunyai keluarga seperti ini. Jujurnya sembahyang berjemaah menjadi antara aktiviti yang sering saya tunggu dan itu ada dalam keluarga baharu saya ini," katanya.

Berkongsi rahsia keserasian mereka, Jimmy memberitahu sikap isterinya yang agak matang memudahkan mereka mendalami ilmu rumah tangga ini bersama. Malah kehadiran bulan puasa ini dilihatnya sebagai medan sebenar Jimmy untuk menikmati masa yang lebih berharga bersama seorang isteri.

“Kami mempunyai minat yang sama, jadi dia juga sudah menyatakan pendiriannya dalam soal tanggungjawab sebagai isteri, memang saya lega kami mempunyai pemikiran yang sama.

“Kalau ikutkan ini kali pertama saya akan berpuasa dengan seorang isteri, dan saya memang tidak sabar sebenarnya menunggu kedatangan Ramadan," katanya.






Dalam mengecapi bahagia, masih ada lagi yang cuba menggugat Jimmy dengan perkaitan kisah lalu. Masih ada pihak-pihak yang tidak habis-habis 'menjaja' kisah silam dirinya, dan ia bukan satu isu yang positif pun. Akur dengan perkara ini, jelas Jimmy tiada apa yang mampu dia lakukan selain terus memberi laluan kepada mereka, jika mahu terus berkata-kata tentang dirinya.

“Tidak perlu lagi untuk pihak lain bersuara soal hidup saya, termasuklah juga perkahwinan ini. Ini hidup saya sekarang.

“Bagaimanapun jika mereka terus mahu bersuara, saya tidak mahu ambil kisah lagi. Saya tidak akan pedulikannya.

“Apa yang penting kini adalah tanggungjawab saya sebagai seorang ketua keluarga dalam melayari alam rumah tangga bersama isteri. Mohon doa yang terbaik daripada semua ," katanya.
Previous Post Next Post