YouTube popularkan Chomel


Chomel

BIASANYA saluran YouTube di Internet dijadikan sebagai medium untuk mempromosikan satu atau dua lagu terbaharu seseorang penyanyi atau pemuzik. Ia juga antara lain seperti suatu salam perkenalan buat penyanyi baharu kepada pada peminat sebelum sesebuah album penuh mereka berada di pasaran.

Bagaimanapun lain pula halnya bagi penyanyi baharu yang dikenali sebagai Chomel apabila bukan satu tetapi dia telah memuat naik 16 lagu nyanyiannya di YouTube.

Menurut penyanyi berusia 22 tahun berasal dari Singapura ini, dia sengaja memuat turun semua lagu ciptaannya itu secara percuma untuk para pelayar Internet. Itu antara cara dia memperkenalkan lagu-lagu dan lirik-lirik gubahannya sebelum diambil bernaung di bawah syarikat rakaman MVM Production.






“Salah satu minat saya adalah mencipta lagu dan menyanyi. Jadi saya telah mencipta banyak lagu serta lirik dan menyanyikannya sendiri sambil bermain gitar. Selepas itu, saya muatkannya ke dalam YouTube untuk melihat reaksi para peminat. Tidak sangka sambutannya amat mengejutkan saya dan keluarga saya.

“Lagu nyanyian saya yang bertajuk Andai Hatiku Bersuara misalnya, telah mendapat ‘like’ dan ditonton lebih 600,000 pengunjung di YouTube baru-baru ini. Sambutan itu menyebabkan saya semakin bersemangat untuk terus mencipta lagu dan menyanyikannya pada masa depan," katanya kepada Hits.






Lagu Bersyukur adalah terbaharu Chomel yang dimuat turun ke dalam YouTube yang mana dia berdebar-debar menantikan reaksi daripada para pendengar. Ekoran sambutan yang semakin bertambah anak kedua daripada enam beradik ini turut mendapat perhatian banyak pihak termasuklah penganjur persembahan pentas.

“Mula-mula orang mungkin tidak perasan lagu-lagu saya. Tetapi satu demi satu lagu yang saya nyanyikan dimuatkan di YouTube ramai yang mula perasan. Ini kerana, sejak dua tahun lepas selepas semakin banyak lagu saya dimuatkan di YouTube, peminat saya juga semakin bertambah bukan setakat dari Singapura sahaja.
Previous Post Next Post