Misi Velvet Band



TARIKH 10 Jun lalu menjadi detik sejarah bagi trio band yang menggelar diri mereka, Velvetband apabila pembikinan muzik video yang telah dirancang pada awal tahun ini secara rasminya telah dilancarkan di laman YouTube.

Velvet band berkonsepkan pop rock dan mempunyai tiga orang anggota iaitu Iqa (Pqot) (vokalis dan pemain bass), Shana Razman (pemain gitar dan suara latar) dan Ahmad Azlan (pemain drum).

Ketiga-tiga anggota ini juga memiliki berpengalaman beraksi di pentas indie.

Vokalisnya, Nursyafiqah Nasratullah Mohd Nor atau lebih dikenali dengan nama Iqa berkata, kumpulan ini ditubuhkan sejak beberapa tahun lalu.

"Permulaan baharu bagi Velvetband untuk tahun 2014 apabila mengetengahkan lagu 'Jangan Pernah' sebagai single kedua kami.

"Lagu ini merupakan hasil karya kami sendiri, liriknya ditulis oleh saya mula mendapat respons positif peminat muzik tanah air apabila sering kali lagu ini diputarkan di stesen radio tempatan," katanya yang pernah menjadi finalis Mentor musim kelima.






Harapannya agar kumpulan ini mampu meneruskan kegemilangan band pop rock tanah air dengan hasil karya kreatif tersendiri.

Jangan Pernah

Penggambaran muzik video 'Jangan Pernah' yang mengambil masa seharian ini dijalankan pada bulan April di dua lokasi sekitar Klang Lama dan Damansara.

Menarik mengenai muzik video ini, Iqa berkata penggambarannya dilakukan di atas bumbung parkir kereta lama yang tidak lagi digunakan bagi memberi gambaran jelas imej pop rock yang dibawa oleh kumpulan ini.

Katanya, muzik video yang berdurasi kurang dari empat minit ditayangkan secara eksklusif di rancangan infotainment “H LIVE” terbitan Astro Ria, semalam.

"Ia merupakan sebahagian dari strategi awal promosi muzik video terbabit sebelum dimuat turun di laman YouTube.

"Saya berharap dengan adanya muzik video Jangan Pernah mampu menarik minat ramai untuk lebih mendekati karya kami dan memberi pendedahan tentang imej yang kami bawa.

Ujarnya, penghasilan muzik video lagu ini di arahkan oleh Joe Naflish dan videografi oleh Zul Pikie di bawah Maidi.co Production, menjalani proses suntingan terlebih dahulu sebelum siap sepenuhnya pada awal bulan Jun tempoh hari.

Lagu 'Jangan Pernah' berkisarkan tentang sebuah perhubungan cinta yang telah berakhir, tentang perasaan, kesetiaan, kesedihan seorang wanita kerana terlalu mencintai kekasihnya, tidak rela berpisah dengan mengharapkan cintanya kembali.

Tak kisah bersaing

Lambakan muka-muka baru dalam industri muzik diibaratkan 'cendawan tumbuh selepas hujan'.

Berbeza dengan Velvet Band yang tidak pernah peduli dengan kepesatan dunia seni yang semakin mencabar.

Biarpun ramai bakat baharu mencuba nasib mereka dan berjaya namun tak kurang juga yang kecundang separuh jalan.

Bagi mereka, cabaran ini menjadikan kumpulan mereka lebih bersemangat untuk bersaing dengan pemuzik yang sedia ada.

"Kami percaya dan yakin dengan bakat yang ingin ditonjolkan kepada umum.

"Bahkan salah satu cara kami umum memperkenalkan anggota kumpulan Velvetband adalah menerusi ciptaan lagu kami sendiri," katanya.

Menurut Iqa, perkara tersebut boleh dilihat dengan pembikinan muzik video 'Jangan Pernah' yang tidak membelanjakan kos yang tinggi jika dibandingkan dengan muzik video lain.

Mereka yakin, dari segi penghasilan dan kualiti lagu ianya mampu membawa mereka lebih maju ke hadapan.
Previous Post Next Post