GIAT merencana kerjaya muzik menerusi kolaborasi bersama beberapa artis tempatan, kini komposer DJ Fuzz maju selangkah dengan label naungannya, Mixology Music.
Berhasrat untuk mengembangkan bakat-bakat muda dalam arena muzik hip hop dan RNB, DJ Fuzz turut memperkenalkan empat artis di bawah labelnya iaitu Waris, Mark Adam, Karmal dan Juzzthin.
“Walaupun empat nama ini masih baru dalam industri muzik tempatan, namun mereka memiliki aura yang tersendiri.
“Waris dan Mark Adam mungkin nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, lagu-lagu mereka sering di mainkan di corong radio.
“Manakala Karmal dan Juzzthin selain memiliki bakat yang tersendiri, mereka ada kelebihan dari segi pakej yang mampu menarik perhatian peminat,” katanya.
Pada masa sama, anak jati Kuala Lumpur itu turut berkongsi rasa bangga melihat perkembangan muzik hip hop yang kini diterima baik dalam industri muzik tempatan.
“Saya gembira dengan perkembangan ini dan situasi ini juga membuatkan ramai penggiat muzik hip hop kembali aktif dengan penghasilan lagu-lagu baharu yang mampu menceriakan lagi industri muzik tempatan khususnya.
“Lebih menarik, apabila muzik hip hop yang digabungkan dengan genre muzik lain seperti balada dan rock dalam sesebuah lagu juga seakan menjadi satu trend,” ujarnya.
Habuan buat peminat setia
Sempena memperkenalkan artis baharu naungannya, Fuzz turut melancarkan sebuah album kompilasi This Is Mixology Music sebagai buah tangan terbarunya.
Menurutnya, kelahiran album ini ditujukan kepada peminat yang selama ini tidak pernah jemu menyokong dan menjadi tulang belakang dirinya dan juga empat artis naungannya.
“Album kompilasi ini menyelitkan 16 buah lagu di mana terdapat beberapa lagu yang sudah pun popular di corong radio.
“Memandangkan hari lebaran bakal tiba tidak lama lagi, kami ambil kesempatan itu untuk memperkenalkan sebuah lagu raya dalam album ini,” ujarnya.
Antara lagu yang dimuatkan adalah Rembau Most Wanted, Pencuri, Isi Puisi, Parti Sampai Pagi, Botingkek , Sampai Nanti, Off The Hook, Can’t See Me dan banyak lagi.