Nabil Ahmad tidak kisah dengan kecaman peminat kerana dia tidak baca pun apa yang mereka tulis.
Bagaikan satu trend masa kini apabila artis berkongsi gambar bercium pipi bersama pasangan masing-masing di dalam laman sosial buat tatapan peminat. Mungkin mereka mempunyai niat baik untuk menunjukkan momen bahagia yang sedang mereka lewati sebagai tatapan peminat di luar sana, lebih-lebih lagi ketika sedang berbulan madu.
Antara pasangan suami isteri popular yang mendapat kecaman hebat dek kerana sekeping gambar ialah Rozita Che Wan atau Che Ta bersama suaminya Zain Saidin. Gambar mereka telah disalah tafsirkan selepas Che Ta memuat naik sekeping gambar yang dikatakan sedang bercium mulut yang berlatar belakangkan Menara Eiffel, Paris ketika mereka sedang berbulan madu beberapa bulan lepas.
Turut terkena tempias itu juga ialah pelawak terkenal dan pengacara program MeleTop, Nabil Ahmad dan isterinya, Nazirah Ayub ketika berpeluang berada di sekitar Eropah.
Dia isteri saya yang sah dan halal, jadi isu cium pipi ke apa ke tidak sepatutnya timbul. Kenapa perlu beri komen yang menunjukkan seolah-olah saya tiada apa-apa kaitan dengan dia.
Kalau nak ikutkan ramai saja artis yang masih tiada ikatan sah pergi bercuti berdua dan tiada siapa pun yang panaskan isu ini. Hak saya dan saya punya fasal lah nak buat apa pun," kata Nabil ketika di temui baru-baru ini.
Nabil yang ternyata mengambil sikap tidak ingin tahu dan tidak kisah tentang apa sahaja komen dan tohmahan yang dilemparkan oleh segelintir pengikutnya di laman sosial Instagram miliknya ekoran gambar bercium bersama isterinya, beberapa minggu lalu.
Tambahnya: Ini merupakan pertama kali saya dan Zira menjejakkan kaki di salah sebuah negara Eropah. Kebetulan pula masa itu saya bergambar dengan Zira berlatarbelakangkan Menara Eiffel, jadi saya ambil gambar aksi cium pipi secara suka-suka sahaja.
Tak terlintas pun di fikiran nak ikut mana-mana artis yang buat begitu sebelum ini. Ini cuma aksi spontan sahaja. Saya pelik juga, dulu waktu nikah, ada juga saya mencium dahi dan pipi dia tapi tak ada pun yang bising.
Saya bukannya baca pun komen-komen dalam Instagram dan saya pun tidak sampai hati nak sekat mereka dalam ruangan sosial tersebut. Biarlah, mungkin dalam 100 komen,ada lah juga komen yang positif diberikan kepada saya."
Menurut Nabil, tujuan dia ke luar negara kerana menjalani penggambaran telemovie Strawberi Karipap Lost in Paris selama sembilan hari.
Dah alang-alang berada di kota yang terkenal dengan jolokan kota cinta, saya bawa Zira sekali untuk menemani saya dan kami anggap ini sebagai peluang berbulan madu sekali.