Syafiq Yusof: Industri filem bakal lenyap?


Syafiq Yusof

TIDAK dinafikan setiap pengarah mempunyai cita rasa dan kreativiti yang berbeza dalam seni pengarahan masing-masing dan itulah yang mempelbagaikan industri filem negara kita.

Begitu juga dengan pengarah muda, Syafiq Yusof, yang semakin menjadi sebutan menerusi filem kedua arahannya, Abang Long Fadhil, yang kini masih rancak ditayangkan di pawagam.

Menampilkan barisan pelakon handalan seperti Aaron Aziz, Zizan Razak dan Syamsul Yusof, filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd ini berjaya meraih kutipan sebanyak 2.4 juta hanya dalam masa beberapa hari.

Dijangka meraih lebih banyak kutipan, anak kepada penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam ini bagaimanapun mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan angka kutipan terbaru filem itu sehingga selesai tayangan.






Bergelar pengarah termuda pada usia 18 tahun menerusi filem pertamanya SAM (Saya Amat Mencintaimu) sehingga mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records serta merangkul gelaran Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) sudah cukup menggambarkan kehebatan Syafiq Yusof.

Setiap kali filem diterbitkan, pengarah sebenarnya mengambil risiko sama ada filem itu akan mendapat sambutan atau tidak. Filem pertama anda kurang mendapat sambutan, namun berbeza pula situasinya dengan Abang Long Fadhil...

Alhamdulillah filem ini mendapat sambutan positif daripada penonton. Saya sebenarnya terkejut dengan jumlah kutipan yang kami terima dalam masa empat hari kerana kalau nak diikutkan, masa filem ini mula ditayangkan, terlalu banyak saingan yang hebat-hebat. Mana tidaknya, filem-filem blockbuster dari Hollywood seperti Godzilla, X-Men: Days of Future Past, Maleficent turut mula ditayangkan dan memandangkan filem-filem itu semua merupakan filem box office, jumlah tayangannya juga banyak.

Jadi saya tidak dapat mengembangkan 'showtime' filem yang mana terhad untuk tujuh kali tayangan sehari saja, berbanding 15 kali sehari tanpa saingan filem blockbuster, Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana setiap tayangan berjaya mendapatkan penonton untuk memenuhi panggung walaupun tayangan lewat malam.

Di Brunei, filem ini diklasifikasikan sebagai 13 PL tanpa sebarang potongan babak. Namun di negara ini, bukan saja diklasifikasikan sebagai 18 PL bahkan turut berdepan potongan beberapa babak. Apa perasaan anda?

Semestinya saya kecewa kerana klasifikasi ini membuatkan saya hilang hampir 30 peratus penonton iaitu kanak-kanak sedangkan filem ini aksinya tidak keterlaluan bahkan banyak unsur komedi.

Brunei merupakan sebuah negara Islam yang amat menitikberatkan soal agama sehinggakan bumbung rumah di sana tidak boleh lebih tinggi dari kubah masjid. Maaf cakap, tapi negara kita yang banyak rumah urut dan kelab malam sini sana, boleh
bertindak macam ini.

Bagaimana nak majukan industri filem negara kalau sokongan dari negara sendiri tidak ada.

Filem pertama anda sebelum ini, Saya Amat Mencintaimu (SAM), kurang mendapat sambutan. Apa yang membuatkan anda beralih pada genre aksi?

Sebenarnya idea asal filem ini ialah idea abang saya sendiri, Syamsul Yusof. Yela, watak Abang Long Fadhil, juga wujud daripada filem KL Gangster. Jadi Syamsul yang mencadangkan kepada saya untuk membuat filem mengenai watak yang dimainkan oleh Zizan Razak.

Jadi saya rasa, idea itu menarik memandangkan watak Fadhil dalam KL Gangster yang ingin menjadi Abang Long sebenarnya mencuit hati yang membuatkan penonton ternanti-nanti kemunculannya sepanjang filem itu. Dari situlah saya mulanya penglibatan filem aksi dan komedi.

Sebagai penyambung legasi, apa matlamat anda dalam industri dan apa perancangan anda seterusnya?

Selepas ini, saya bercadang untuk fokus dalam memajukan syarikat saya, Viper Studios. Bagi saya suntikan imej janaan komputer (CGI) dalam sesebuah filem itu merupakan satu bonus dan bakal menarik minat penonton. Seperti dalam filem Abang Long

Fadhil, saya turut menggunakan sentuhan CGI seperti penampilan watak Bumblebee. Ternyata ramai yang kagum dan berpuas hati.

Pun begitu, banyak lagi yang perlu saya pelajari dalam menggunakan teknik CGI.

Setiap orang mempunyai idola atau sumber inspirasi sendiri. Bagaimana dengan anda dan siapa yang menjadi sumber inspirasi dalam dunia pembikinan filem sehingga anda mampu pergi sejauh ini?

Saya sedikit berbeza dengan orang lain. Mungkin kebiasaannya idola atau inspirasi seseorang adalah orang yang hebat dalam bidang tertentu. Saya tidak terikat dengan tanggapan begitu kerana filem yang kurang berjaya turut memberi saya inspirasi.

Biasanya saya akan mengkaji di mana kesilapan pengarah filem berkenaan yang menyebabkan i tidak mendapat sambutan. Saya mengkaji supaya saya tidak akan melakukan kesilapan yang sama dalam karya.

Kalau filem yang berjaya pula, apa kelebihan yang ditonjolkan dalam filem itu. Mungkin dari segi jalan ceritanya, keupayaan pelakon dan mungkin juga faktor lain. Itulah yang menjadi inspirasi saya untuk berkarya.

Penglibatan anda dalam bidang pengarahan berkait rapat dengan latar keluarga anda sendiri. Malah ada yang mempertikaikan kebolehan anda dalam bidang pengarahan filem. Apa pendapat anda tentang persepsi begitu?

Apa yang orang fikirkan atau perkatakan, itu semua di luar kawalan kita. Apa yang boleh kita lakukan hanyalah membuat yang terbaik dan hanya dengan cara itu, kita mungkin dapat mengubah tanggapan orang.

Melihat pada senario industri perfileman, banyak filem tempatan semakin hambar di pawagam. Malah, banyak produksi dan pengarah mula 'gulung tikar'. Sebagai pengarah baharu, apakah anda sedar dengan situasi ini?

Golongan muda yang celik IT lebih gemar memuat turun filem daripada internet berbanding ke panggung untuk menonton. Bukan di Malaysia sahaja yang menghadapi isu ini malah, seluruh dunia dilanda masalah sama.

Jika orang menyatakan industri filem ketandusan idea mungkin orang itu tidak ke panggung untuk menyaksikan sendiri filem-filem tempatan. Industri filem kita sebenarnya kaya dengan cerita yang pelbagai genre dan jalan cerita menarik seperti Balistik, Bunohan dan CEO.

Masalah industri perfileman negara kita sebenarnya ialah pemikiran orang ramai yang stereotaip bila bercakap mengenai filem tempatan. Jika fenomena ini berterusan, industri filem akan berubah platform.

Maksud saya panggung wayang akan tetap ada tetapi akan menjadi lebih eksklusif untuk menarik orang ramai. Contohnya seperti industri teater yang wujud hingga kini tetapi ia dijadikan sesuatu yang eksklusif dan bukan industri.
Previous Post Next Post