Anuar Zain, Pakej percutian terlalu mahal?



SELEPAS berjaya menghiburkan lebih kurang 700 peminat menerusi acara Minggu Setiausaha pada akhir April lalu, kini penyanyi idaman Malaya, Anuar Zain mengajak penyokong setianya mengembara bersama ke Jordan.

Percutian eksklusif Magical Jordan With Anuar Zain selama lima hari tujuh malam anjuran Scenic Leisure & Event bersama FBA Media Sdn Bhd ini bakal membawa seramai 250 peminat melawat destinasi menarik seperti Amman, Jerash, Petra dan Laut Mati.

Bercerita lebih lanjut mengenai percutian itu, Anuar akui Jordan adalah salah satu negara impiannya untuk dilawati.

“Saya suka mengembara melihat sejarah, budaya dan seni bina sesebuah negara dan Jordan adalah pilihan yang tepat.

“Sebelum ini banyak kali juga saya cuba merancang untuk ke sana, tapi sehingga kini masih belum ada kesempatan.

“Tapi kali ini peluang itu datang dan sudah pasti saya tidak akan menolaknya dan apa yang lebih menggembirakan, percutian kali ini bakal disertai peminat saya sendiri,” ujarnya.






Tambah Anuar, pelbagai atur cara menarik diatur sepanjang percutian berjalan dan pastinya ia bakal menjadi pengalaman menarik buat peminat yang menyertainya.

“Setiap destinasi yang kita pergi, peminat akan berpulang merakamkan kenangan bersama saya, masa satu hingga dua jam akan disediakan untuk acara bergambar.

" Pada malam terakhir itu saya menyampaikan lima lagu sambil melihat mata hari terbenam di Laut Mati,” katanya.

Melihatkan harga pakej yang ditawarkan iaitu RM9999, mungkin ramai yang terkejut.

Namun plantun Ajari Aku ini bagaimanapun yakin harga itu berbaloi dengan setiap atur cara dan kemudahan yang disediakan sepanjang percutian.

“Bagi saya harga itu cukup berbaloi dengan apa yang telah ditawarkan. Bukan sahaja dapat mengunjungi destinasi menarik, mereka akan menginap di hotel lima bintang,” katanya.

Bagi peminat yang ingin menyertai percutian eksklusif yang terhad untuk 250 orang ini boleh menghubungi penganjur menerusi laman www.facebook.com/MagicalJordanWithAnuarZain atau www.facebook.com/ScenicEvent.
Previous Post Next Post