Nazali dan isterinya, Ainon
ULU Yam di Liverpool sarat dengan inspirasi dan motivasi yang digarap berdasarkan pengalaman hidup Nazali Noor serta impian zaman kanak-kanaknya untuk merasai sendiri pengalaman berada di bumi bertuah Anfield menyaksikan perlawanan bola sepak bersama Kop (gelaran untuk peminat kelab bola sepak Liverpool) sambil beramai-ramai menyanyikan lagu You’ll Never Walk Alone.
Justeru, Zass mengambil peluang untuk mendekati penulis yang telah menyentuh perasaan ramai pembaca menerusi kisah dalam Ulu Yam di Liverpool semasa kepulangannya ke tanah air sempena Majlis AGBK 2013 di Vivatel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Boleh kongsikan perasaan anda setelah memenangi Penulis Harapan Pilihan kategori Buku Umum dalam AGBK 2013?
Saya rasa sangat bersyukur, sebenarnya saya tak jangka langsung akan menang sebab ini adalah buku pertama yang hasilkan dan saya tak ada latar belakang langsung dalam menulis. Alhamdulillah, saya disenaraipendek sebagai calon untuk empat kategori dan menang dalam satu kategori.
Mengapa anda memilih untuk mengetengahkan kelab bola sepak liga Inggeris, Liverpool sebagai salah satu subjek utama dalam buku anda?
Kebetulan sahaja ceritanya banyak berkisar tentang Liverpool Fan Club (LFC), sebab saya memang penyokong tegar LFC. Tapi maksud tersirat yang terkandung dalam buku tersebut adalah kisah seorang budak kampung atau ulu, yang tak pandai main bola langsung tapi sangat menyukai bola sepak.
Selain LFC, siapakah yang menjadi inspirasi anda dalam menghasilkan buku tersebut?
Arwah ibu bapa saya. Mak pernah pesan, orang yang bijak adalah orang yang hasil kerjanya bercakap bagi pihak dia, bukannya dia bercakap sendiri. Saya dapat capai impian saya untuk ke Liverpool pun setelah berumur 35 tahun.
Ulu Yam di Liverpool juga sarat dengan unsur motivasi walaupun genrenya adalah travelog. Bagaimanakah anda menggarap unsur tersebut dalam karya anda sehingga mampu meninggalkan impak kepada para pembaca?
Pada saya, pengalaman adalah cikgu terbaik yang menjadi motivasi buat diri kita. Setiap orang yang ada pengetahuan tak semestinya ada pengalaman, tapi orang yang ada pengalaman semestinya ada pengetahuan. Memang dari dulu saya suka menulis, sejak kecil kawan baik saya adalah buku nota. Saya menulis seperti bercerita kerana menulis merupakan salah satu ‘escapism’ dan ruang untuk saya berkongsi.
Anda banyak menyentuh perihal ‘pencuri-pencuri impian’ dalam karya anda. Boleh ceritakan dengan lebih lanjut tentang frasa ‘pencuri impian’ yang dimaksudkan?
Pencuri impian terbesar saya adalah mak saya sendiri. Saya dapat tawaran untuk buat Ijazah di England, tapi mak cakap tak payahlah pergi England tu tapi dapat pelbagai halangan dari mak. Tapi saya yakin dan bersangka baik dengan ALLAH, tak sangka peluang yang dia bagi pada saya untuk ke England bukan untuk buat Ijazah, tetapi untuk buat PhD. Sekarang saya dapat pergi satu keluarga, siap ada anak yang lahir di sana lagi.
Anda pernah menyandang pelbagai jawatan tinggi dalam sektor korporat, apakah yang membuatkan anda ingin menjadi seorang penulis?
Kita ada dua komoditi paling penting dalam hidup kita iaitu, masa dan duit. Dulu masa saya kerja sebagai General Manager, saya ada duit tapi tak ada masa. Dapat laporan tentang perkembangan anak pun daripada pembantu rumah. Suatu hari masa saya jalan-jalan ke Mid Valley, langkah saya terhenti di sebuah kedai haiwan peliharaan. Apabila ternampak hamster berlari dalam sangkarnya, saya terkenangkan diri saya. Sekuat mana pun saya bekerja, saya tetap berada dalam lingkungan yang sama. Oleh sebab itu, saya nekad untuk berhijrah.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Setiap buku saya ada tema yang tersendiri. Kalau Ulu Yam di Liverpool temanya impian, Ulu Yam Di Liverpool 2 pula temanya hijrah. Dalam Ulu Yam di Liverpool 3 saya ceritakan pengorbanan isteri saya, Ainon. Edisi terhad buku tersebut boleh didapati pada 22 Jun ini dan edisi umum pada 28 Jun ini. Saya juga dalam peringkat perbincangan untuk membawa Ulu Yam di Liverpool ke layar perak bersama Afdlin Shauki. Saya jumpa Abang Afdlin semasa perlawanan Liverpool menentang Arsenal di Anfield beberapa bulan lalu. Selain itu, saya juga dalam perancangan untuk menulis tentang Kop Malaya, iaitu pengalaman setiap penyokong LFC yang datang menginap di tempat kami dan ceritakan pengalaman mereka berada di Anfield.
Tags:
BERITA