Sampai bila Baghdad bertahan?



Sebahagian rakyat Iraq tampil sebagai askar sukarelawan

BAGHDAD - IRAQ. Konflik keganasan antara tentera rejim dan Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) memasuki fasa lebih kompleks selepas ISIL dapat menawan beberapa bandar utama di Iraq.

Sepanjang konflik memuncak, ISIL sudah pun menawan Mosul, Tikrit, Fallujah, Hawijah dan separuh bandar Tal Afar serta Ramadi.

Kelmarin, ISIL mengisytiharkan menguasai kawasan lubuk minyak utama rantau Timur Tengah iaitu di Baiji, utara Baghdad.

Ramai pemerhati perang dan politik berpendapat, jika ISIL menawan ibu negara Baghdad, sudah tentu negara jiran seperti, Syria, Jordan, Arab Saudi, Iran dan Turki bakal campur tangan dan lebih hebat apabila ia 'dilagakan' oleh Amerika Syarikat (AS).

Baghdad adalah nadi bagi Iraq kerana ia adalah bandar kedua terbesar di benua Arab selepas ibu negara Mesir, Kaherah dan kedua terbesar di Asia Barat selepas ibu negara Iran, Tehran.






Bandar itu mempunyai kepadatan kira-kira 8 juta penduduk daripada 35 juta rakyat Iraq dan merupakan lokasi tumpuan pelabur minyak antarabangsa.

Pada 2003, Baghdad musnah teruk ketika Perang Iraq dan mengambil tempoh lapan tahun untuk pulih dan dibangunkan semula.

Konflik menjadi semakin parah apabila AS mengisytiharkan kesediaan membantu tentera Iraq di bawah pimpinan Perdana Menteri Nouri Al-Maliki yang berfahaman Syiah.

Presiden AS, Barack Obama berkata, Pentagon bersedia menghantar 300 askar, aset pertahanan dan penasihat untuk perangi ISIL.

“Gerakan ISIL boleh menimbulkan ancaman di seluruh dunia. AS sedia menghalang ia daripada merebak ke Barat dan negara Asia,” katanya.

Jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki berkata, AS kini memantau pergerakan ISIL bagi menghalang mereka menawan Baghdad.

“ISIL menguasai kompleks Al-Muthanna iaitu kilang penghasilan senjata kimia. Kawasan itu hanya terletak 72 kilometer di utara Baghdad. Ia berpotensi menghasilkan gas sarin seperti yang pernah mereka lakukan pada 1980-an sejurus Presiden Saddam Hussein berkuasa,” katanya.

Oleh itu, apakah pendirian AS? Mengapa AS menentang ISIL yang berfahaman Sunni di Iraq tetapi menyokong Tentera Pembebasan Syria (FSA) yang juga berfahaman Sunni. Bagaimanakah hubungan AS dengan Iran memandangkan Iran adalah sekutu kuat Nouri kerana berfahaman Syiah.
Previous Post Next Post