Preity pertahankan Alia



PREITY ZINTA

BARU-BARU ini, pelakon Alia Bhatt menjadi bahan jenaka oleh peminat setelah menjawab Prithviraj Chauhan sebagai Presiden India apabila ditanya oleh Karan Johar menerusi rancangan bual bicaranya, Koffee With Karan.

Presiden bagi negara India sekarang ialah Pranab Mukherjee yang dilantik untuk menerajui negara tersebut pada 22 Julai 2012.

Walhal, Prithviraj Chauhan merupakan seorang raja Dinasti Gurjar Chauhan yang memerintah kerajaan Ajmer dan Delhi sekitar penghujung abad ke-12 lampau.

Walaupun ahli keluarganya tidak menjadikan ia sebagai satu isu yang besar, namun aktres terkemuka, Preity Zinta naik berang ekoran Alia, 21, secara berterusan diserang kerana jawapannya itu.

"Alia melakonkan watak saya ketika kecil dalam filem Sanghursh. Ketika itu dia baru berusia tujuh tahun dan sangat comel.






"Kini, setelah dia semakin dewasa dan berjaya, ramai pula yang mempermain serta mentertawakannya. Mengapa mereka tidak pernah jemu mengutuk Alia?

"Dia dikutuk kerana merupakan seorang gadis yang cantik dan berjaya. Jika dia hanya seorang individu biasa, pasti perkara ini tidak akan timbul," katanya dengan nada berang.

Tambah Preity, kejayaan Alia adalah berdasarkan hasil usahanya sendiri.

"Dia tidak mencederakan sesiapa pun. Dia bekerja keras untuk berjaya dan apa yang diraihnya adalah berdasarkan hasil titik peluhnya sendiri.

"Adakah dia mencuri daripada ayah kamu? Tidak bukan? Jadi, orang ramai harus berhenti daripada terus mengutuk Alia," katanya lagi.
Previous Post Next Post