Tuan Rumah Pembantu Rumah: Kisah Cinderella moden



“PANTANG bertemu pasti akan bertelingkah seperti anak kecil. Itulah Emir dan Areen. Mereka sentiasa akan mengenakan antara satu sama lain.

Namun, dalam diam ada satu perasaan aneh mula lahir dalam hati mereka berdua.

Adakah perasaan itu dipanggil cinta? “






Garapan novel

Selepas drama bersiri Yes, Boss! berjaya menempa kejayaan besar dengan sambutan hebat dari para penonton menerusi slot Dramedy, fenomena tersebut diteruskan lagi dengan drama bersiri terbaharu berjudul ‘Tuan Rumah Pembantu Rumah’ yang juga merupakan adaptasi novel.

Menariknya, drama siri ini menampilkan gabungan pelakon muda seperti Zoey Rahman, Nad Zainal, Hisyam Hamid, Syafiq Kyle dan Ramona Zamzam.

Drama bersiri terbahasru 24 episod ini, diterbitkan oleh JS Pictures Sdn Bhd dan diarahkan oleh Azman Yahya (Jinggo).

Drama romantik komedi ini, mengisahkan tentang Intan Asha Areen (Nad Zainal) yang kecewa dengan tunangnya, Taufeeq (Hisyam Hamid) yang curang bersama wanita lain, Bellarina (Ramona Zam Zam).
Dengan bantuan Sara (Syahira), Areen berjaya mendapat pekerjaan sebagai pembantu rumah di rumah Puan Juria (Aleza Shadan).

Areen memperkenalkan dirinya sebagai Asha dan merahsiakan tentang latar belakang diri serta keluarganya.

Emir turut menggunakan kuasa veto sebagai tuan rumah yang ada padanya untuk memaksa Areen menjadi teman wanitanya. Apakah yang akan terjadi selepas itu?

Adakah tuan rumah dan pembantu rumah akan mengangkat bendera putih dan mengumumkan kedamaian?

Akan bersatukah rasa yang bermain di hati Emir dan Areen? Atau Areen akan kembali pada bekas tunangnya, Taufeeq atau menerima Lut?

Penerbitnya, Sheila Rusly memberitahu dia mengekalkan jalan cerita yang diadaptasi daripada novel yang berjudul sama, Tuan Rumah Pembantu Rumah.

“Kisah Areen yang melarikan diri daripada Taufeq dan menyamar sebagai orang gaji menjadi guideline saya.

“Tidak banyak yang saya ubah namun adaptasi novel ke drama mempunyai kelainan sedikit,” ujarnya yang mengambil masa selama 35 hari penggambaran drama berkenaan di sekitar Kuala Lumpur.

Pilih Nad & Zoey

Menurut Sheila, pemilihan pelakon berdasarkan kesesuaian watak novel dengan pelakon yang sedia ada.

“Kebanyakan pelakon dipilih menerusi ‘casting’ yang diadakan sebelum penggambaran bermula.

“Malah Nad Zainal juga melalui proses yang sama dan saya tertarik dengan karakternya itu,” ujarnya.

Tambah Sheila, biarpun diterajui pelakon muda seperti Nad Zainal dan Zoey Rahman, namun dia percaya dengan bakat yang dimiliki kedua pelakon yang sedang meningkat naik itu.

“Mereka sangat berbakat dan mampu menjiwai watak masing-masing dengan berkesan.

“Apatah lagi, Nad mampu berbahasa Korea dengan baik, yang mana situasi itu menjadi kegilaan generasi muda.

“Begitu juga dengan Zoey yang berjaya memainkan wataknya dengan berkesan,” katanya.

Tiada masalah berbangkit

Berbeza dengan drama lain, Sheila memberitahu drama arahan suaminya itu tidak mempunyai sebarang masalah atau cabaran sepanjang penggambaran.

Setiap produksi kebiasaannya mempunyai masalah dari segi jadual pelakon atau cuaca yang tidak menentu negara ini, apatah lagi El Nino yang sedang melanda ketika ini.






“Alhamdulillah... Saya tidak menghadapi sebarang masalah sama ada dengan pelakon ada cuaca.

“Lagipun semua pelakon memberikan komitmen sepenuhnya dan tiada masalah berbangkit,” ujarnya.

Sambung Sheila, dia bersyukur dapat penggambaran diselesaikan dalam tempoh yang telah ditetapkan pihak stesen TV.
Previous Post Next Post