Wani Hobi Bawa Tuah


Nur Syazwani Selamat atau dikenali sebagai Wani.

SIAPA sangka, hanya menerusi hobi menyanyikan semula beberapa lagu popular dan seterusnya memuat naik di laman Youtube sejak setahun yang lalu, membawa tuah buat Nur Syazwani Selamat atau ingin dikenali sebagai Wani, 17.

Masa kan tidak, Wani kini sudah dilamar menjadi artis rakaman di bawah label syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC) dan telah menandatangani kontrak selama lima tahun sebagai artis rakaman dan komposer muda.

Tambah anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini, dia mula menyanyi semenjak di sekolah rendah dan aktif memasuki pertandingan nasyid, majlis tilawah al-Quran atau menyertai kugiran di sekolah.

"Saya memang dari kecil suka menyanyi, bahkan ketika berada di bangku sekolah rendah lagi, saya sudah masuk pertandingan nyanyian," ujarnya.

Ujar Wani, dia tidak menyangka ada pihak sanggup berkongsi video tersebut ke laman sosial lain sehingga video yang dimuat naiknya mendapat perhatian ramai.

Dalam masa setahun ujar Wani, dia sudah memuat naik kira-kira 114 video lagu yang dinyanyikan semula dan sudah ditonton lebih tujuh juta pelayar Youtube secara keseluruhannya.

"Alhamdulillah setakat ini, lebih 22,000 menjadi pengikut saya di Youtube. Manakala di laman sosial Facebook, saya sudah ada kira-kira 7,000 pengikut, 4,000 pengikut pula di Twitter dan di Instagram baru ada 3,000 pengikut.

"Lagu pertama yang saya muat naik ke YouTube adalah lagu Patah Seribu, dendangan Shila Amzah. Lagu kedua yang saya rakamkan semula adalah lagu Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang nyanyian Tegar,” jelasnya anak bongsu daripada dua beradik ini.

Wani berkata, dek kerana minat yang mendalam terhadap bidang muzik, ibunya, Rohanisah Hassan Basri, 44, mendaftarkan Wani bagi menghadiri kelas latihan bermain gitar sejak setahun lalu.

"Saya suka bermain gitar atau ukulele sambil menyanyi dan dengan gitar juga, saya mencipta lagu sendiri iaitu I Cinta Jer yang dan lagu itu turut mendapat sentuhan susunan muzik dari komposer terkenal, AG Coco," katanya yang memuat naik video secara purata empat atau lima buah video sebulan.






Bahagi masa

Wani berkata, biarpun sudah menjadi artis rakaman, dia tidak sesekali mengabaikan pelajarannya apatah lagi bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

Ujar Wani, demi memastikan dia dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran, dia hanya menerima undangan nyanyian pada musim cuti persekolahan atau pada hari Sabtu sahaja.

"Walaupun saya sudah jadi artis rakaman, ia bukan alasan buat saya untuk mengabaikan pelajaran. Apatah lagi, tiap kali ada undangan, saya perlu berulang-alik dari Batu Pahat ke Kuala Lumpur.

"Jadi untuk menggelakkan pelajaran saya terganggu, saya hanya terima undangan nyanyian apabila cuti sahaja. Mujur pihak pengurusan sangat memahami dan akur dengan permintaan saya sehingga peperiksaan SPM berakhir," ujar pelajar tingkatan
lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Medan, Batu Pahat ini.



Klon Najwa Latif?

Sementara itu, di tebak imejnya yang dilihat seakan-akan penyanyi Najwa Latif, Wani dengan lembut meminta tidak di buat perbandingan dengan penyanyi yang juga berasal dari Johor Bharu itu.

"Bagi saya hanya satu kebetulan dia dan saya dikenali menerusi Youtube, berasal dari Johor Bharu, bertudung dan bermain gitar.

"Saya tidak pernah meniru imejnya kerana pada pandangan saya, suara kami berbeza, cara nyanyian juga berbeza dan genre yang kami bawakan juga berbeza.

"Tapi mungkin saya akan cuba ubah imej saya agar tidak disamakan atau orang akan buat perbandingan saya dengan Najwa," akhiri gadis manis ini.
Previous Post Next Post