Pelakon Beego atau nama sebenarnya Mohd Aszerul Nizam Abdullah akui sejak bergelar bapa, dia kini lebih bertanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Kata Beego ketika ditemui ARTISMELETOP pada Majlis Berbuka Puasa Air Asia dan Air Asia-X baru-baru ini, dia juga sudah memahami erti pengorbanan insan bergelar ibu dan bapa.
“Kini barulah saya faham apa itu pengorbanan. Kenapa dulu-dulu ibu dan bapa kita selalu risaukan kita…Saya rasa semakin bertanggungjawab dari hari ke hari.
“Kalau saya masih belum berkahwin dan tidak mempunyai anak, saya tidak akan faham kenapa dulu-dulu ibu dan bapa saya selalu marah kalau saya degil.
"Sejak lihat Linda melahirkan anak kami, saya sudah mula mengerti perasaan dan kesusahan itu, saya akan mengingatkan perkara yang sama kepada anak saya nanti," katanya ketawa.
Tambah Beego lagi, dia kini bekerja keras untuk isteri tercintanya Linda Hashim dan puteri mereka Jelita Clarissa.
"Sekarang Linda tidak bekerja jadi sebagai ketua keluarga saya perlu kerja kuat, barang-barang bayi pula bukan murah.
“Demi mereka, saya akan bekerja kuat. Dari segi bantuan pula saya akan tolong Linda uruskan hal rumah tangga kalau tak ada penggambaran,” katanya.
Bagaimanapun menurut Beego setakat ini dia dan isteri tidak mempunyai masalah untuk menguruskan anak mereka.
“Menguruskan anak memang satu pengalaman yang baru buat kami. Setakat ini tiada masalah…Saya terharu kerana Linda sangat sabar melayan kerenah anak kami.
“Saya kagumi pengorbanan isteri saya, bangun tengah malam susukan anak. Dia tak cukup rehat tetapi dia tetap sabar jalankan tanggungjawab sebagai ibu…Jujur saya katakan…Saya bersyukur dipertemukan dengan Linda. Alhamdulillah,” ujarnya.
Kata Beego walaupun dia tidak banyak dapat membantu isterinya itu, namun dia belajar pelbagai perkara tentang kerja-kerja menjaga anak.
Apabila ditanya tentang cabaran menjaga bayi, Beego memberitahu setakat ini tiada apa-apa masalah yang dihadapi cuma sedikit bimbang kerana Jelita Clarissa kerap meragam pada waktu Maghrib.
"Usia anak saya sekarang dah masuk dua bulan dan semakin sihat tetapi saya dan isteri risau kerana dia kerap meragam dan menangis terutamanya waktu Maghrib.
"Tapi saya tak rasa ada gangguan lain sebab sekarang ni kan Ramadan…Mungkin dia meragam sebab rutin tidur dia…Jelita selalunya akan tidur panjang selepas waktu Maghrib dan terjaga pada tengah malam,” katanya mengakhiri perbualan.