Dazrin, Amyra kahwin musim raya



MAJLIS resepsi perkahwinan Dazrin dan Amyra kelak bertemakan fantasi. Mereka akan bernikah pada 8 Ogos depan.

SELEPAS setahun bertunang, pasangan pelakon Dazrin Kamarudin dan Amyra Rosli mengesahkan mereka bakal menamatkan zaman solo pada tarikh 8 Ogos depan.

Dazrin, 26, yang terkenal dengan drama rantaian Adam dan Hawa telah mengikat tali pertunangan dengan Amyra, 23, pada 25 Ogos 2013 selepas tiga tahun berkenalan.







ARTISMELETOP! menghubungi pasangan pelakon itu untuk mendapatkan keterangan lanjut dan persiapan menjelang hari bahagia mereka. Ikuti temu bual berikut.

ARTISMELETOP!: Tahniah buat Dazrin dan Amyra yang bakal bernikah tidak lama lagi. Mungkin boleh kongsikan perasaan dan keterujaan menjelang majlis itu kurang dua bulan lagi?

DAZRIN: Alhamdulillah, sudah sampai rezeki saya untuk berkahwin dengan wanita pilihan saya, Amyra. Sudah pasti rasa gembira dan gemuruh itu bercampur-baur tapi tidak dinafikan saya sangat teruja untuk bergelar suami.

Memilih tarikh 8 Ogos untuk melangsungkan pernikahan dengan Amyra, ada sebarang simbolik pada tarikh tersebut?

1988 merupakan tahun kelahiran saya dan bulan Ogos pula bulan kelahiran Amyra jadi angka lapan benar-benar simbolik dalam hubungan kami.

Kebetulan pula majlis pernikahan kami akan dilangsungkan ketika umat Islam sedang menyambut Aidilfitri dan kakak saya yang menetap di Amerika Syarikat juga akan pulang ke Malaysia pada masa itu.

Semuanya kebetulan dan rasanya tarikh itu yang paling ideal untuk majlis kami.

Bagaimanakah pula dengan tema dan konsep majlis kedua-dua belah pihak, adakah sudah diputuskan?

Ya, majlis pernikahan akan diadakan pada 8 Ogos di kediaman baharu kami di Puchong, Selangor dan resepsi sebelah perempuan pada 10 Ogos bertemakan fantasi. Majlis resepsi pengantin lelaki pada 16 dan 17 Ogos bertemakan songket dan majlis dalam taman. Persiapan kini sudah 60 peratus berjalan lancar.
Previous Post Next Post