Fazley Yaakob cipta lagu raya untuk bapa



BERKONGSI kampung iaitu Negeri Sembilan dengan isterinya, Azrene, kata Fazley mereka tidak perlu berebut untuk melakukan rutin menziarahi sanak saudara.

TAHUN ini sambutan raya penyanyi dan cef selebriti popular Datuk Fazley Yaakob agak berbeza daripada tahun sebelum ini.

Selain tidak menang tangan mengambil tempahan biskut raya dan macaron sehingga dia terpaksa membekukan cuti pekerjanya, Fazley juga mencipta sebuah lagu raya berjudul Dendang Anak Merantau khas untuk bapanya, Datuk Yaakob Mohammad.

Ujarnya, sudah lama dia tidak mendengar lagu baharu berentak tradisional yang malar segar sepanjang zaman seperti lagu Dendang Perantau nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Sebenarnya saya sendiri sudah lama tidak mendengar lagu raya baharu tetapi berentak tradisional. Jadi, saya cipta lagu Dendang Anak Merantau atas permintaan ayah saya sendiri.

“Lagu itu sudah terhasil sejak tiga tahun yang lalu. Inspirasinya saya perolehi daripada pengalaman sendiri yang pernah beraya di luar negara ketika menyambung pengajian tidak lama dahulu.

“Bahkan tahun lalu, juga saya beraya di Perancis kerana menyambung pengajian dalam bidang kulinari,” katanya tentang lagu raya ciptaannya itu.

Lagu Dendang Anak Merantau itu cukup istimewa di hati Fazley apabila bapanya sendiri tersentuh apabila dia mendendangkan lagu tersebut.

“Apabila bapa saya tersentuh sehingga menangis mendengar lagu Dendang Anak Merantau, itu sudah satu kejayaan buat saya.

“Jika bapa saya sendiri boleh tersentuh, saya yakin peminat di luar saya juga boleh merasai perasaan yang sama,” katanya tentang lagu yang sudah mula diputarkan di corong radio itu.

Balik kampung

Bercerita tentang sambutan raya, Fazley agak bertuah apabila dia dan isterinya Azrene Soraya tidak perlu berebut untuk pulang ke kampung halaman.

Ini kerana kedua-dua mereka berasal dari negeri yang sama iaitu Negeri Sembilan. Hanya membezakan mereka adalah daerah sahaja.

Keluarga Fazley akan berkumpul di Ampangan Seremban, manakala keluarga Azrene pula di daerah Rantau.

“Setiap tahun kami tidak perlu bergaduh untuk pulang ke kampung sebab kami balik ke negeri yang sama. Jarak kampung saya dan kampung isteri tidaklah jauh.


DARI kiri: Anak sulungnya, Ahmad Fariedz Shah, anak bongsu, Ahmad Fierudz Shah dan Ahmad Fieradz Shah rajin menemani Fazley menghasilkan tempahan kuih raya.

“Agenda setiap tahun kami akan berkumpul di salah satu kampung kemudian kami akan memulakan sesi jelajah melawat saudara-mara berdekatan Negeri Sembilan,” balas bapa kepada Ahmad

Fariedz Shah, 6, Ahmad Fieradz Shah, 4 dan Ahmad Fierudz Shah, 2.

Bercakap tentang makanan kegemarannya menjelang pagi raya, kata Fazley tidak lengkap hari rayanya jika tiada juadah lemang dan rendang di atas meja.

“Jika orang berasal dari Negeri Sembilan, lemang dan rendang merupakan menu yang wajib ada setiap tiba hari raya.

“Kalau tidak ada lemang dan rendang, rasanya itu bukanlah hari raya. Sejak daripada kecil saya sekeluarga sudah terbiasa bergotong-royong memasak juadah hari raya. Sesekali kami juga akan mengacau dodol,” ujarnya.

Tambah Fazley, perkara paling utama buatnya, hari raya dikhususkan untuk memperkenalkan saudara-mara kepada anak-anaknya.

“Hari raya sahaja semua keluarga akan berkumpul, tidak kira yang jauh atau dekat. Itu sahaja masa untuk kita bertanya khabar dan saling meminta maaf.

“Jadi, setiap kali raya, walaupun saya sibuk, saya akan pastikan jadual saya kosong pada awal hari raya supaya rutin yang saya lakukan setiap tahun bersama keluarga akan diteruskan seperti biasa,” ucap Fazley.




Previous Post Next Post