TOMOK teruja kerana hasratnya untuk memiliki anak kedua hampir terlaksana apabila isterinya kini disahkan hamil lagi.
DUA khabar gembira yang diterima Shah Indrawan Ismail atau lebih popular dengan panggilan Tomok sempena kemuliaan bulan Ramadan tahun ini.
Pertama, isteri Tomok, Siti Rahayu Abas kini sedang berbadan dua dan dijangka bersalin sekitar bulan Februari tahun depan manakala perihal kedua, Tomok menerima lamaran daripada sebuah syarikat produksi antarabangsa.
Menganggap kedua-dua khabar gembira itu merupakan rezeki anak dan keluarganya, kata Tomok pada mulanya dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
“Raya tahun ini bertambah meriah dengan dua khabar gembira yang saya terima baru-baru ini. Alhamdulillah, isteri saya kini sedang hamil anak kedua kami dan ternyata berita ini sengat mengujakan kami sekeluarga.
“Dalam masa yang sama juga, saya ditawarkan oleh produksi antarabangsa yang menerbitkan siri Oprah Winfrey Network untuk memasukkan sedikit sedutan rakaman video ketika majlis akikah anak saya, Arrian Shah Akid.
“Footage daripada rakaman majlis itu akan diselitkan dalam siri berkenaan yang memaparkan kepelbagaian budaya masyarakat seluruh dunia.
“Menerusi maklumat yang dihantarkan produksi yang berpangkalan di Brooklyn, New York kepada adik saya, saya meminta dia menguruskan segala hal berkaitan kontrak dan menyemak betul-betul perkara ini,” ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran rancangan raya RTM Ini Baru Raya! di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.
Footage akikah
Bagaimanapun, Tomok enggan mendedahkan maklumat berkenaan bayaran yang diterima daripada produksi berkenaan untuk menerbitkan footage rakaman majlis akikah anaknya itu.
“Terlalu awal rasanya untuk saya bercakap mengenai bayaran kerana saya dimaklumkan rakaman itu akan dipakai selama beberapa saat saja,” tambahnya.
Dalam pada itu, Tomok turut menepis dakwaan bahawa keputusannya untuk membenarkan footage rakaman itu disiarkan secara global secara tidak langsung akan mendedahkan privasi anaknya, Arrian.
“Tidak ada istilah saya mahu mendedahkan anak saya kepada satu dunia memandangkan program itu pun memaparkan budaya seluruh dunia secara amnya, jadi saya mewakili Malaysia berkongsi maklumat mengenai uniknya majlis akikah.
TOMOK bersama isterinya, Siti Rahayu dan anak sulung mereka, Arrian Shah Akid. Rahayu kini hamil anak kedua.
“Benar saya mendedahkan anak saya di ruang media sosial seperti Instagram saya, tapi saya bertegas untuk tidak membenarkan anak saya tampil dalam mana-mana sesi fotografi majalah atau akhbar sebelum ini kerana belum sampai masanya lagi,” jelas Tomok.
Tomok loya
Tomok dalam pada itu memberitahu dia kini sentiasa menyediakan bekal asam bersamanya memandangkan adakalanya dia mudah berasa loya dan mual-mual.
“Setakat kini isteri saya tidak ada mengidam makan yang pelik-pelik lagi cuma pada awal usia kandungan alahannya sama seperti ketika mengandungkan Arrian dulu, muntah-muntah dan loya.
“Sampaikan sekarang saya sendiri terkena alahan sama seperti isteri saya, sebab itu saya beli asam banyak-banyak dan sentiasa bawa ke mana-mana saja,” ceritanya.
Tidak meletakkan sebarang jangkaan untuk jantina anak kedua yang bakal dilahirkan kelak kata Tomok, asalkan anaknya cukup sifat dan sihat.
“Isteri saya mahukan anak perempuan jadi lengkaplah anak kami sepasang, tapi saya tidak kisah sama ada lelaki atau perempuan janji sihat,” kata Tomok lagi.
Tomok dan isteri telah mendirikan rumah tangga pada Julai 2011 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Arrian Shah Akid yang kini berusia dua tahun dua bulan.
Dalam perkembangan lain, Tomok kini sedang menunggu waktu sesuai untuk melancarkan album terbaharunya yang kini sudah siap sepenuhnya.
Album yang diberi judul Tomok, Aku Datang itu mengandungi tujuh buah lagu termasuk sebuah lagu duet bersama Yana Samsudin, Cinta Tak Pergi.