Lisa Surihani
SEBELUM ini, aktres jelita, Lisa Surihani tidak pernah gagal dalam menarik perhatian ramai menerusi busananya yang cantik persis seorang puteri.
Bahkan, aktres berusia 28 tahun ini juga jarang menghadapi masalah atau dalam erti kata lain dikritik kerana berpakaian terlampau seksi dan terdedah.
Malah, sejak berkahwin dengan pengarah berbakat besar, Yusry Abdul Halim, pelakon Ular ini dilihat semakin bijak dalam memilih busana.
Bagaimanapun, pemilihan busana Lisa pada Kuala Lumpur Fashion Week 2014 (KLFW2014) menjadi perbualan hangat ramai sehingga dia dikritik hebat oleh peminatnya di laman sosial.
Lebih memburukkan lagi, busana rekaan Alia Bastamam itu turut dikecam kerana didakwa seksi buat heroin Istanbul Aku Datang itu.
Tidak cukup setakat itu, kritikan itu turut mengheret suaminya, Yusry agar menjaga pemakaian Lisa supaya lebih menutup aurat selepas ini.
Menyedari situasi itu, Lisa bagaimanapun punya pandangan dan pendirian tersendiri. Malah, dia turut memohon supaya isu itu tidak lagi diperbesarkan, sementelahan lagi masyarakat kini sedang menyambut Ramadan.
“Apa yang saya boleh katakan, saya suka bekerjasama dengan Alia dan ada kalanya sesiapa saja ada pendapat mereka tersendiri.
“Bagi saya, apa-apa saja busana yang dipakai ada nilai subjektifnya dan saya menghormatinya,” katanya.
Kurangkan aktiviti seni
Dalam pada itu, buat pertama kalinya, Lisa memberitahu dia memilih untuk berehat daripada sebarang aktiviti seni sepanjang Ramadan ini.
“Dek sibuk dengan kerja, saya terpaksa solat tarawih secara bersendirian, tetapi kali ini saya mahu mengutip sebanyak mungkin pahala dengan mengerjakannya secara berjemaah.
“Memang fokus saya kali ini adalah untuk menghabiskan masa bersama keluarga tercinta di samping mengerjakan solat tarawih bersama-sama,” katanya.
Katanya, peluang yang ada ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk memperbanyakkan lagi amal ibadah dan menghadiri majlis amal.
Sementara itu, Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia ke-22 ini memberitahu, Kuala Lumpur menjadi destinasi utamanya dalam menyambut Aidilfitri kelak.
“Semua keluarga saya dan suami ada di Kuala Lumpur. Jadi, biasanya pada raya pertama kami meraikannya di sini.
“Selepas itu, baharulah kami akan membuat keputusan bila akan pulang ke rumah nenek Yusry di Gopeng, Perak,” katanya yang akan tampil sedondon dengan suaminya itu di pagi raya.