Maya Karin: Tak takut sentuh pelakon lelaki



Pelakon Nora Danish ditegur secara terbuka oleh Diana Danielle apabila memuat naik gambarnya bersama Farid Kamil di laman sosial Instagram untuk promosi filem terbaru mereka, Pe­ngantin Malam.

Dalam laman sosialnya, Diana mengatakan, dalam banyak-ba­nyak gambar, mengapa Nora memilih gambar dia memegang ta­ngan suaminya dan mempersoalkan tindakan itu.
Selepas teguran itu, Nora menarik keluar gambar berkenaan.

Peluang bertemu Farid di majlis pelancaran Kad Amal Lagenda Budak Setan 3, Rabu lalu, menjadi peluang terbaik mendapatkan penjelasannya atas tindakan isterinya.


Ada yang menyifatkan Diana tidak profesional sedangkan dia juga pelakon, malah bergambar berdua antara pelakon wanita dan lelaki untuk promosi filem adalah perkara biasa.







Ternyata tidak kira orang keba­nyakan atau selebriti, normal andai ada rasa cemburu di hati apabila melihat gambar wanita lain memegang tangan suaminya.

Barangkali ada yang tidak kisah dan menganggap itu perkara biasa, apatah lagi jika ia ada kaitan kerja, terutama golongan artis, namun penerimaan manusia berbeza-beza.

Farid akui terkejut dengan tindakan isterinya kerana ia berlaku di luar pemantauannya.

Katanya, sebagai suami, dia memaafkan Diana dan menyifatkan ia salah faham kecil membabitkan hal peribadi.

“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Berbelas tahun saya dalam industri, terbabit dengan promosi dan bergambar sebahagian kerja saya.

“Namun, saya faham ia membabitkan perasaan wanita. Normal bagi wanita untuk ada perasaan cemburu.

“Kami berbincang mengenai perkara itu dan ia sudah selesai. Perkahwinan kami masih baru, setiap hari ada saja perkara baru kami tempuh dan ini satu daripadanya.

“Saya juga tidak meletakkan syarat atau batasan berikutan isu itu,” katanya.
Selepas ini, Maya Karin pula akan berganding dengan Farid untuk mempromosi filem Lagenda Budak Setan 3 yang akan menemui penonton, September depan.

Maya yang hadir di majlis itu turut ditanya, tidakkah dia bimbang menerima nasib sama seperti Nora. Apakah Maya akan memastikan tidak bergambar mesra dengan Farid kerana bimbang isteri pasangannya cemburu.

Sambil tersenyum, Maya menegaskan, dia tidak takut kerana tidak pernah melangkaui batas ketika bersama dengan hero gandingan­nya.

“Saya tidak perlu bimbang, takut atau bersalah apabila bersentuh dengan mana-mana pelakon lelaki. Bagi saya, apa yang saya buat atas dasar kerja.

“Setakat ini tak pernah ada masalah, sama ada dari segi batas atau niat. Saya sudah lama berkawan rapat dengan Farid, sejak dia belum berkahwin dengan Diana lagi.

“Saya kenal Diana tapi tak rapat sebab kami tak pernah berlakon bersama atau ada peluang untuk saling mengenal,” katanya.

Lagenda Budak Setan 3 adalah kesinambungan dua filemnya sebelum ini.
Previous Post Next Post