Harga Ramadan manfaat Aidilfitri



SETIAP orang ada destinasi dan budaya tersendiri menyambut hari lebaran namun silaturahim dan naluri kekeluargaan menjadi pengikat persamaan sambutan hari raya bagi seluruh umat Islam.

IKUT hierarki keberadaan di pentas lakonan, Beto Kusyairy, Sharifah Amani dan Nadiya Nisaa berdiri atas satu aras. Mereka tidak kekok beraksi depan lensa kamera mahupun di balik tabir karya. Paling muda dalam susunan usia pada pertemuan ini ialah Johan As'ari.

Biarpun pernah disatukan dalam drama bersama Beto, Johan menunduk hormat. Amani dan Nadiya yang dianggapnya 'kakak-kakak' manakala Beto sebagai 'abang besar' di sini.

"Seronok dapat 'beraya awal' dengan Abang Beto, Kak Nani dan Kak Nadiya. Siapalah saya hendak disamakan dengan mereka. Rasa besar hati dapat bersama dengan mereka," lentur Johan menunjukkan giginya yang tersusun kemas apabila senyum.

Amani dan Nadiya Nisaa tidak berhenti mengusik Beto, sesekali mereka bertiga terpaksa menahan gelak melihat telatah Johan.

Ikut perkiraan falak, hari ini hari terakhir Ramadan pada tahun ini. Ini bermakna 1 Syawal akan diraikan esok. Aidilfitri bererti meraikan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa.

"Memang kita semua akan berhari raya tapi dalam hendak bergembira dan berasa bahagia, rasa terkesan itu tak dapat digambarkan apabila terkenangkan berita-berita sedih sejak kebelakangan ini. Tak habis dengan Gaza, tragedi terhempasnya MH17 sangat mengguris perasaan.

"Kita yang tiada hubungan kekeluargaan dengan mereka pun terasa apatah lagi keluarga mangsa. Tambahan kita semua nak sambut raya, ada penumpang dan anak kapal MH17 pun sambut raya juga, tapi hajat mereka berakhir begitu. Sedih.

"Kalau difikirkan sangat, gerun, tapi itu semua ingatan untuk kita sebenarnya. Jadi kalau tergerak nak bertemu sesiapa, jumpalah sementara masih ada waktu," tuntas Nadiya melerai rasa daripada relung jiwanya.

Nadiya Nisaa terkesan tragedi MH17

Selesai bersengkang tenaga dan masa untuk The Red Warriors, sebuah filem tentang pasukan bola sepak yang menggunakan nama gelaran itu, Nadiya lega kerana berbaki lima hari sebelum 1 Syawal.

"Ikut pelan asal memang nak kurang kerja pada bulan puasa, tetapi permintaan bersungguh-sungguh daripada pihak produksi tak elok nak ditolak begitu sahaja.

"Mujurlah babak perlawanan bola sepak diadakan sebelah malam. Cuma terkilanlah juga, orang lain sibuk pergi tarawih kita sibuk bekerja sampai subuh," katanya yang beraya di Teluk Intan, Perak tahun ini.

Mesra dibahasakan Icha, pelakon Adam & Hawa itu memberitahu, semenjak berkahwin dia memang akan mengikut suami beraya di Perak setiap tahun. Paling seronok tentunya anak sulungnya Umar yang akan mempunyai geng seusia di kampung halaman.

"Saya orang Kuala Lumpur (KL), cuma sebelum ini kami akan balik ke Kedah dan Pulau Pinang menziarah saudara-mara di sana," katanya sambil meluahkan keinginan untuk meluangkan masa keluar bercuti pada hari raya bersama seluruh keluarga.

Tidak beria-ria membuat persiapan untuk sambutan Aidilfitri, kata Icha, persiapan Aidilfitri tahun ini bertembung dengan persiapan menjelang hari pernikahan adik lelakinya.

"Selama ini kami sekeluarga termasuk ayah, emak dan adik-beradik lain tak pernah pakai baju sedondon, tapi tahun ini kami tempah baju sedondon warna biru muda.

"Baju itu juga akan dipakai semasa perkahwinan adik saya nanti," katanya yang akan kembali ke lokasi penggambaran drama bersiri Oh My English pada 1 Ogos nanti.

Beto Kusyairy beraya di KL

Hero filem Gila Baby yang akan ditayangkan hujung tahun ini pula berbeza ceritanya. Jika Nadiya yang digandingkan sebagai heroin dalam filemnya itu bersuamikan orang Teluk Intan, Beto yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan pula hidup berumah tangga dengan orang KL.

"Cakap pasal raya, keluarga isteri saya orang KL, ibu bapa saya pun tinggal di KL juga. Cuma sesekali kami pulang beraya ke Kuala Pilah, tapi tidaklah sampai bermalam. Tahun ini, satu hari sahaja saya dan isteri boleh beraya di kedua-dua buah rumah, rumah ibu bapa sendiri dan rumah mentua, senang," ucap Beto.

Jika Nadiya sibuk berlakon filem, Beto pula memilih untuk banyak berehat sepanjang Ramadan.

"Sudah enam tahun kahwin, enam tahun jugalah sibuk berlakon sepanjang puasa, dapat cuti pun dua tiga hari sebelum raya.

"Jadi, tahun ini saya memilih untuk bercuti awal tiga minggu sebelum raya," kongsinya yang sempat makan angin di Surabaya, Indonesia bersama isteri yang juga pengurusnya, Tisha baru-baru ini.

"Saya cuti lama pun bukannya sebab beria-ia nak beraya. Apabila usia semakin meningkat, kita semakin mahu menghargai bulan puasa. Lainlah zaman budak-budak dahulu," tambah pelakon filem CEO itu ringkas.

Sudah namanya pelakon, bicara bersama Beto tidak terlepas daripada rencah yang bergulir dalam rutinnya sebagai anak seni. Keluh resah, kecewa dan adakalanya lelah berhadapan pengaruh dan dominasi namun demi minat, survival harus diteruskan.

"Tahun ini juga saya langsung tidak ada produk yang bertemakan raya, masa awal-awal puasa pun saya berlakon drama Plan B, tapi bukan untuk slot hari raya.

"Perasaan nak tengok program raya pun biasa sahaja, kecualilah ada drama menarik lakonan kawan-kawan," katanya yang akan kembali meneruskan rutin kerja pada hari raya keempat.

Johan As'ari tak cuti panjang

Kanvas lakonan anak muda yang diperkenalkan menerusi drama bersiri Juvana kira-kira tiga tahun lalu, Johan As'ari belum pudar warna. Sedikit tercalar oleh warna-warna kontroversi, Johan yakin langkah yang dimulai dengan minat itu ada menjanjikan sesuatu untuknya.

"Saya masih ingat lagi sewaktu saya pergi menjalani uji bakat untuk jadi protege Afdlin Shauki dalam program Mentor.

"Afdlin jumpa saya dan tolak permohonan saya, tapi dia kata saya akan berjaya dalam bidang lain. Dua tahun lepas, saya terjumpa semula dengan Afdlin, ketika itu saya naik pentas ambil anugerah Pelakon Baharu Paling Popular.

"Kali ketiga, saya jumpa lagi Afdlin dan berlakon bersamanya dalam drama Superstra. Saya rasa cukup bertuah, lagipun drama itu satu-satunya drama lakonan saya akan ditayangkan sempena hari raya nanti," cerita Johan yang turut menyerikan raya menerusi dua buah filem, Balada Pencinta dan Juvana the Movie.

Menganggap suasana raya boleh diraikan sama ada di tempat kerja atau di mana sahaja, hari raya bagi Johan bukan sekadar untuk bersuka-suka.

"Tahun ini tahun kedua saya sekeluarga beraya di KL, selepas memanfaatkan sepenuhnya masa yang ada berjumpa saudara-mara dan kawan-kawan terdekat, saya akan berlepas ke Krabi, Thailand pada hari raya keempat.

"Di sana nanti saya boleh beraya dengan pelakon dan kru terlibat," jelas Johan yang dijadual menjalani penggambaran sebuah drama bersama Liyana Jasmay dan Hisham Hamid di Krabi nanti.

Nani kena kerja lepas raya

Berkampung halaman di tengah bandar raya, Sharifah Amani pula sudah terbiasa dengan suasana menyambut Aidilfitri di kota sejak dari kecil. Tiada cacat atau kurangnya menjadi anak kota, pelakon yang mudah dibahasakan Nani itu menganggap Aidilfitri sebagai titik peralihan.

"Saya memang tidak mahu menyibukkan diri dengan kerja sepanjang puasa. Pada bulan-bulan lain kami sekeluarga sibuk dengan urusan masing-masing, jadi sepanjang bulan puasa boleh dikatakan setiap hari kami berjumpa dan buka puasa bersama.

"Kalau bukan di rumah mama dan papa, kami jumpa di rumah kakak (Sharifah Aleya).

"Saya lebih memberatkan Ramadan, raya macam biasa sahaja. Selesai tradisi pagi raya, ziarah kubur dan saudara-mara di KL, kami akan balik ke Pulau Pinang.

"Ke sana pun bukannya beraya sangat, tapi pergi bercuti. Habis cuti raya, maknanya masa untuk kembali bekerja," giliran Amani membuka lembaran.

Berkelamin atau bujang, Beto, Nadiya, Johan dan Amani tidak banyak dibezakan oleh jarak dan budaya berhari raya. Bukan mereka sahaja, penulis percaya hari raya punya cara dan citra yang hampir sama kepada kita semua.

Bezanya hanya mengikut situasi dan siapa kita dalam menjalani dunia pinjaman ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri, mohon maaf zahir dan batin. Moga Syawal meneruskan keberkatan Ramadan yang kian kita tinggalkan.




Previous Post Next Post