MEMPERTARUHKAN single kedua yang diberi judul Rintihan Kalbu, Qalam Band memilih Fida Ibrahim sebagai rakan duet mereka.
SIAPA tumpang populariti siapa tidak penting. Bagi kumpulan yang dianggotai oleh lima anak muda, Qalam Band, kerjasama mereka dengan Fida Ibrahim ibarat aur dan tebing.
Ujar pemain gitar utama Qalam Band, Faiz atau nama sebenarnya, Faizwan Farman Farod Hasfardi, 19, memilih Fida sebagai rakan duet hanya untuk melengkapkan pengalaman yang masih hijau dalam arena seni.
“Kami tidak melihat atas faktor populariti menjadi sebab untuk berduet dengan seseorang artis tapi prinsip kami adalah berinteraksi dengan artis lain dalam industri.
“Semakin lama seseorang artis itu dalam bidang nyanyian, maksudnya lebih banyak pengalaman mereka, jadi apa salahnya untuk bekerja bersama-sama,” katanya mewakili Qalam Band.
Qalam Band yang ditubuhkan sekitar tiga tahun lalu selepas menyertai program pencarian bakat nyanyian berkumpulan, Battle Of The Band mempertaruhkan single kedua mereka berjudul Rintihan Kalbu berduet bersama Fida Ibrahim.
Lagu yang dicipta oleh Manusia Putih dan lirik oleh Sheikh Qalam itu sedikit sebanyak menceritakan pengalaman dan perasaan ditinggalkan pasangan kekasih akibat salah faham.
Bekerja bersama Fida, kata Faiz, tidak menyukarkan, namun selepas proses rakaman lagu itu, belum sempat pun lagi Qalam Band berkongsi pentas bersama penyanyi wanita itu dalam beberapa siri persembahan sebelum ini.
“Harus kami akui, kekangan kami adalah masa dan jarak kerana Qalam Band berpangkalan di Ipoh, Perak dan kebanyakan persembahan di Kuala Lumpur.
“Untuk mencari waktu yang sesuai yang mana semua ahli kumpulan dan Fida dapat bersama membuat persembahan sedikit sukar sebenarnya,” tambahnya.
Qalam Band dianggotai oleh lima anak muda termasuk Faiz. Empat yang lainnya ialah vokalis Eynol (Mohammad Zainol Muhammad Nor, 18), basis Izad (Wan Muhammad Mukhrizad Wan Mokhtar, 20), pemain drum Lias (Muhammad Alias Muhd. Esa, 19) dan pemain keyboard Anip (Muhammad Hanif Omar, 20).
Terdahulu, Qalam Band mempertaruhkan single pertama mereka berjudul Dilamun Rindu ciptaan Apit Baron Bros dari Singapura, namun kurang memberikan impak seperti lagu Rintihan Kalbu.
Merancang untuk mengeluarkan album dalam tempoh terdekat, Qalam Band yang bernaung di bawah Sheikh Qalam Records Sdn. Bhd. sedang menanti untuk melancarkan beberapa lagu yang sudah siap dibikin antaranya Romantisnya, Pujaan, Baru Ku Sedar dan Berubah Hati.
Sementara itu, kata Fida Ibrahim, kolaborasi bersama Qalam Band dilihat sebagai suatu langkah proaktif untuk menawan peminat daripada dua kelompok berbeza.
“Peminat Qalam Band terdiri daripada kelompok remaja memandangkan genre pop yang dibawa mereka sesuai dengan peringkat usia tersebut manakala peminat saya pula daripada belia,” ujarnya yang tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran berduet dengan Qalam Band.
Sebelum ini Fida atau nama sebenarnya, Rafidah Ibrahim pernah berduet bersama Datuk AC Mizal dan Stellar Band menerusi lagu Apo Kono Eh Jang dan pernah menyanyikan beberapa lagu runut bunyi drama termasuk Kasih Alia