Lee Jun-ki bercakap dengan kuda



LEE JUN-KI memberitahu, selain perlu menunggang kuda dengan baik, dia terlebih dahulu kena 'berkawan' dengan haiwan tersebut.

AKTOR kacak Lee Jun-ki sebelum ini telah memukau penonton dengan kemahirannya menggunakan pedang dalam drama bersiri Gunman in Joseon. Drama itu kini hangat bersiaran di KBS2.

Dalam episod seterusnya, Jun-ki akan melakukan lebih banyak adegan aksi termasuk adegan menunggang kuda yang merupakan adegan wajib untuk drama epik.

Menurut kru produksi drama itu, aktor itu melakukan semua adegan aksi seperti menunggang kuda tanpa menggunakan pelakon lagak ngeri gantian.

"Kemahiran menunggang kuda Jun-ki sangat bagus dan dia melakukan adegan aksi menunggang kuda tanpa sebarang masalah.

"Bahkan, pelakon gantian yang pakar dalam seni mempertahankan diri juga cukup kagum dengan kemahirannya. Jun-ki dilihat menjaga kudanya dengan baik sepanjang penggambaran berlangsung," kata kru produksi itu lagi.

Jun-ki mendedahkan, dia mampu menunggang kuda dengan baik kerana dia berhubung dengan haiwan tersebut.

Katanya, dia memperkenalkan dirinya serta bercakap dengan kuda yang bakal ditungganginya.

"Saya banyak bercakap dengan kuda dan sentiasa menjaga mereka (kuda) dengan baik. Kemahiran menunggang kuda sangat penting tetapi saya juga harus meletakkan kepercayaan kepada kuda yang saya tunggangi.

"Terutamanya dalam drama epik, adegan aksi yang baik hanya akan terhasil apabila pelakonnya dapat menunggang kuda dengan baik.

"Jadi, sebelum penggambaran bermula saya banyak berlatih untuk tingkatkan kemahiran diri serta mencipta hubungan rapat dengan kuda yang akan digunakan dalam penggambaran," ujar Jun-ki.




Previous Post Next Post