
BERTEMPAT di Auditorium Kompleks Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Wilayah Persekutuan, berlangsungnya Teater Tradisional Mak Yong Raja Panah pada 20 dan 21 Jun lalu.
Dilakonkan oleh Kumpulan Kijang Emas JKKN Kelantan seramai 26 orang yang terdiri daripada pelakon dan penari.
Biarpun nama mereka tidak dikenali di persada seni namun bagi mereka yang meminati teater tradisional ini pasti memuji lakonan mereka yang sangat menghiburkan.
Teater arahan Rohani Awang bersama Rosnan Rahman ini diterajui Nur Qul’ain Saari sebagai watak utama, Raja Panah.
Berlangsung selama hampir dua jam, nyata penonton tidak berganjak dari kerusi kerana ia bukan sekadar 'cerita lama' tetapi ia diselitkan dengan isu semasa.
Sedikit mengenai jalan cerita, Raja Panah yang memerintah di dalam Negeri Kemunggal Jate ingin mencari seorang isteri yang cantik.
Pengasuh (Peran) memberitahu perempuan yang cantik tiada tolok bandingnya merupakan anak kepada seorang Raja Cina Raja Besar Hang Da Nong yang berada di Negeri Gelombang Tujuh di seberang laut yang bernama Tuan Puteri Kembang Cina tetapi puteri itu sudah bertunang dengan Anak Raja Dering.
Bagaimana, Raja Panah tetap ingin mengahwini Tuan Puteri Kembang Cina walaupun sudah menjadi tunangan orang.
Demi meminang puteri itu, Raja Panah bersama dua orang pengasuh dan Balang Tujuh Kelana Tiga meneruskan pengembaraan mereka namun diserang dengan gagak gergasi , Gagak Sura Lang Kapa.
Selepas berjaya menewaskan gagak tersebut mereka bertemu dengan tunang Tuan Puteri Kembang Cina dan berjanji sesiapa yang tertewas akan menjadi suami kepada puteri tersebut...
Menjadi kelaziman, persembahan Mak Yong dibuka dengan lagu ‘Menghadap Rebab’ diikuti tarian, lakonan dan muzik.
Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang keempat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri daripada pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak.
Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak.
Mak Yong dikaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun.
Kisah bola, Watak Peran jadi perhatian
Bagi segelintir penonton, mungkin tidak memahami dialek Pantai Timur yang cukup serasi dengan pementasan 'Mak Yong'. Apatah lagi lagu-lagu yang dinyanyikan, turut menggunakan dialek Kelantan yang pekat.
Bagaimanapun ia bukanlah masalah utama kerana 'Mak Yong Raja Panah' punya tarikan tersendiri menerusi setiap inci persembahannya.
Selain elemen tarian dan nyanyian, kekuatan teater ini ia juga dilihat menerusi jalan ceritanya yang menyelitkan kisah bola sepak, seiring dengan bahangnya ‘World Cup’ yang kini sedang melanda seluruh dunia.
Malah unsur humor menerusi watak Peran Tua dan Muda yang cukup sinonim dengan persembahan Mak Yong mampu mengundang tawa penonton dan menghangatkannya lagi panggung.
Dari segi kostum, tidak dinafikan perincian terhadap baju tradisional begitu indah sekali bagi si pemakainya dan diibaratkan puteri zaman dahulu kala.
Begitu juga dengan muziknya, setiap kali perlawanan atau nyanyian dimulakan alat-alat muzik tradisional mengiringi penari dan pelakon tanpa cacat celanya.
Secara keseluruhan, teater tradisional Mak Yong harus dikomersialkan kepada umum dan generasi muda agar warisan ini tetap dikekalkan.
Bak kata pepatah lama Tak Lapuk Dek Hujan Tak Lekang Dek Panas, Mak Yong wajar diberi penghargaan supaya warisan negara ini tidak luput dek peredaran zaman.
Perempuan jadi 'Pak Yong'
Keunikan seni tradisional yang penuh dengan tarian gemalai dan nyanyian dialek Kelantan membuatkan anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang ini jatuh cinta dengan Mak Yong.
Menceritakan pengalamannya ketika pementasan kedua Mak Yong Raja Panah, pemilik nama Nur Qul’ain teruja dan gementar dalam masa yang sama.
Memegang watak utama merupakan satu tugas besar apatah lagi watak Pak Yong memerlukan dia berlawan dan beraksi seperti seorang Raja.
Lebih mesra dengan panggilan Ain, dia berkata jarang sekali berlakon watak lebih feminin atau puteri kerana sering ditawarkan watak Pak Yong.
“Alhamdulillah... saya tidak kisah watak apa pun kerana minat dengan teater tradisional ini biarpun watak agak kasar dan memerlukan saya berlawan dengan pelakon lain.
“Ia merupakan cabaran besar kepada saya selaku Pak Yong kerana apa yang dilihat penonton tidak mudah sebenarnya.
“Saya pernah tercedera ketika melakonkan aksi lasak dalam babak berlawan menggunakan rotan menyebabkan jari luka,” katanya.
Selain Mak Yong Raja Panah, Ain turut terlibat dengan pementasan Anak Raja Gondang, Dewa Indera, Indera Dewa, Raja Besar Bergading dan sebagainya.
Malah, dia turut berkesempatan menerokai dunia luar sehingga ke luar negara kerana kerjayanya itu.
Percaturan menjadi
Biarpun pementasan berlangsung selama dua hari sahaja, pengarahnya, Rohani Awang tetap berpuas hati dengan persembahan cemerlang daripada para pelakon.
Katanya, persembahan tersebut turut menerima penonton dari kolej-kolej tempatan seperti Aswara yang turut menyokong teater arahannya.
"Saya bersyukur semuanya berlangsung dengan lancar walaupun kesemua pelakon adalah orang muda.
"Ternyata peluang yang diberikan ini, diambil secara serius oleh pelakon dan lakukan yang terbaik," ujarnya.
Sambung Rohani, para pelakon menjalani latihan yang padat selama sebulan dan bukan sahaja berlakon, malah mereka turut belajar untuk menyanyi dan menari.
Mengulas mengenai isu semasa yang turut diselitkan dalam teater tradisional itu, dia meluahkan rasa teruja dan gembira kerana percaturan mereka menyelit isu semasa seperti bola sepak dan juga Internet mendapat pujian penonton.
"Segalanya bergantung kepada watak Peran untuk menjadikan topik tersebut menarik bukan sahaja dialog bahkan bahasa tubuh mereka.
"Saya bernasib kerana keduanya mampu beraksi secara spontan sehingga membuatkan penonton tertawa," ujarnya.