Nora rancang album baharu



KEHADIRAN Nora dalam bidang seni suara pernah meninggalkan impak yang besar kepada para peminatnya. Berbekalkan kualiti vokal yang mantap, pemilik nama Wan Norafizah Ariffin, 41, juga pernah menerima banyak anugerah menerusi beberapa majlis pengiktirafan.

Namun, selepas muncul dengan album, Samudera sekitar lapan tahun lalu, nama penyanyi yang pernah popular dengan lagu Hanya Satu itu kian tenggelam.

Justeru, sewaktu muncul menyanyi pada satu majlis anugerah baru-baru ini, nama- nya kembali meniti di bibir peminat. Malah, ada yang mengharapkan agar anak jati Kota Bharu, Kelantan ini kembali aktif menyanyi seperti dahulu.

Berkesempatan bertemu dengannya pada majlis sidang akhbar rancangan Ummi Xport di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Kuala Lumpur baru-baru ini, Nora mengakui dirinya cukup teruja dengan sambutan yang diberikan usai menyanyi pada malam ini.

“Sejujurnya, saya berasa sungguh gembira apabila dipanggil semula untuk menyanyi. Sehinggakan, sewaktu sedang bersiap- siap, saya dan Liza Hanim tidak berhenti menyanyi bersama-sama. Kami sungguh teruja.

“Tidak sangka pula penampilan kami mendapat sambutan hangat daripada para penonton. Anak saya turut memberitahu, nama saya termasuk dalam senarai trending di laman sosial Twitter selepas saya menjayakan persembahan tersebut,” ujarnya sambil tersenyum.

Sewaktu ditanya mengenai perancangannya untuk melakukan comeback (muncul kembali), Nora memberitahu, dia sememangnya sudah bersedia untuk kembali beraksi di atas pentas setelah lama berehat daripada mengeluarkan sebarang album.

Tambahnya, walaupun secara lahi- riah dia telah berhijab, namun konsep yang ingin diketengahkan adalah sama seperti konsep album-albumnya yang terdahulu.

“Saya memang merancang untuk mengeluarkan album dalam masa yang terdekat ini. Konsepnya pula bergantung kepada lirik dalam lagu-lagu yang terkandung dalam album itu nanti.

“Tidak dinafikan, penampilan saya sedikit sebanyak mempengaruhi jalur muzik yang ingin disampaikan. Justeru, mungkin lagu-lagu baharu itu nanti masih dalam ruang balada tetapi lebih bersifat ketuhanan,” ujar isteri kepada komposer, Johan Nawawi ini.

Menyanyi dengan anak-anak

Apabila berbincang tentang kesinambungan bakat serta darah seni yang mengalir dalam keluarganya, ibu kepada Mohd. Syakir Iman, 20, Mohd. Syakir Alif, 14, Putri Nur Dahlia, 9, dan Putri Nur Fatehah, 2, ini sangat terbuka dengan pilihan anak-anaknya itu.

Justeru, apabila ketiga-tiga anaknya mahu menyanyi dan merakamkan lagu, dia mendapat idea untuk menggabungkan mereka dan menyanyi bersama-sama dengannya menerusi lagu Selamanya Bahagia.

“Apabila mereka semakin dewasa, masing- masing sudah pandai menyatakan hasrat untuk bergelar penyanyi. Namun, mereka tidak mengerti tentang betapa sukarnya proses untuk merakamkan lagu.

“Jadi, jalan penyelesaian yang paling mudah adalah menggabungkan mereka dalam satu single,” ujarnya sambil tertawa.

Lagu berentak balada yang dicipta oleh Azlan Abu Hassan dan lirik oleh J. Bringo itu buat julung kalinya menampilkan Syakir atau MOSYI, Alif dan Putri serta Nora menyanyi bersama.






Ummi Xport

Dalam perkembangan lain, Nora dan syari- katnya, Hud Hud Media Sdn. Bhd. sedang giat meluaskan penayangan siri animasi terbitannya, Ummi... Ceritalah Pada Kami (UCPK) ke beberapa buah negara termasuklah Indonesia, Singapura, Brunei dan Turki.

“Sebagai permulaan, UCPK akan ditayangkan di Indonesia menerusi saluran Global TV pada bulan Ramadan tahun ini. Selepas itu, ia dijangka ditayangkan di Itali dan Kazakhtan,” katanya.

Mula ditayangkan di TV3 sejak dua tahun lalu, siri animasi berunsur pengetahuan yang diterbitkan khusus untuk golongan kanak-kanak ini sedang dalam proses pembikinan musim kedua yang dijangka siap pada tahun 2015.
Previous Post Next Post