Qi Razali Saya cuma mahu pujuk dia



HUBUNGAN Qi dan Nelydia sering menjadi perhatian umum kerana mereka merupakan selebriti.

BARU-BARU ini, sebuah portal hiburan ada menyiarkan artikel mengenai pasangan sama cantik, sama padan iaitu Qi Razali dan Nelydia Senrose yang dikatakan bergaduh di sebuah pusat membeli-belah di Damansara.

Bagaimanapun, selepas itu pelakon Nelydia telah tampil memberikan kenyataan bahawa ia adalah normal jika pasangan kekasih berselisih faham.

Ibarat pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit, ini pula pasangan yang bercinta. Namun, masih ada pihak yang mengecam Qi dengan mengatakan pengacara Destinasi Bajet itu tidak menghormati wanita dan bulan Ramadan apabila bertindak bergaduh di tempat awam.

ARTISMELETOP! cuba mendapatkan kenyataan pemilik nama penuh Qushairi Mohammed Razali itu untuk membela diri daripada kecaman tersebut.

Ikuti temu bual ARTISMELETOP! bersama Qi menerusi kiriman WhatsApp selanjutnya.






ARTISMELETOP!: Bolehkah Qi komen mengenai perselisihan faham yang berlaku antara anda dan Nelydia di tempat awam baru-baru ini?

QI: Memang ada perselisihan faham. Biasalah perhubungan mana yang tidak berlaku perselisihan faham. Benda kecil sahaja tetapi apabila orang bercerita ia jadi lebih besar. Sedangkan, selepas itu kami pergi berbuka bersama-sama. Bagi saya, tidak perlu hendak pepanjangkan perkara ini.

Bagaimanapun terdapat artikel dalam ruangan gosip keluaran akhbar pada Ahad lalu menyifatkan tindakan anda dengan berseteru di tempat awam itu tidak menghormati wanita dan juga bulan Ramadan. Boleh anda beri sedikit penjelasan tentang itu?

Saya rasa tidak patut keluarkan kenyataan macam itu. Kita tidak tahu cerita sepenuhnya. Tidak baik mengata di bulan puasa ini.

Mungkin mereka tidak tahu cerita sebenar. Jadi, apa yang boleh anda jelaskan?

Tidak ada apa-apa sebenarnya. Perselisihan faham itu terjadi disebabkan benda lain. Tidak ada kena mengena dengan saya. Saya cuma mahu pujuk dia (Nelydia) balik. Itu yang orang nampak seperti kami bergaduh. Bila mereka cakap saya tidak hormat wanita, jadi salahlah maklumat yang disampaikan oleh mereka itu. Saya juga tidak suka memanjangkan cerita yang negatif macam ini. Saya lebih suka bercerita tentang kerjaya. Maaf kalau jawapan saya ringkas tetapi itu hakikatnya. Tidak ada benda pun.

Apakah aktiviti anda sepanjang bulan Ramadan ini?

Sepanjang Ramadan ini saya sibuk dengan penggambaran rancangan baharu berjudul Kembara Qi. Sekarang saya di Kelantan. Selain itu, saya juga ingin menganjurkan majlis berbuka puasa dengan penyokong kerjaya saya. Insya-Allah ajak anak yatim sekali. Sebelum raya ini juga saya akan tolong ibu siapkan rumah untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Previous Post Next Post