BARISAN pelakon filem Maindhan yang sedang ditayangkan di pawagam. Dari kiri, Rabbit Mac, Gheeta, CK dan Sheezay.
WAJAHNYA biasa dilihat menerusi siri televisyen popular Gerak Khas terbitan pembikin filem tersohor, Datuk Yusof Haslam. C. Kumaresan atau lebih dikenali sebagai CK sememangnya dikenali umum sebagai Cif Inspektor Kumar dalam siri itu.
Kini, CK melangkah setapak lagi bukan sahaja sebagai pelakon utama dalam filem terbaharunya, Maindhan malah turut bertindak sebagai penerbit dan pengarah filem yang memuatkan aksi drift itu.
“Saya tidak mahu berkompromi dengan apa-apa adegan,” ujar CK tentang Maindhan yang bermaksud ‘anak lelaki’. Dalam filem yang berkisar tentang kisah penyeludupan kanak-kanak itu, CK memegang watak hero bernama Dev.
Tambahnya: “Saya tidak mahu mesej yang disampaikan terlalu berat. Jadi saya selitkan adegan aksi yang menarik.”
Menurutnya, tempoh tujuh tahun diambil untuk membikin filem tersebut kerana dia tidak mahu terburu-buru menyiapkannya.
“Saya memilih untuk melakonkan watak protagonis iaitu Dev sebagai seorang pelumba kereta dengan menyelitkan aksi drift,” ujar CK mengenai filem Tamil Malaysia pertama yang menampilkan aksi drift itu.
Pengarah filem itu, G. Rubindran, 33, yang banyak terlibat dalam filem-filem Melayu sebelum ini mengakui Maindhan merupakan filem Tamil tempatan yang paling mencabar.
“Bagi adegan drifting, kami menggunakan bantuan seorang drifter profesional bernama Rudi. Dia banyak menjayakan filem Melayu sebelum ini. Tetapi untuk adegan aksi yang lain, saya dan kru yang mengendalikannya.
“Hampir 70 peratus daripada filem ini menggunakan khidmat aksi lasak,” kata Rubindran yang turut menyelitkan adegan Dev memanjat bukit berbatu dengan menggunakan seekor ular sawa sebagai tali.
CK pula tidak ketinggalan mengulas pengalamannya dalam filem tersebut.
“Setiap kali Rudi mengajak saya belajar melakukan drifting, saya tidak berkesempatan. Namun, sepanjang penggambaran Maindhan, saya berjaya melakukannya dengan bantuan Rudi dan semua kru,” kata CK.
Ujarnya lagi: “Saya juga telah ‘memaksa’ Rudi melakukan beberapa aksi yang sukar seperti membuat drifting dikenali donut (pusingan 360 darjah) di tempat letak kereta yang dikelilingi tiang.”
“Saya juga berterima kasih kepada heroin filem ini, Shaila Nair kerana dia berani berdiri di tengah-tengah sewaktu kami melakukan aksi donut. Bukan semua orang bersedia membuat perkara itu. Mujurlah saya berjaya memujuk dan meyakinkan Shaila,” cerita CK.
Pelbagai lagi aksi mencabar dilakukan CK termasuk aksi yang boleh menyebabkan kecederaan parah. Tanpa kesal, CK memberitahu, jika tersalah langkah, filem ini mungkin tidak dapat disiapkan malah nyawanya boleh tergadai.
Sementara itu, sinematografer M.S. Devnesen berkata, setiap gerak dan langkah dalam filem itu dirakam secara teliti menggunakan kamera berteknologi tinggi supaya ia memberikan gambaran yang paling jelas, tepat dan seiring dengan kerja keras CK untuk filem itu.
“Kami menggunakan beberapa kamera termasuk tiga kamera gopro (kamera kecil yang dipasang untuk rakaman dekat dan teliti) berdefinisi tinggi untuk aksi-aksi khususnya drifting.
“Kamera gopro itu dipasang dekat tayar kereta untuk menampakkan gerakan kereta sewaktu aksi dilakukan,” jelas Devnesen.
Menelan kos RM700,000 untuk produksi sahaja dan RM400,000 untuk pascaproduksi, Maidhan ditayangkan di 33 buah pawagam di seluruh negara bermula semalam, 7 Ogos.