FABIO MECHETTI
ORKESTRA Filharmonik Malaysia (MPO) mengalu-alukan kehadiran pemuzik kelahiran Brazil, Fabio Mechetti yang telah dilantik sebagai Konduktor Prinsipal baharu bagi tahun 2014 dan 2015.
Pengerusi MPO, Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim dalam satu kenyataan akhbar berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan perlantikan tersebut berdasarkan pengalaman luas yang dimilikinya.
"Fabio dikenali dengan kepakarannya untuk memimpin orkestra ke arah persembahan yang terbaik dan sudah tentu dengan kehadirannya akan menyediakan kepimpinan artistik dan aspirasi untuk membuka lembaran baru bagi MPO.
"Selain itu, beliau turut mempunyai pengalaman yang sangat luas seperti menjadi Pengarah Muzik untuk Orkestra Simfoni Syracuse, Spokane dan Jacksonville di Amerika Syarikat serta Orkestra Filharmonik Minais Gerais di Brazil," ujarnya.
Sementara itu, Fabio pula menyatakan bahawa pelantikannya sebagai Konduktor Prinsipal MPO merupakan satu penghargaan yang cukup bermakna buat dirinya dengan peluang yang telah diberikan.
"Saya sangat gembira dan akan menghargai peluang yang diberikan untuk bekerjasama dengan kumpulan pemuzik yang sangat berbakat besar dan komited, berkongsi kehebatan karya-karya simfoni bersama audiens serta terus memacu sasaran artistik supaya muzik menjadi lebih dekat dalam kehidupan seharian," jelasnya.
Pada bulan Januari 2015, Fabio bakal memimpin Carmen Festival sempena meraikan ulang tahun ke-140 karya terunggul ciptaan Bizet. Ia dimulai dengan acara balet hasil koreografer tempatan, Wan Ching Choong dan diakhiri dengan persembahan opera arahan Andre Heller-Lopes.
Sementara itu, terdapat beberapa acara menarik yang akan dipersembahkan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada tahun 2014 dan 2015 bersempena dengan sambutan DFP Seni Festival.
Menariknya, sepanjang festival DFP akan menyajikan peminat dengan konsert yang bertemakan Akustika I dan Akustika II yang menampilkan barisan penyanyi popular seperti Ning Baizura, Zainal Abidin, OAG, Hujan, Atilia, Elvira Arul dan Jay Jay pada bulan September ini.
Kemudian, festival berkenaan diakhiri dengan sebuah konsert istimewa bertemakan Malaysia Tanah Airku. MPO bakal mempersembahkan seleksi lagu-lagu yang bertemakan khazanah seni budaya menerusi penampilan penyanyi Datuk Yusni Hamid, Datuk M. Nasir, Alyah dan Nassier Wahab.
Selain itu, penyanyi Dayang Nurfaizah turut mengadakan sebuah konsert solo di DFP pada November ini sempena meraikan ulang tahun ke-15 pembabitannya dalam industri nyanyian, manakala Datuk Jamal Abdillah pula bakal berkolaborasi dengan MPO dalam satu konsert yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2015.
Untuk sebarang pertanyaan tentang acara yang berlangsung di DFP, sila hubungi Box Office di talian 03-2051 7007, atau melayari laman web www.mpo.com.my.