
TIDAK dapat disangkal, konsert kali kedua Cnblue di Malaysia ini cukup sukses dari segi aura dan impaknya.
FENOMENA lagu K-Pop di Malaysia semakin hari semakin hilang auranya. Namun, itu bukan suatu halangan buat band rock yang berasal dari Korea Selatan, Cn
blue untuk menarik peminat menyaksikan konsert kali kedua mereka di Kuala Lumpur.
Buktinya, pada malam Sabtu lalu, pekarangan Stadium negara dipenuhi dengan peminat Cnblue. Kebanyakan mereka merupakan gadis belasan tahun yang tidak ralat untuk berhabis wang sehingga RM588 demi sekeping tiket VVIP.
Konsert jelajah yang diberi nama 2014 Cnblue Can’t Stop Live in Kuala Lumpur itu boleh dikatakan cukup berjaya. Ruang stadium dipenuhi dengan 5,000 peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menatap wajah artis pujaan mereka dari jarak dekat.
Cnblue yang dianggotai oleh Jung Yong-hwa (gitar/vokal utama), Lee Jong-hyun (gitar/vokal), Kang Min-hyuk (drum) dan Lee Jung-shin (bass) sememangnya mempunyai aura tersendiri kerana masih mampu membuatkan peminat menggilai mereka sehingga ke hari ini.
Persembahan band Cnblue dimulakan tepat pada pukul 7.40 malam. Tanpa sebarang gimik, tanpa sebarang bicara, mereka muncul di atas pentas dan terus menyanyikan lagu Times Is Over yang dipetik daripada album Code Name Blue.
Persembahan diteruskan sehingga lagu Diamond Girl dan Intuition tanpa sebarang bicara. Tamat sahaja lagu ketiga, mereka berhenti sebentar untuk berinteraksi dengan peminat.
“Apa khabar, kami Cnblue. Selamat datang ke konsert kami. Semua mari bergembira. Selamat berkenalan. Aku cinta padamu dan kami sudah bersedia,” itulah antara sesi bicara dalam bahasa Melayu yang dituturkan oleh anggota band Cnblue.
Bertanya khabar
Selesai bertanya khabar, mereka meneruskan persembahan dengan lagu yang berjudul Love. Paling menarik perhatian peminat apabila Yong-hwa bertukar alat muzik daripada gitar ke keyboard. Dia bijak membelai jiwa peminat dengan memainkan lagu cukup romantis iaitu These Day dan My Miracle.
Sesekali mereka berhenti untuk berbual dengan peminat. Meskipun sebutan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mereka kadangkala sukar untuk difahami tetapi itu sudah memadai untuk membuatkan peminat menjerit kegembiraan.

BARISAN anggota Cnblue tunduk sebagai tanda hormat atas sokongan yang diberikan peminat selepas persembahan berakhir.
“Adakah anda semua seronok? Saya sayangkan Malaysia,” itu antara bait bicara yang terluncur daripada mulut vokalisnya, Yong-hwa.
Persembahan diteruskan sehingga pukul 10 malam tanpa henti dengan 24 buah lagu keseluruhannya. Antara lagu lain yang didendangkan ialah I’m A Loner, Let Me Know, Lady, Can’t Stop, Robot, Wake Up dan Love Girl.
Melihat persembahan mereka secara langsung, nyata mereka antara artis berbakat yang layak untuk diminati peminat Malaysia. Walaupun tidak faham lirik yang dinyanyikan dalam bahasa Korea tetapi kejujuran dalam lagu yang disampaikan sampai di hati setiap peminat.
Bukan itu sahaja, tenaga mereka juga tidak pernah surut. Mutu vokal Yong-hwa dan vokalis keduanya, Jong-hyun tidak pernah sumbang sehingga ke lagu terakhir.
Menariknya, selesai sahaja menyanyikan lagu terakhir, Love Light mereka berempat berjalan ke kiri dan kanan pentas sambil tunduk pada peminat sebagai tanda hormat atas sokongan yang diberikan.
Merendah diri
Sesuatu yang cukup meruntun hati peminat betapa mereka merendah diri dan sedar tanpa peminat mereka tidak akan berjaya seperti hari ini.
Menurut Yong-hwa yang ditemui pada sidang akhbar sehari sebelum konsert berlangsung, selepas konsert jelajah ini berakhir mereka akan kembali sibuk di studio untuk merakamkan album terbaharu mereka selain album solo Yong-hwa.
“Selepas ini kami akan sibuk di studio. Saya akan sibuk dengan persiapan album solo. Kemudian akan sibuk dengan rakaman album terbaharu Cn
blue,” balasnya.
Setakat hari ini, Cnblue telah menghasilkan enam album studio dan sembilan mini album. Album terbaharu mereka Can’t Stop yang dikeluarkan pada tahun ini juga disifatkan antara album yang berjaya kerana mengandungi banyak lagu popular.
Kata akhir daripada mereka, konsert kali ini bukanlah konsert terakhir mereka di Malaysia. Mereka berjanji akan datang ke Malaysia secepat yang mungkin.
Apa yang pasti, dengan kualiti muzik dan persembahan yang diberikan Cnblue, tidak mustahil mereka akan kekal lama dalam industri muzik dan akan berkunjung ke Malaysia mengadakan konsert saban tahun.