Duit raya Miera Lydia RM9,000


MIERA LEYANA (tengah) bersama ibu, Aishah Abdullah dan adiknya, Miera Lydia berada di Barcelona, Sepanyol, pada 1 Ramadan lalu.

BAYANGKAN perancangan raya yang dilakukan pada saat akhir tetapi terpaksa pula diubah, juga pada saat akhir. Itu yang berlaku kepada pelakon remaja, Miera Leyana pada sambutan Aidilftri kali ini. Ketika dihubungi empat hari sebelum tarikh Aidilfitri diraikan tanggal 28 Julai lalu, Miera memberitahu, sepertimana empat tahun lepas, dia dan keluarganya merancang untuk menyambut Aidilfitri kali ini di luar negara.

“Sudah empat tahun berturut-turut, Miera dan keluarga menyambut Aidilfitri di luar negara, kali terakhir di Sydney dan Melbourne, Australia pada tahun lepas.

“Namun, pada tahun ini, terdapat sedikit masalah kerana kami belum membuat keputusan sama ada mahu beraya di London atau Itali, bergantung kepada keputusan keluarga Miera,” akui Miera.

Mengenali Miera atau nama penuhnya, Miera Leyana Kasmi dengan lebih dekat ketika menyertai rombongan artis berkunjung ke Barcelona dari 23 hingga 30 Jun lalu yang ditaja Rafflesia, The Pearl Centre dan AirFrance, Kosmo! mengambil kesempatan untuk mengadakan sesi fotografi raya bersama Miera berlatarkan lokasi klasik dan eksotik bandar raya kedua terbesar di Sepanyol itu.

Kebetulan ketika berkunjung ke Barcelona itu, Miera turut ditemani ibu, Aishah Abdullah dan adik bongsunya, Miera Lydia.

Sehubungan itu, sesi fotografi raya tersebut turut membabitkan Aishah dan Lydia bersama Miera memandangkan ketiga-tiga mereka tidak pernah terbabit dalam sesi fotografi yang sama dengan sebarang media sebelum ini.

Maka, selain Miera, Kosmo! turut berpeluang berkenalan dengan ibu Miera dan adiknya itu.

Justeru, individu yang paling sesuai bagi mendapatkan kepastian tentang destinasi Aidilfitri Miera kali ini sudah tentu ibu pelakon filem Pecah itu sendiri.

“Kemungkinan besar pada tahun ini, kami sekeluarga akan beraya di London,” ujar Aishah.

Ramadan di Barcelona

Ditanya kenapa dia mengambil keputusan membawa keluarganya termasuk Miera beraya di luar negara sejak empat tahun lepas, Aishah ternyata ada sebab tersendiri.

Ujarnya, ia bukan sebab ingin menunjuk-nunjuk atau yang seumpamanya, tetapi kerana tiga orang anaknya sudah dewasa. Selain Miera, 20, dan Lydia, 19, Aishah mempunyai seorang anak, Eddy Fadley 26,

“Kami anak beranak sudah biasa beraya di kampung di Johor sebelah keluarga saya dan di Perak, sebelah keluarga suami, selama ini.

“Jadi, bila anak-anak dah besar, saya dan suami terfikir kenapa tidak kami anak beranak ubah angin beraya di luar negara. Bukan sebab tak seronok beraya di kampung tetapi ingin mencuba kelainan,” jelasnya.

Katanya lagi, selepas empat tahun berturut-turut beraya di luar negara, dia mendapati hasilnya membuahkan sesuatu yang positif.

“Sepanjang beraya lima beranak di luar negara, kami dapat eratkan lagi jalinan kekeluargaan antara kami. Ini kerana kalau beraya di Malaysia, kami tak mungkin dapat habiskan banyak masa dengan sentiasa bersama seperti di luar negara,” tutur Aishah.


MIERA dan ahli keluarganya memiliki hubungan yang sangat rapat antara satu sama lain.

Itu kenyataan Miera dan ibunya, empat hari sebelum sambutan Aidilfitri. Namun benar seperti ungkapan, manusia hanya merancang, tetapi Tuhan yang menentukan.

Miera yang dihubungi sekali lagi pada hari raya keempat menegaskan, dia dan keluarga tidak jadi beraya di luar negara tahun ini.

“Kami terpaksa mengubah pelan beraya di luar negara pada tahun ini, memandangkan ramai sanak saudara yang rapat dengan keluarga, kebetulan kesemuanya beraya di Kuala Lumpur.

“Itu pun kami dapat tahu mengenainya pada saat akhir. Jadi, tak manis, kalau keluarga kami sahaja yang tiada untuk beraya bersama mereka di sini,” ujar Meira.

Muka biru sebelah

Biarpun apa yang dirancang tidak menjadi, Miera tetap teruja meraikan Aidilfitri kali ini kerana berpeluang berkumpul beramai-ramai di Kuala Lumpur dengan sanak saudara tersayang.

“Walaupun tak jadi beraya di luar negara, setidak-tidaknya pada tahun ini, Miera sempat mengalami pengalaman hari pertama Ramadan di luar negara (Barcelona), termpoh hari,” bicara Miera yang menggemari juadah raya, dodol yang masih panas selepas dimasak dalam kuali besar, selain ketupat daun palas.

“Miera akui, seronok beraya di luar negara, biarpun ada kalanya jauh di sudut hati terasa kesayuan mengenangkan suasana raya di Malaysia,” ujarnya.

Bercerita tentang kenangan raya, kata Miera, selama ini dia seronok beraya di kampung halaman ibunya di Muar, Johor dan desa bapanya di Parit Buntar Perak.

“Namun, ada kenangan pahit Aidilfitri ketika Miera belasan tahun. Bapa ketika ini baru beli motosikal. Beberapa hari sebelum raya, Miera tiba-tiba cuba untuk menunggangnya, tetapi sudah tersalah tekan minyak.

“Akibatnya, Miera alami kecederaan yang teruk juga, sampai berdarah lengan dan kepala, dan terpaksa dikejarkan ke hospital,” tuturnya.

Tambah Miera: “Yang kelakarnya, pada hari raya, Miera berkurung dalam bilik kerana malu sebab sebelah muka yang cedera sudah berwarna biru.

“Sehinggalah kenalan ibu datang satu keluarga yang mana mereka mempunyai seorang anak lelaki remaja tampan yang Miera kenal sejak kanak-kanak lagi, tapi sudah lama tidak jumpa dia, sebab dia belajar di luar negara.

“Jadi lagilah malu Miera mahu keluar bilik, tapi mama paksa juga miera jumpa dia dan keluarganya. Miera lalu dapat idea, Miera solek muka Miera sebelah yang okey itu, sebab tetap mahu nampak cantik, biarpun sebelah muka lagi biru. Apabila Miera muncul, semua orang terutama dia sangat terkejut,” ceritanya sambil ketawa.

Namun kenangan raya paling manis dilami Miera pula berkaitan dengan duit raya. “Ketika berusia 13 tahun, Miera berjaya kumpul duit raya sehingga mencecah RM9,000,” ujarnya yang bakal muncul dengan filem arahan Mamat Khalid, Rentaz dan sebuah filem terbitan KRU, Dendam Orang Mati.


Previous Post Next Post