Amyra Rosli Serah pada takdir


DAZRIN dan Amyra akur dengan takdir yang telah ditetapkan bahawa mereka tidak jadi berkahwin pada 8 Ogos ini.

“MANUSIA hanya mampu merancang, namun, Tuhan yang menentukan selebihnya,” ungkap pelakon Amyra Rosli menerusi corong telefon sewaktu dihubungi Kosmo! ketika diminta untuk mengulas mengenai pembatalan majlis pernikahannya bersama Dazrin Kamarudin yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 8 Ogos ini.

Pemilik nama sebenar, Nur Amira Izzati Rosli, 23, yang mengikat tali pertunangan dengan Dazrin pada 25 Ogos tahun lalu, bagaimanapun enggan memberitahu sebab utama kenapa dia dan tunangnya itu mengambil keputusan untuk membatalkan majlis pernikahan mereka.

Selain itu, dia turut menegaskan bahawa hubungan keluarga yang terbina antara pihaknya dan Dazrin masih dalam keadaan baik.

Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dengan pelakon siri Oh My English ini:

Kosmo!: Kenapakah anda mengambil keputusan untuk membatalkan majlis pernikahan yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 8 Ogos ini?

AMYRA: Apa yang boleh saya katakan semuanya berlaku kerana tiada jodoh antara kami. Kita hanya mampu merancang tetapi selebihnya terserah pada takdir. Saya tidak boleh menyatakan sebab utama kenapa kami mahu membatalkan majlis pernikahan ini kerana perkara itu terlalu peribadi.

Bagaimanakah respons kedua-dua belah keluarga terhadap perkara ini?

Hubungan kekeluargaan antara kami sangat rapat. Setiap keputusan yang dilakukan telah melalui beberapa sesi perbincangan terlebih dahulu. Walau apa pun yang terjadi, kami tak mahu mengeruhkan hubungan yang telah terbina.

Bilakah anda mengambil keputusan untuk membatalkan majlis ini?

Pada bulan Ramadan kami sudah mula berbincang dan cuba untuk mencari kata putus. Sehingga semalam (kelmarin) barulah saya tampil membuat kenyataan. Tidak manis berdiam diri kerana banyak pihak terutamanya rakan-rakan media telah tahu tentang majlis pernikahan kami.

Apakah perasaan anda ketika mahu mengumumkan tentang perkara berkenaan?

Sejujurnya, saya agak keberatan. Disebabkan itu, kami dua keluarga mengambil masa yang agak lama untuk mengambil kata putus.

Jadi, apakah status hubungan kalian buat masa ini?

Maaf saya tidak boleh berkongsi tentang perkara tersebut namun, saya serahkan semuanya kepada takdir.

Bagaimanakah pula dengan persiapan perkahwinan?

Semuanya telah siap. Cuma jodoh sahaja tiada.

Adakah keputusan ini berkait rapat dengan isu gambar Dazrin bersama pelakon, Ramona Zam Zam pada bulan lalu?

Saya tidak mahu memberi sebarang komen mengenai perkara tersebut. Saya sendiri tidak menyedari tentang gambar itu sehinggalah ia muncul di akhbar.

Bagaimanakah dengan perkembangan karier anda sekarang?

Apabila kami memilih tarikh 8 Ogos, saya telah mengosongkan jadual bagi menumpukan pada persiapan perkahwinan. Apabila majlis sudah dibatalkan, saya akan menyambung semula kerja dalam masa yang terdekat ini.


Previous Post Next Post