Penyanyi berbakat yang kini semakin dikenali menerusi lagu ‘Hingga Hujung Dunia’ Hanie Soraya merupakan seorang pelajar dalam kedoktoran di Universiti Mansoura, Mesir.
Berpeluang bertemu dengannya dalam sebuah majlis baru-baru ini, Hanie mengakui walaupun dia kini sudah bergelar penyanyi di Malaysia namun dia tidak akan sesekali melupakan pelajarannya.
“Saya merupakan pelajar tahun kedua dalam jurusan kedoktoran dan sekarang saya masih berada dalam cuti semester.
“Saya memang suka menyanyi sejak dari kecil dan Alhamdulillah impian saya untuk menjadi penyanyi tercapai.
“Namun saya tetap akan belajar dan terus menumpukan perhatian saya terhadap pengajian saya… Saya tahu ia memang agak sukar untuk membahagikan masa diantara kerjaya dan cita-cita, tetapi saya akan berusaha sehabis baik,” katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Hanie lagi, dia tidak menafikan untuk membahagikan masa diantara belajar dan menyanyi merupakan tanggungjawab yang sangat berat.
“Saya mahu berjaya dalam kedua-dua bidang dan kalau boleh ingin dikenali sebagai seorang doktor yang mampu menyanyi.
“Kenapa tidak? Di mana ada kemahuan di situ ada jalan dan bagi merealisasikan impian saya itu saya akan pastikan saya dapat membahagikan masa dengan baik.
“Tak salah rasanya jika saya mendahulukan pelajaran bukan? Saya juga berazam untuk menamatkan pengajian saya.
“Jika cuti semester, saya akan pulang ke Malaysia dan meneruskan perjalanan saya dalam bidang muzik pula,” ujarnya tersenyum.
Dalam pada itu,Hanie yang kini berada dibawah naungan syarikat penyanyi terkenal Faizal Tahir iaitu Faithful Music ini juga menjelaskan penglibatannya dalam dunia seni adalah tidak dirancang.
“Saya tak sangka pun yang saya akan terlibat dalam dunia seni malah penglibatan saya ini juga adalah secara tidak dirancang.
“Sebenarnya, selepas tamat SPM (sijil pelajaran Malaysia) saya ada banyak masa terluang dan hanya duduk dirumah.
“Tapi saya hanya menyanyi sekadar suka-suka… Kemudiannya pada waktu itulah ibu saya memaksa saya untk menghadiri satu ujibakat uang dilakukan oleh Faizal Tahir.
“Perasaan saya pada mulanya agak berat hati untuk ke sesi ujibakat tersebut… Namun mungkin rezeki saya apabila saya dipilih dan diterima untuk menjadi artis dibawah syarikat naungan Faizal Tahir.” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 20 tahun ini akan berangkat kembali ke Mesir untuk meneruskan pengajiannya selepas Raya Haji nanti.