Jaclyn Victor Jumpa di KL nikah di AS



JAC dan Shawn telah bernikah pada 19 Julai lalu di Philadelphia, AS.

BAGI sesetengah pasangan selebriti yang menyulam cinta, bukan mudah untuk mereka menyembunyikan perlakuan atau rasa kasih daripada disedari khalayak.

Namun, berbeza pula keadaannya dengan hubungan pasangan penyanyi yang berasal dari dua negara berbeza ini.

Mungkin jarak antara dua benua menjadikan kisah cinta penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor dan suaminya, Shawn Rivera, 40, yang merupakan anggota kumpulan R&B, Az Yet tidak terhidu oleh khalayak dan media tempatan.

Hubungan yang pada mulanya atas dasar kerja itu bertukar landskap menjadi sebuah penyatuan rasmi selepas pasangan itu memeterai ikatan perkahwinan pada 19 Julai lalu.

"Bibit perkenalan kami bermula sewaktu Shawn dan kumpulan Az Yet datang ke Kuala Lumpur (KL) untuk merakamkan lagu runut bunyi filem Ribbit yang berjudul Magical Moment.

"Masih segar dalam ingatan saya ketika saya melangkah masuk ke dalam studio, orang pertama yang saya lihat ialah Shawn. Tanpa berfikir panjang saya menghulurkan tangan sebagai tanda perkenalan, dia berdiri dan menyambut tangan saya lalu menciumnya. Saya sangat terkejut.

"Sepanjang lima hari mereka di KL, kami hanya berkesempatan berjumpa selama tiga hari sahaja. Sepanjang tempoh itu kelakuan Shawn sangat pelik dan acap kali mengajak saya bersembang dengannya.

"Lebih melucukan ketika kami selesai merakamkan klip video lagu Magical Moment di hadapan layar hijau (green screen) sambil mengenakan baju berwarna putih. Saya didatangi Shawn dan dengan beraninya dia bertanya adakah gaun putih ini akan saya pakai pada majlis perkahwinan nanti," ujar Jac berkongsi bibit perkenalan dengan suaminya di Kuala Lumpur pada awal tahun lalu.




Pasangan itu sudah hampir sebulan berkahwin di sebuah gereja di tempat kelahiran Shawn di Philadelphia, Amerika Syarikat (AS).

Sebelum ini jawapan biarlah rahsia menjadi menghalang kepada pihak media untuk menembus ceritera sebenar kad jemputan ke sebuah majlis yang diedarkan Jaclyn dan ibunya kira-kira sebulan lalu.

Namun, kini semuanya sudah terjawab pada majlis serba ringkas yang dilakukan sendiri oleh penyanyi popular lagu Jagalah Diri itu di Istana Budaya pada Selasa lalu.

"Saya tidak berniat untuk merahsiakan perkahwinan ini. Bagi mereka yang sudah mengenali saya pasti tahu bahawa saya jenis berahsia dan tidak suka berkongsi hal peribadi kepada umum.

"Malah, ketika kami berkahwin pada 19 Julai lalu, saya hanya menjemput 35 orang tetamu termasuk keluarga terdekat tetapi sebagai selebriti, saya perlu memberitahu kepada khalayak tentang status hubungan saya sekarang," ujar Jac sambil memberitahu mereka sering berbual menerusi aplikasi Tango kerana hubungan jarak jauh membataskan mereka untuk sering berjumpa.

Sementara itu, Shawn yang pernah membuat konsert di Kuala Lumpur pada tahun 1998 mengakui, tertarik dan jatuh cinta pandang pertama terhadap Jac.

Biarpun pertemuan itu hanya seketika tetapi Shawn percaya bahawa Jac ialah permaisuri hati yang paling layak menjadi isterinya.

"Mulanya, saya tidak percaya terhadap cinta pandang pertama tetapi sebaik sahaja bertentang mata dengan Jac, saya terus merasakan dia cukup sempurna untuk dijadikan suri hati dalam hidup saya. Kini baru saya sedar bahawa cinta pandang pertama itu telah memberi penangan yang hebat.

"Jac seorang wanita yang kuat. Dia tidak bermuka-muka apabila bercakap dengan saya dan seorang penyanyi yang berjaya dalam lapangan kariernya. Keluarga saya cukup meminati karakter Jac yang sangat peramah dan kelakar," kata Shawn, penyanyi dari Amerika Syarikat (AS) yang bercadang untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya sebagai pengubah lagu jika menetap di Malaysia kelak.

Sebelum mengakhiri pertemuan penuh kejutan itu, Jac dan Shawn tidak terlepas daripada soalan perancangan masa depan.

Shawn akan pulang ke AS pada September nanti, namun bagi Jac, itu semua tidak menjadi penghalang untuk mereka merancang masa depan keluarga yang baru dibina ini.

"Setiap orang yang telah berkahwin pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri hidup. Kami memang mahukan anak tetapi bukan dalam waktu terdekat. Mungkin pada penghujung tahun depan," ujar Jac yang masih belum membuat keputusan mengenai hala tuju kehidupannya selepas ini.
Previous Post Next Post