Johan As'ari lega ibu makin sembuh


SEPANJANG bulan Ramadan lalu, Johan lebih banyak memenuhi undangan majlis berbuka puasa.

SAMBUTAN Aidilfitri pada tahun ini ternyata menampilkan suasana yang cukup berbeza buat pelakon Johan As’ari dan seluruh ahli keluarganya. Hal yang demikian kerana mereka sekeluarga tidak lagi menyambutnya di rumah di Ampang, Selangor seperti selalu, sebaliknya sambutan kali ini akan dibuat di rumah baharu mereka yang terletak di USJ, Subang Jaya.

“Sebenarnya pada bulan puasa lalu, kami sekeluarga telah berpindah rumah dan saya banyak meluangkan masa membantu memindahkan barang-barang memandangkan kurang terbabit dengan aktiviti lakonan.

“Jadi, sambutan Aidilfitri ini kami sekeluarga akan meraikannya di rumah baharu.

“Bagaimanapun, saya mungkin tidak bercuti dalam tempoh yang lama kerana ada komitmen kerja,” ujarnya ketika ditemui semasa majlis pertunjukkan fesyen Diandra Couture di Maju Junction, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, pada tahun ini dia akan cuti berhari raya selama empat hari sahaja kerana bakal menjalani penggambaran sebuah telemovie berjudul Hatiku Di Krabi pada raya kelima dan akan berada di Krabi, Thailand selama seminggu.

Meskipun tidak bercuti panjang, Johan memberitahu, dia akan tetap mengadakan majlis rumah terbuka yang akan diadakan di rumah baharunya itu nanti.

“Insya-Allah, mungkin saya akan adakan majlis rumah terbuka khas buat para peminat. Saya perlu berbincang dengan keluarga terlebih dahulu untuk mendapatkan tarikh yang sesuai.

“Kalau sudah ada keputusan saya akan beritahu majlis yang dianjurkan menerusi laman sosial dan saya akan mengundang peminat, rakan-rakan artis dan pihak media untuk hadir nanti,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon yang mula dikenali ramai menerusi drama bersiri Juvana berkenaan meluahkan rasa syukurnya dengan keadaan kesihatan ibunya, Datin Firdaus Abdul Kader yang semakin pulih setelah dimasukkan ke hospital pada bulan Jun lalu.

Ujarnya, dia berasa lega dengan keadaan ibunya sekarang yang semakin baik setelah menjalani rawatan dan ia menyatakan bahawa sambutan Ramadan dan Aidilfitri buat dirinya pasti menjadi lebih bermakna.

“Sebelum ini ibu terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Serdang selama dua minggu. Sekarang ibu sudah semakin sihat dan pastinya ia merupakan satu rahmat buat kami sekeluarga,” ujarnya yang enggan mendedahkan penyakit sebenar yang dihidapi ibunya itu.

Ketika ditanya mengenai aktiviti seninya sepanjang bulan puasa yang lalu, Johan memberitahu, dia tidak banyak terlibat dengan sebarang aktiviti lakonan dan masa yang dimiliki lebih banyak dihabiskan dengan terbabit dalam program kebajikan.

Menurutnya, sebelum menyambut bulan Ramadan yang lalu, dia telah selesai menjalani penggambaran filem Juvana 2 dan Juvana 3 serta sebuah telemovie untuk tayangan Aidilfitri berjudul Superstra.

“Kalau diikutkan ketika Ramadan saya tidak mahu ambil sebarang tawaran lakonan. Namun begitu, saya telah ditawarkan berlakon dalam sebuah telemovie tentang kemerdekaan dan rasa rugi pula kalau saya tolak,” ujarnya.

Apabila ditanya tentang perkembangan karier seninya lantaran masalah yang dihadapi syarikat Wirefame Entertainment Sdn. Bhd. (Wirefame) baru-baru ini, Johan memberitahu, ia langsung tidak menjejaskan jadual lakonannya.

Ujarnya, biarpun akaun syarikat di bawah naungannya itu telah dibekukan, tetapi masalah yang dihadapi mengenai bayaran dapat diatasi dengan baik.

“Alhamdulillah, rezeki dalam bidang lakonan masih lagi ada, meskipun pernah berhadapan dengan masalah yang membabitkan soal bayaran apabila akaun dibekukan.

“Misalnya, ketika menerima bayaran untuk filem Juvana 2 dan Juvana 3, pihak Wirefame Entertainment dan syarikat produksi filem tersebut bersetuju agar nama dalam cek diletakkan nama saya. Jadi, tiada lagi masalah yang timbul tentang bayaran,” jelasnya.

Johan meluahkan yang dia tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak dan berharap agar semua masalah yang timbul dapat diatasi secara profesional.

Jelasnya, sehingga saat ini dia langsung tidak pernah berhasrat mahu meninggalkan syarikat Wirefame dan beranggapan bahawa segala permasalahan yang timbul itu pasti ada hikmah di sebaliknya.

“Lagipun segala masalah ini berlaku tanpa dijangka sehingga pada peringkat awal saya dan artis-artis di bawah pengurusan Wirefame yang lain turut terkena tempiasnya.

“Secara jujurnya saya sayangkan Marina dan Zizan kerana kedua-duanya yang telah mengambil saya untuk menyertai syarikat ini dan menguruskan segala perjalanan karier saya sebagai seorang pelakon,” luahnya.

Menurutnya, dia mahu agar isu tersebut tidak lagi perlu diperbesarkan dan meletakkan harapan yang tinggi supaya semuanya berakhir.

“Tidak lama lagi kita bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dan sudah tentu kini masa yang paling baik untuk memperbaiki segala kesilapan dan salah faham yang berlaku,” luahnya.

Sementara itu, dia memberitahu agar pihak penerbit atau pengarah tidak perlu berasa risau dan takut mengambilnya berlakon, meskipun syarikat pengurusannya berhadapan dengan masalah.

Ujar Johan, tidak dinafikan dia berasa agak risau pada mulanya kerana bimbang periuk nasinya sebagai pelakon akan terjejas apabila isu mengenai Wirefame menjadi pengetahuan ramai.

“Saya berasa lega kerana masih ada lagi pihak yang mahu mengambil saya berlakon dan karier lakonan saya masih lagi berjalan seperti biasa,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.


Previous Post Next Post