Cerita raya Zarul, Aizat, Nomad dan Encik Mimpi



DARI kiri: Encik Mimpi, Nomad, Zarul dan Aizat berharap agar semua umat Islam dapat menikmati nikmat Syawal selepas sebulan berpuasa.

RIUH dan gamat! Begitulah suasana di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas, Puchong, Selangor sewaktu kedatangan Aizat Amdan, Zarul Umbrella, Nomad dan Encik Mimpi baru-baru ini.

Hadir bagi membantu menyediakan juadah masakan berbuka puasa bersama Chef Zam, empat penyanyi terkenal itu turut mengambil peluang yang ada untuk beramah mesra bersama penghuni rumah berkenaan.

Dalam masa yang sama, aktiviti yang dilakukan tersebut merupakan sebahagian rakaman Muzik-Muzik Edisi Raya 2014.

Selain aktiviti memasak dan bertanya khabar, keempat-empat mereka turut berkongsi tentang persiapan serta kisah suka dan duka ketika menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

Pernah beraya di Osaka

Beraya di perantauan mungkin sudah menjadi kebiasaan buat pelajar-pelajar mahupun individu yang belajar dan menetap di luar negara. Namun, bagi sesetengah pekerjaan yang menuntut untuk terbang mengelilingi dunia, sambutan hari raya di negara orang bukanlah menjadi pilihan utama.

Bekas vokalis kumpulan Umbrella, Zarul pernah menyambut Aidilfitri di Osaka, Jepun. Pemilik nama sebenar Zairulkefli Husin, 41, yang berkhidmat sebagai pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) ini berkata, dia pernah menyambut kedatangan lebaran di negara matahari terbit itu kira-kira tujuh tahun yang lalu.

“Pada waktu itu, saya dan juga rakan-rakan anak kapal yang lain tiba di Osaka pada petang hari raya pertama. Sedih juga kerana terpaksa menyambut hari raya di negara yang majoritinya bukan beragama Islam. Namun, kesedihan kami terubat apabila masing-masing mengeluarkan kuih raya yang dibawa dari Malaysia untuk dimakan bersama,” tutur Zarul yang juga pernah terbang ke Kuching, Sarawak pada malam hari raya pertama beberapa tahun lalu.

Tambah Zarul, walaupun waktu pekerjaannya tidak menentu, dia berasa sungguh bersyukur kerana ahli keluarganya yang lain sangat memahami skop kerjanya sebagai seorang pramugara.

“Saya beruntung kerana mempunyai kaum keluarga yang cukup memahami karier saya. Selain itu, saya juga turut bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang sangat membantu,” ujarnya yang hanya melakukan persiapan sederhana sempena kedatangan Aidilfitri tahun ini.

Syawal Aizat di UK

Jika Zarul pernah beraya di Osaka, Jepun atas tuntutan kerja, lain pula kisahnya dengan Aizat Amdan. Pelantun lagu Kau Dan Aku ini terbang ke United Kingdom (UK) pada malam raya pertama kira-kira dua tahun lalu bagi melanjutkan pelajarannya dalam bidang muzik.

“Kebiasaannya, kami akan pulang ke Raub, Pahang pada malam raya. Namun, pada waktu itu, saya sudah bersiap sedia untuk berlepas ke UK.

“Saya berasa agak pelik dan janggal. Namun, demi untuk melanjutkan pelajaran, saya tetap harunginya,” ujar Aizat yang mengambil masa selama tiga bulan untuk menamatkan pengajiannya di Garnish School of Song, London.

Begitupun, keinginannya untuk pulang ke Raub pada tahun ini tidaklah sehebat dahulu. Katanya, sejak kehilangan nenek yang tersayang, dia tidak mempunyai sebarang alasan untuk pulang ke kampung.

“Sejujurnya, selepas kehilangan nenek, saya tidak rasa mahu pulang ke kampung. Mungkin rasa gembira itu telah tiada tanpa kehadiran nenek saya,” katanya yang tetap akan pulang berhari raya di kampung sebelah ibunya di Kampung Melayu, Ampang, Selangor.

Berkongsi mengenai persiapannya pada tahun ini, Aizat yang pernah berduet bersama Noh Salleh menerusi lagu In Love With You ini tidak mengeluarkan belanja yang banyak untuk membeli baju raya.

Katanya, baju-baju sedia ada yang digunakan untuk sesi fotografi masih banyak yang tidak dipakai.

“Setiap kali dipanggil untuk sesi fotografi saya akan membeli baju baharu. Sehinggakan saya sendiri tidak sedar ada banyak baju yang masih tidak digunakan. Jadi, bagi mengelakkan pembaziran, lebih baik saya gunakan semula,” ujarnya.

Kemeriahan raya Nomad

Bagi pendatang baharu, Nomad, pertama kali beraya sebagai selebriti mungkin membuatkan pengalaman Aidilfitri dirinya berbeza jika dibandingkan dengan tahun-tahun lepas.

Ujar penyanyi yang popular menerusi lagu Tetap Menantimu ini, dia sudah menyediakan duit raya dalam jumlah yang agak banyak untuk diagihkan kepada sanak-saudaranya ketika berada di kampung kelak.

“Seperti biasa, saya akan pulang ke Kemaman, Terengganu untuk menyambut lebaran. Selain menyediakan kelengkapan raya seperti baju dan kuih, saya juga ada menyediakan duit raya untuk diagihkan kepada sanak saudara di kampung nanti,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai makanan kegemarannya sempena hari raya, Nomad atau nama sebenarnya Nur Mohd. Alieef Ayub, 25, memberitahu, menu kegemarannya ketika pulang ke kampung termasuklah nasi minyak lauk gulai ayam kari.

“Itu merupakan menu wajib bagi keluarga kami. Jika pulang beraya di kampung sebelah ayah di Muar, Johor, menu lontong pula menjadi pilihan,” katanya.

Raya masih sama – Encik Mimpi

Disebabkan penyanyi ini hanya menggunakan nama pentas ketika membuat persembahan, sambutan hari raya Encik Mimpi tetap sama walaupun telah bergelar penyanyi.

Menurut pelantun lagu Rindukanlah ini, sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini masih sama seperti tahun-tahun yang sudah. Bezanya, dia yang telah mula bekerja perlu mengeluarkan duit raya untuk diberikan kepada keluarga serta sanak saudara.

“Selain menyanyi, saya juga turut bekerja sebagai Pakar Teknologi Maklumat di sebuah syarikat di ibu kota. Justeru, segala keperluan untuk digunakan pada hari raya perlu disediakan sendiri,” katanya.

Ujar Encik Mimpi, bagi mengelakkan pembaziran, baju-baju yang dibeli untuk persembahan pentas pada bulan Ramadan akan dipakai pada pagi raya.

“Lebih-lebih lagi saya mendapat banyak tajaan pada tahun ini. Justeru, ia sedikit sebanyak dapat mengelakkan pembaziran,” katanya lagi.


Previous Post Next Post