DARI kiri: Sabhi Sadhi tidak pulang ke kampungnya di Sabah, Sherry Ibrahim pula memilih warna hitam dan hijau sebagai warna tema Aidilfitrinya manakala Dafi teruja kerana dapat menghabiskan masa bersama sanak saudara.
TIGA anak seni yang sedang menempa nama dalam industri seni tanah air digabungkan dalam satu sesi fotografi. Bagaikan sudah serasi bersama, ketiga-tiga anak seni ini tidak kekok diminta untuk bergambar bersama.
Intinya sudah tentu mengenai lebaran tahun ini. Di sebalik kerjaya sebagai anak seni, mereka berkongsi kisah lebaran yang berlainan.
Bernaung di bawah syarikat pengurusan yang sama, Laugh Out Loud Entertainment, aktiviti Sabhi Sadhi, Sherry Ibrahim dan Dafi sebagai seorang anak seni disusun rapi seiring dengan rencana lebaran pada tahun ini.
Sabhi Saddi beraya di Kuala Lumpur
Ketika kariernya kini sedang meniti menuju puncak, penyanyi Sabhi Saddi yang terkenal menerusi lagu duetnya bersama Marsha, Cinta Sesungguhnya mengambil keputusan untuk menyambut lebaran di Kuala Lumpur.
Penyanyi kelahiran Sabah itu mengambil keputusan untuk berhari raya di Kuala Lumpur buat kali pertama memandangkan isterinya, Aswani Abdul Razak, 28, kini sedang sarat hamil anak kedua mereka.
“Memang setiap tahun saya akan berhari raya di tempat kelahiran saya di Sabah, namun pada tahun ini disebabkan kekangan tertentu, saya terpaksa mengambil keputusan untuk berhari raya di sini sahaja.
“Namun demikian, kami kemudian pulang ke kampung halaman isteri saya yang terletak di Pasir Mas, Kelantan dan berjumpa sanak saudara di sebelah mertua saya.
“Memandangkan kami hanya berhari raya di Semenanjung, jadi persiapan raya kali ini biasa sahaja dan kami akan menumpukan untuk persiapan bayi yang bakal lahir pada bulan September ini,” ujar bekas peserta MasterChef itu.
DALAM pada sibuk beraya, Sabhi mengumumkan bakal muncul dengan single terbaharunya yang berjudul Percuma.
Bercerita mengenai pemilihan baju raya, Sabhi dan juga isteri sangat mengamalkan kesederhanaan, malah menurut penyanyi yang menginjak usia 30 tahun itu, jubah menjadi busana pilihannya pada hari raya.
“Bagi saya, ia persiapan sangat mudah. Selalunya, setiap tahun kami hanya membeli sepasang baju untuk dipakai semasa hari raya pertama sahaja dan untuk hari raya seterusnya kami hanya memakai baju pada tahun lepas,” ujarnya.
Bercerita mengenai pengalamannya menyambut lebaran di tanah kelahirannya di Sabah, tutur Sabhi, walaupun sudah berkahwin, kemeriahannya masih terasa sama seperti dahulu.
“Di sana (Sabah) suasananya masih mengekalkan adat dengan ziarah-menziarahi. Bayangkan pada tiga hari raya pertama, rumah ibu saya sentiasa terbuka dari pagi sehingga malam untuk tetamu.
“Kemeriahan sangat terasa, ditambah pula dengan kehadiran sanak saudara yang datang,” katanya yang begitu meminati hidangan Sabah yang dikenali dengan nama lamban yang merupakan sejenis pulut seperti lemang dan dimakan bersama ayam masak kicap.
Mengulas mengenai perkembangan terbaharunya, Sabhi kini sedang giat menjalani penggambaran untuk klip video terbaharunya, Cinta Sesungguhnya terbitan CST Production yang dijangka akan diterbitkan selepas raya nanti.
“Alhamdulillah, setakat ini penggambaran untuk klip video tersebut berjalan seperti yang dirancangkan dan selepas selesai dengan projek klip video tersebut saya bersedia untuk melancarkan single kelima yang berjudul Percuma,” katanya.
Dafi luangkan masa bersama bapa
Aidilfitri tentunya menjadi wadah untuk umat Islam meluangkan masa bersama keluarga tersayang.
Lahir sebagai anak kepada seorang pemimpin rakyat, Dafi turut tidak melepaskan kesempatan itu meluangkan masa bersama keluarganya.
Kesibukan dan komitmen masing-masing terhadap pekerjaan sekali gus mengurangkan masa untuk meluangkan masa bersama.
Dafi yang mengakui kesibukan ayahnya, sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sentiasa membataskan ruang untuk dia bersama ayahnya itu.
“Saya mengakui, beliau sangat sibuk dengan hal kerjanya sehingga kadang-kadang kami jarang berjumpa apatah lagi bercakap.
“Namun, lain situasinya pada hari raya. Walau sesibuk mana pun ayah saya, beliau tetap akan meluangkan masa bersama kami pada pagi raya.
“Baginya, hari raya merupakan hari istimewa untuk beliau bersama ahli keluarganya. Pada ketika itulah saya mengambil kesempatan untuk berbual panjang dengan ayah saya,” ujarnya.
Bercerita mengenai rutin sehariannya berhari raya, Dafi berkata, setiap tahun ayahnya akan membawa seluruh keluarganya untuk berhari raya di rumah terbuka Perdana Menteri Malaysia di kediaman rasminya di Putrajaya.
Selepas itu, dia akan pulang berhari raya di kampung sebelah bapanya di Temerloh, Pahang. Dia yang sangat teruja dan seronok dengan suasana kampung berkata, pulang ke kampung menjadi aktiviti wajib baginya dan keluarga.
PADA hari raya, Dafi mengambil peluang untuk berbual panjang dengan bapanya.
“Saya sangat menyukai suasana di kampung dengan kemeriahan dan keriuhan sanak saudara, tambahan pula aktiviti seperti membakar lemang dan bermain bunga api sudah tentu menjadi kewajipan kepada kami,” ujarnya yang meminati rendang sebagai hidangan wajib ketika berhari raya.
Beraya sebagai anak seorang menteri pula, kata Dafi, amat berbeza kerana dia dapat mengikut ayahnya, bertemu rakyat.
Pengalaman itu sangat istimewa buat Dafi kerana dia dapat membezakan bagaimana seorang pemimpin mendekati orang ramai dan artis bersama peminat.
Bercerita pula mengenai perkembangan terbaharunya, ujar Dafi, dia kini banyak melakukan kegiatan di belakang tabir selain kini sedang sibuk menguruskan syarikat pengurusan, Laugh Out Loud Entertainment.
“Alhamdulillah sehingga kini terdapat beberapa artis di bawah naungan Laugh Out Loud Entertainment antaranya termasuk Rozita Che Wan dan Sherry Ibrahim,” katanya.
Kesederhanaan raya Sherry Ibrahim
Bagi pemilik sebenar Syarizad Ibrahim, 31, atau lebih dikenali sebagai Sherry Ibrahim, lebaran kali ini penuh dengan kesederhanaan memandangkan anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu hanya pulang berhari raya di kampung bapanya di Kuang, Selangor.
Bercakap mengenai kemeriahan menyambut lebaran, anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu berkata, kemeriahan lebaran sama seperti tahun sebelum ini dan apa yang menjadi kepentingannya ialah dapat bersama dengan seluruh keluarganya.
“Semua sudah besar, masing-masing ada komitmen tersendiri, terutamanya mengenai hal kerja. Saya pun jika mempunyai tawaran lakonan saya akan menerimanya walaupun pada musim perayaan.
“Bagaimanapun, dari segi kemeriahan persiapan raya, saya dan adik-beradik akan sama membantu ibu di dapur untuk menyediakan juadah untuk lebaran, dan di situlah kemeriahannya terasa,” ujar Sherry yang meminati juadah ketupat palas sebagai hidangan wajibnya pada hari lebaran.
Tambahnya, tahun ini dia memilih untuk mengenakan busana berwarna hijau dan hitam.
Bagi Sherry, keluarganya tidak pernah menetapkan warna tema, malah kebebasan diberi untuk memilih warna kesukaan sendiri.
“Tahun ini saya memilih warna hijau dan hitam sebagai warna pilihan. Saya juga hanya membeli dua pasang baju pada tahun ini memandangkan seminggu selepas raya saya akan kembali untuk menjalani penggambaran,” ujarnya.