FATHIA kini sedang mempersiapkan diri. Katanya projek terbaharunya bakal memulakan penggambaran sekitar hujung bulan September depan dan atas alasan munasabah dia tidak menerima tawaran berlakon lain buat masa sekarang.
"Saya masih aktif berlakon dan masih teruja setiap kali diberi tawaran. Lakonan ialah minat saya. Hujung bulan nanti, saya akan masuk ke set penggambaran drama bersiri Bercinta untuk slot Samarinda di TV3.
"Saya langsung tiada niat untuk berhenti berlakon buat masa terdekat ini. Selagi kerja saya diterima oleh peminat dan mereka masih mahukan saya di kaca televisyen, saya akan terus berlakon.
"Selalunya selepas selesai sesebuah penggambaran sesebuah drama bersiri, saya akan berehat panjang, kumpul tenaga balik sebelum kembali ke set penggambaran yang baharu. Saya tidak suka kerja berterusan tanpa rehat kerana bimbang tidak dapat beri komitmen dan mutu lakonan yang terbaik," berikut penjelasan panjang lebar yang melenyapkan gosip sebuah akhbar mingguan baru-baru ini.
Tak mahu gopoh
Adakah lenyapnya Nur Fathia Abdul Latiff seketika selepas fenomena Ariana Rose menjadikan peminatnya panas punggung untuk melihat pelakon itu kembali beraksi di layar kaca?
Menjawab pertanyaan itu ulas Fathia, 27, dia enggan tamak dan terburu-buru menerima tawaran berlakon tanpa henti sampai perkara itu menjadi peluru yang membunuhnya suatu masa kelak.
"Pernah suatu ketika saya mengambil tawaran berlakon sejurus tamatnya penggambaran terdahulu. Kesannya kualiti lakonan saya pada tahap yang sangat teruk. Saya sendiri tidak berpuas hati!
"Sejak itu saya belajar untuk bertenang dan tidak tergopoh-gapah menerima semua tawaran. Saya nampak menghilang kerana saya sendiri pilih untuk berehat dan memperbaiki minda dan fizikal selepas berlakon drama rantaian yang memakan masa berbulan-bulan.
TIDAK muncul di kaca televisyen dalam jangka masa yang panjang, Fathia memberitahu, ia kerana dia sengaja berehat selepas menjalani penggambaran drama rantaian Ariana Rose.
"Berlakon bukan satu perkara yang wajib saya lakukan sampai nampak terdesak. Saya mahu bersiap-sedia, set semula minda dan membina karakter baharu," jelas penuntut jurusan Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu.
Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur itu bagaimanapun tidak menyangkal dakwaan bahawa tuduhan mahu berhenti berlakon itu wujud apabila dia tidak menerima sebarang tawaran berlakon dalam suatu tempoh masa panjang selepas tamat siaran Ariana Rose sekitar Februari lalu.
Bertukar jadual
Bagaimanapun, jelas Fathia berlaku sedikit pertukaran jadual penggambaran drama Bercinta yang bakal dibintanginya menjelang hujung bulan September depan.
"Sepatutnya saya memulakan penggambaran drama itu pada awal bulan September, jadi saya terpaksa menolak semua tawaran berlakon kerana mahu fokus satu persatu.
"Namun, berlaku perubahan jadual hingga menyebabkan penggambaran itu terpaksa ditunda ke hujung bulan September depan. Mungkin itu sebabnya timbul dakwaan pihak tertentu yang terfikir saya sudah mahu berhenti berlakon," ujarnya.
Fathia juga mengakui kesan daripada kurangnya memuat naik foto di laman sosial Instagram miliknya serta tiada aktiviti kemas kini di Twitter mengundang pertanyaan ramai pihak berhubung statusnya terkini.
"Mungkin sejak kebelakangan ini wajah saya sudah jarang muncul di kaca televisyen dan saya juga sudah jarang memuat naik status tentang kerjaya dan gambar-gambar di lokasi penggambaran ke laman sosial.
"Jadi, peminat mungkin terfikir bahawa saya juga sudah tidak berminat untuk berlakon lagi. Mudah bagi saya, kalau tiada sebarang informasi berguna tidak perlu saya obses melampau di laman Instagram sampaikan setiap perkara perlu dikongsi," kata Fathia.
DRAMA rantaian Bercinta akan menjadi buah tangan terbaharu lakonan Fathia. Ia sekali gus menepis cerita tentang dirinya yang dikatakan sudah mahu bersara.
Berangan bintang Hollywood
Hal perkongsian alam maya juga menjadi pertikaian minggu lalu apabila sekeping foto yang dimuat naik di laman Instagram miliknya (@fatiyalatiff) disalah ertikan segelintir pelayar internet hingga menyifatkan pelakon terbabit berangan.
"Kapsyen yang saya telah tulis di foto berkenaan sudah terang-terangan menjelaskan bahawa saya tidak boleh mengambil foto di tengah-tengah jalan raya kalau di Malaysia nanti kena halau.
"Tapi ada pula segelintir pihak yang salah interpretasi saya suka dikejar peminat seperti seorang artis Hollywood. Tidak logik pula kerana kalau di luar daripada bidang kerja saya seperti orang biasa yang ke dewan kuliah dan keluar makan bersama-sama kawan lain.
"Untuk sampai ke taraf Hollywood rasanya jauh lagi perjalanan, entah-entah memang mustahil untuk saya sampai ke sana," jelasnya yang enggan melayan gosip tidak masuk akal seperti itu.
Sementara itu, diusik mengenai perancangan masa hadapan bersama teman lelakinya, Aiman Hakim Ridza, jawab Fathia:"Hubungan kami baik dan keluarga kami saling mengenali. Kami juga seperti pasangan yang lain, merancang untuk mengikat hubungan ini dengan perkahwinan. Buat masa sekarang, kami berdua terlalu sibuk. Mungkin dalam tempoh dua tahun lagi barulah kami boleh berfikir tentang perkahwinan."