Kasyah, Psiko dan intim penggerak LBS3


KASYAH ditangan Farid Kamil sudah sebati sejak filem itu dihasikan dengan dua siri sebelum ini.

MENONTON sekuel ketiga Lagenda Budak Setan 3- Kasyah (LBS3) tidak ubah seperti membahagi-bahagikan cebisan hati mencari kepuasan. Malangnya, yang ditemui hanyalah ketidakseimbangan dalam persembahan.

Hadir selepas Lagenda Budak Setan 1 dan 2 , penamat kisah lelaki bernama Kasyah dalam novel fenomena naskhah nukilan Ahadiat Akasyah itu sememangnya dinanti-nantikan penggemarnya.






Sayangnya, Sharad Sharan selaku pengarah kelihatan sedikit mengecewakan peminat novel berhantu itu dengan hidangan sebuah penceritaan yang tidak kemas. Gandingan Maya Karin, Bront Palarae, Farid Kamil sepatutnya menghasilkan sebuah kisah yang mengalirkan penghayatan yang tanpa gangguan.

Apa yang diterjemahkan oleh Sharad pula sebuah plot yang bergerak pantas. Babak-babak filem itu banyak meninggalkan momen penting tidak seperti yang digambarkan sewaktu menelaah naskhah itu dalam bentuk novel.

Apa yang ketara ialah elemen intim dan psiko yang dipaparkan dengan agak berlebihan. Selain itu, ada beberapa babak yang tidak masuk akal turut dipaparkan. Antaranya, babak Hisham (lakonan Bront) yang dirantai di dalam sebuah bilik yang dipenuhi dengan tulisan-tulisan luahan rasa cintanya terhadap bekas isterinya, Katerina (Maya Karin).

Terganggu seketika, bagaimanakah seseorang yang dirantai sebegitu mampu menulis di hampir kesemua ruang dalam bilik kurungannya.

Begitu juga dengan babak Kasyah dan Katerina yang bercuti di atas kapal mewah. Babak intim kedua-dua pelakon itu menimbulkan rasa sedikit kurang senang kepada sesetengah penonton.

Beruntungnya Sharad, dia berjaya mengekalkan Maya, Farid dan Bront ke dalam filem sentuhannya. Tiga pelakon itu memberi aura untuk penonton kekal di kerusi sehingga penceritaan sampai ke bahagian penamat.


LAGENDA BUDAK SETAN 3 (LBS3) memaparkan tentang konflik hati dan perasaan yang tidak berpenghujung. Plot ceritanya ada yang digarap kemas, ada juga yang kelihatan tidak logik.

Filem LBS3 bermula apabila Zahirah (Ayu Raudhah) menjadi punca segala kekusutan hubungan antara Kasyah dan Katerina. Dia menerima tawaran wang sogokan yang besar daripada bapa Katerina, Sofean (Zack Cool), supaya menggoda Kasyah. Tugas Zahirah ialah mengaku di depan Katerina mengenai hubungan sulitnya bersama Kasyah. Tindakan Zahirah itu telah mengakibatkan pertunangan Kasyah bersama Katerina terputus.

Jarak masa akhirnya membuktikan bahawa Kasyah tidak bersalah seperti mana yang disangkakan Katerina. Mereka akhirnya berkahwin dan mahu memulakan kehidupan bahagia. Sementara itu, Hisham, yang berada di rumah sakit jiwa beransur pulih. Hisham dibenarkan keluar kerana dirasakan telah pulih sedangkan dia masih tidak boleh melupakan bekas isterinya, Katerina.




Dari sudut teknikal seperti sinematografi, pencahayaan, mood dan props secara, keseluruhannya filem itu boleh dipuji.

Sebanyak tiga buah lagu baharu telah digubah dan dimuatkan ke dalam filem LBS3. Nur Zaidi Rahman, yang mencipta lagu tema Ombak Rindu, sekali lagi diberi kepercayaan untuk memuatkan sebuah lagu dalam filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Tarantella Pictures Sdn. Bhd. itu iaitu Jika Pedih nyanyian Akim.

Sementara itu, dua lagi lagu, Lautan dan Bicara digubah, ditulis liriknya dan dinyanyikan sendiri oleh Yuna
Previous Post Next Post