Raja Azmi berusaha selamatkan perkahwinan



BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah nasib yang melanda penerbit filem yang sering diselubungi kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman.

Siapa sangka mahligai kedua yang dibina atas dasar cinta bersama pemain bass band CRK, Mohd. Eddie Ghazali, 45, pada 13 Oktober 2013 itu kini dilanda badai.

Raja Azmi sewaktu dihubungi enggan menjelaskan punca keretakan rumah tangganya itu. Dalam nada sedih, penerbit yang berusia 55 tahun itu, tidak berselindung, mereka kini sudah sebulan tidak tinggal sebumbung.






“Masalah sudah berlaku selama sebulan dan dalam tempoh itu kami telah tinggal secara berasingan. Bukan untuk lari daripada masalah tetapi kami memerlukan ruang untuk berfikir tentang masa depan rumah tangga kami.

“Saya tidak akan berkongsi punca masalah rumah tangga kami. Biarlah hanya kami berdua sahaja yang tahu. Banyak hati yang harus dijaga, saya bimbang jika saya berkata lebih akan mengguris hati banyak pihak,” kata Raja Azmi mohon difahami.

Kesedihan hati Raja Azmi jelas terpancar menerusi nada suaranya yang tidak ceria seperti selalu. Terangnya, tiada perkataan yang boleh menggambarkan gundah hatinya ketika ini.

“Jujur saya tidak tahu bagaimana mahu menerangkan dengan perkataan tepat tentang keadaan saya ketika ini. Memang saya sedih, siapa yang tidak sedih apabila perkahwinan yang dibina atas dasar cinta menghadapi masalah.

“Semua orang berkahwin kerana ingin bahagia, sama juga seperti saya. Namun, apa daya saya apabila dugaan datang dalam keadaan saya tidak bersedia untuk menghadapinya,” ujarnya.

Terang penerbit filem ...Dalam Botol itu, beliau kini sedang berusaha untuk menyelamatkan rumah tangganya dan belum membawa masalah rumah tangga mereka ke peringkat mahkamah syariah lagi.

“Buat masa sekarang kami berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga dan belum terfikir untuk ke mahkamah syariah lagi.

“Jika boleh, saya mahu rumah tangga kami pulih seperti biasa tetapi saya bersedia dan reda dengan segala kemungkinan yang ditulis oleh Allah untuk saya,” terangnya tentang perkahwinan yang dibina sejak 11 bulan yang lalu.

Dalam pada itu, Raja Azmi yang lantang bersuara dalam segala isu itu sudah terbiasa dilanda kontroversi. Hatinya cukup kental dan tidak kisah dengan risiko yang dihadapinya selepas mengeluarkan sebarang kenyataan.


SUDAH sebulan tidak tinggal sebumbung, Raja Azmi masih mahu menyelamatkan hubungan rumah tangganya bersama Eddie.

Bagaimanapun kali ini amat berbeza. Raja Azmi tidak lantang seperti selalu. Nada suaranya juga suram, malah, beliau juga gagal menyusun ayat untuk memberi jawapan yang terbaik tanda tekanan yang amat besar sedang dihadapinya.

“Memang saya sudah biasa dengan kontroversi. Saya tidak kisah orang mahu berkata apa sahaja tentang saya kerana sebelum ini kontroversi hanya melibatkan saya seorang sahaja.

“Namun, kali ini berbeza kerana membabitkan rumah tangga dan keluarga saya. Memang saya akui, dalam banyak kontroversi yang melanda, masalah rumah tangga ini memberikan tekanan paling besar buat saya.

“Saya minta maaf andai saya tidak dapat memberi kerjasama kepada pihak media yang cuba menghubungi saya. Saya harap semua pihak dapat mendoakan yang terbaik buat saya dan Eddie,” luahnya.




Raja Azmi dan Eddie berkenalan pada Februari tahun lalu ketika menonton persembahan band NRG. Sejak itu, mereka menjalinkan hubungan cinta dan bertunang pada 15 Julai tahun yang sama.

Hubungan Raja Azmi dan Eddie bukan sahaja direstui oleh keluarga, malah bekas suaminya, Mohd. Jalani Sidek turut hadir ke majlis perkahwinan gilang gemilang yang berlangsung pada 13 Oktober tahun lalu di Laman Beringin, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Eddie merupakan suami keduanya. Sebelum itu, Raja Azmi pernah mendirikan rumah tangga selama 27 tahun bersama pemain badminton negara, Mohd. Jalani Sidek.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Puteri Suraya, 29, Puteri Suaida, 25, dan Megat Deli, 20 dan bercerai pada 27 Jun 2012. Eddie mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan terdahulunya, Daniel, 22, dan Effy, 20.
Previous Post Next Post