TAHUKAH anda, di sebalik berdiri dengan megah Menara Eifel, di Paris, terkuburnya sebuah jalan bawah tanah atau 'catacombs' yang menyimpan 1001 rahsia dan misteri.
Dek kerana misteri itu memberi idea kepada adik-beradik, John Erick Dowdle dan Drew Dowdle untuk menulis skrip filem As Above/So Below.
Diarahkan oleh Erick sendiri, filem yang menampilkan Ben Feldman, Perdita Weeks, dan Edwin Hodge ini mengisahkan sekumpulan pelajar yang ingin menerokai rahsia di sebalik 'catacombs' yang dipenuhi dengan tengkorak dan misteri.
Bagaimanapun secara tidak sengaja, mereka telah membongkar rahsia di sebalik misteri yang tersembunyi itu hingga mengundang kematian beberapa rakan yang menyertai misi tersebut.
Dan kini, bagai menjadi satu trend, filem ini juga turut menggunakan teknik rakaman 'found footage' atau rakaman secara langsung dan kira-kira 90 peratus perjalanan filem ini menggunakan 'found footage'.
Dek kerana itu jugalah, tatkala melibatkan babak seram dan cemas, anda akan turut sama berasa cemas, takut dan terkejut dengan perjalanan cerita filem ini.
Pendek kata, bagi anda yang kurang berani menonton genre seram, filem ini barang kali akan membuatkan anda tidak senang duduk.
Namun kadang kala bila melibatkan babak pergelutan, atau cemas, ia akan membuatkan anda sedikit pening dengan pergerakan yang terlalu cepat.
Tanda tanya
Namun, di sebalik keseraman filem ini, apa yang sedikit mengecewakan penulis adalah banyak persoalan yang tidak terjawab dan ada kalanya terlalu pelik untuk difikirkan.
Sehingga membuatkan penulis membuat telahan sendiri barangkali adik-beradik Dowdle ingin membuat kesinambungan filem ini.
Jika segala misteri itu di rungkai dan diperjelaskan dengan baik, tidak mustahil filem ini akan menjadi satu filem box-office dan akan ditunggu-tunggu untuk sekuel seterusnya (jika ada).
Lakonan mantap
Tidak perlu rasanya penulis huraikan mengenai aspek teknikal seperti kesan bunyi dan pencahayaan kerana jikalau anda menonton 'thrailer'nya sahaja di internet, anda pasti sudah merasai seramnya. Apatah lagi jika menonton di pawagam.
Bagaimanapun dari sudut lakonan Feldman, Weeks, dan Hodge memberikan lakonan yang cukup baik biarpun mereka bukan tergolong dalam kategori pelakon popular.
Namun dari segi emosi, rasa takut, cemas itu dapat dirasai tanpa perlu jeritan, pekikan yang melampau.
Secara keseluruhannya, bagi anda yang menyukai atau tidak menyukai filem seram, anda wajib menonton filem ini, kerana kejutan yang ditampilkan akan membuatkan anda rasa berbaloi untuk membayar harga tiket.