Kesaksamaan hidup dalam The Giver



SEORANG lelaki muda yang terpilih diberi peluang untuk mempelajari kegagalan dan nikmat sebenar kehidupan di dunia ini dalam keadaan masyarakat sekeliling yang sempurna tanpa sebarang peperangan, kesakitan, penderitaan, perbezaan dan pilihan.

Begitulah antara sinopsis ringkas mengenai filem The Giver, arahan Phillip Noyce yang di adaptasi daripada novel tulisan Lois Lowry.

Filem yang menyaksikan dunia pada masa depan, memperlihatkan manusia hidup dalam komuniti yang ditentukan dan pastinya akan ada seorang individu yang bakal memecahkan tradisi.






Tatkala berpeluang menonton filem The Giver baru-baru ini, ingatan penulis terus terarah kepada filem Divergent yang baru sahaja ditayangkan kira-kira lima bulan lalu.

Permulaan yang agak sama, menerusi penceritaan komuniti baru yang dibina, cuma berbeza dengan Divergent, mereka mempunyai kumpulan komuniti yang berlainan; manakala The Giver pula, mereka hidup dalam kesaksamaan - tiada perbezaan warna kulit, bangsa dan pangkat.

Menerusi The Giver, apabila mereka cukup umur, mereka akan mula dibahagikan dengan tugas yang ditentukan berdasarkan cara hidup dan kecenderungan mereka semenjak kecil lagi.

Namun apa yang pasti, The Giver dan Divergent adalah sebuah cerita yang berlainan dan mempunyai kekuatan tersendiri biarpun permulaan dan pengakhirannya hampir sama.

Menariknya mengenai filem yang membariskan barisan pelakon baru dan lama seperti Brenton Thwaites, Jeff Bridges, Meryl Streep, Odeya Rush, Katie Holmes dan Alexander Skarsgard ini, ia memperlihatkan bagaimana satu komuniti baru cuba memberi kesaksamaan hidup agar tiada perasaan dengki dan manusia sentiasa hidup dalam peraturan yang ditetapkan.

Biarpun dari sudut positif, tiada perang, perasaan iri hati tercetus, namun mereka tidak lagi mengetahui apa itu erti kasih sayang dan kepentingan kasih sayang dalam sesebuah keluarga.

Bahkan mereka juga tidak berpeluang merasai perasaan mencintai antara satu sama lain kerana segalanya ditentukan sejak awal lagi.

Dek kerana itulah, tunjang utama filem ini, Thwaites yang membawakan watak sebagai Jonas cuba untuk menyedarkan betapa pentingnya untuk memiliki perasaan kasih sayang dan mengembalikan komunitinya dalam keadaan normal.

Biarpun sukar kerana mendapat tentangan daripada 'Ketua Yang Paling Tua', namun Jonas yang diberi tugas untuk menerima memori sanggup melanggar segala peraturan dan meninggalkan komuniti keluarganya demi memastikan keseluruhan komuniti menjalankan kehidupan yang normal.

Penerimaan memori dan perjuangan Jonas inilah yang menjadikan filem ini berlainan dan menarik. Namun jika anda pernah menonton Divergent, anda pasti sudah menjangka apa pengakhiran filem ini.




Thwaites menonjol

Nama Brenton Thwaites barangkali masih kedengaran asing, namun pada pandangan penulis, dia adalah antara salah seorang hero ciptaan yang makin bersinar dalam dunia lakonan.

Setelah berjaya menarik perhatian penonton dengan watak sampingan menerusi filem Oculus dan Maleficent, Thwaites kali ini berjaya menarik perhatian dan membawa penonton untuk setia dengan perjuangannya.

Malah, permainan emosi sebagai orang pada masa hadapan yang sudah dipadam kenangan pada masa silamnya membuatkan dia penuh dengan perasaan ingin tahu.

Selain itu, beberapa tanda tanya pada permulaan cerita; yang turut menjadi tanda tanya Jonas akan mula terurai satu persatu sehingga ke penghujung jalan cerita.

Anda juga jangan terkejut melihat filem ini yang bermula dengan warna hitam dan putih hingga hampir separuh jalan cerita kerana ia menunjukkan tentang kesaksamaan yang mereka miliki, termasuk tiada perbezaan warna kulit, rambut, warna makanan dan sebagainya. Segalanya hanyalah hitam dan putih.

Bagi mengetahui selanjutnya mengenai filem ini dan adakah Jonas berjaya memecah tradisi dalam komuniti, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam.

Previous Post Next Post