L'ZZAY kini selesa bergerak secara solo untuk meneruskan impiannya sebagai penyanyi.
NAMA wanita yang menggelarkan dirinya sebagai L'zzay itu mungkin masih kedengaran asing dalam industri hiburan tanah air.
Biarpun belum cukup dikenali, L'zzay sebenarnya sudah mula berjinak-jinak untuk berkecimpung dalam dunia nyanyian sejak tahun 2005 lagi.
"Waktu itu, saya mempunyai sebuah band terdiri daripada empat orang yang dikenali dengan nama Apple Juice.
"Sayangnya band itu tidak dapat bertahan lama sebelum saya menyertai kumpulan Senioritas pula yang merupakan trio," kongsi pemilik nama sebenar Ammalina Affandi itu.
Dalam keterujaan untuk membawa diri seiring dengan band-band muzik lain ketika itu, L'zzay kecundang sekali lagi apabila tidak dapat terus bersama ahli yang lain atas sebab-sebab tertentu.
"Selepas tidak bersama lagi dengan band-band itu, saya kemudian bergerak secara solo.
"Bermula dari situ, saya mula menyanyikan lagu-lagu orang lain untuk dijadikan cover dan dikongsikan di YouTube," ujar penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur itu.
Walaupun terpaksa bergerak secara solo, menurut L'zzay, perkara tersebut sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencuba nasib dalam bidang nyanyian.
Apa yang pasti, tuah nyata berpihak kepada L'zzay apabila impian untuk pergi lebih jauh semakin bersinar sebaik diberi peluang berduet dengan penyanyi Rahimah Rahim menerusi lagu Bebas.
"Syukur apabila saya diberi peluang yang dianggap besar untuk berduet bersama penyanyi kelahiran Singapura, Rahimah Rahim.
"Saya anggap ini merupakan rezeki buat saya apabila ada penyanyi senior yang memberi ruang untuk mengetengahkan bakat yang ada," cerita wanita berumur 28 tahun itu.
Bercerita lanjut mengenai single Bebas tersebut, menurut L'zzay, lagu itu merupakan naskhah asal nyanyian Rahimah Rahim yang diberi nafas baharu.
"Pada awalnya, terdapat dua versi demo lagu tersebut yang dihantar kepadanya. Satu lagu itu berentak sedikit perlahan dan satu lagi berentak rancak.
"Selepas mendengarnya, dia (Rahimah) lebih berminat untuk cuba menyanyikan lagu berentak rancak. Saya sendiri terkejut dengan pilihannya itu.
"Bukan apa, melihat kepada personalitinya, saya tidak menjangkakan dia akan sukakan lagu-lagu rancak sedemikian," ujarnya yang mengakui mempunyai penampilan imej yang kontra iaitu agak ranggi ketika beraksi di pentas berbanding Rahimah.
Selain menyanyi, anak sulung daripada empat adik-beradik itu juga memberitahu, dia turut berjinak-jinak menghasilkan lagu-lagu sendiri.
"Jika ada masa lapang, saya suka menulis lagu sendiri.
"Sejujurnya, saya memang tak pandai bermain instrumen muzik tetapi akan menggubah lagu menggunakan perisian digital," katanya yang meminati genre pop dan R&B.