Ning Baizura idam konsert solo di DFP


Ning Baizura tak sabar buat persembahan di DFP.

Buat julung kalinya bakal beraksi di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 20 September ini, Ning Baizura mengakui cukup teruja untuk peluang keemasan itu.

Hanya selepas 22 tahun menceburi dunia seni, ibu kesayangan kepada Ryan Sky Dalton itu beroleh kesempatan indah itu. Malah di sudut hati kecilnya, beliau juga mengimpikan peluang untuk beraksi secara solo di pentas berkenaan.

Ning akan beraksi dalam konsert unplugged bertemakan Akustika pada 20 September. Giliran Ning pada sebelah malam sekitar jam 9. Turut sama beraksi di hari yang sama dari siang hingga ke malam ialah Hujan, Fredo, Jay Jay, Bunkface, Atilia dan Zainal Abidin.






"Setiap artis pastinya ada impian untuk membuat persembahan di mana-mana tempat termasuklah di DFP. Tapi kalau ikutkan Abang Zainal Abidin pun sepatutnya diberikan peluang ini. Saya sendiri kalau diberi peluang hanya semalam bikin konsert solo di DFP, pasti nak.

"Cuma peluang saya belum ada ke situ. Siapa tahu rezeki itu akan ada pada masa depan. Cuma mungkin di pihak DFP mereka bersifat selektif dan semestinya ada strategi tertentu. Berdasarkan artis yang mereka pernah jemput membuat konsert, mereka boleh dianggap penghibur," kata Ning sewaktu ditemui BH Online semalam ketika sidang media konsert berkenaan diadakan di Hotel Traders

Menurut Ning, memang ramai di luar sana yang bergelar artis rakaman dan bukan semuanya layak digelar penghibur.

"Saya sendiri cuba untuk memenuhi pasaran sebagai artis rakaman dan konsert. Ada yang mengukur jika artis itu tak keluar TV, permintaannya sudah tiada. Sebagai artis pengalaman banyak mengajar saya untuk mencari 'lubang' meneruskan survival.

"Saya banyak menerima undangan membuat persembahan tertutup atau korporat. Malah selepas 10 tahun bernyanyi, saya sedar yang tahap komunikasi saya perlu diperbaiki. Itu yang saya cuba tingkatkan.

"Malahan kalau ada konsert atau persembahan besar, saya tak segan untuk terus mengasah vokal dengan mengikuti kelas. Itu yang saya terus lakukan secara berterusan," katanya yang baru saja pulang membuat persembahan di Singapura baru-baru ini.

Ning di akhir perbualan begitu teruja untuk membuat persembahan di DFP.

"Saya harap peminat saya yang akan hadir nanti boleh patuhi etika dan kod pakaian DFP. Cuma seperti saya dimaklumkan pihak DFP juga sekarang sudah ada kelonggaran dalam berpakaian ketika menonton persembahan di situ.

"Nak pakai jeans pun sudah dibenarkan tetapi jangan yang lusuh. Cuma pihak DFP sering mengalu-alukan untuk mereka yang hadir berpakaian kemas," katanya.




Ketika sidang media diadakan, turut hadir ialah Zainal Abidin, Noh Hujan dan Sam Bunkface serta Pengarah Pengurusan Bisnes dan Pemasaran DFP, Carl Selvarajah.

Akustika I dijadualkan berlangsung pada Selasa (16 September) menampilkan artis seperti OAG, Man Kidal, SharinB Band, Alex Subryn, Andy Flop Poppy, Az Samad, Diandra Arjunaidi, Seven Colar T-shirt, Lab The Rat dan Monoloque.

Manakala Akustika II menampilkan Hujan, Fredo, Jay Jay, Elvira Arul, David Gomes, Bunkfade, Atilia, Ning Baizura dan Zainal Abidin. Konsert ini bermula dari siang hingga ke malam.

DFP Seni Fest akan melabuhkan tirai dengan konsert MPO bertemakan Malaysia Tanah Airku pada 21 September jam 8.30 malam menampilkan Datuk M Nasir, Datuk Yusni Hamid, Nasir Wahab dan Datin Alyah.

Penganjuran DFP Seni Fest ini bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September dan Tahun Melawat Malaysia 2014. Istimewanya Pas Festival untuk menonton ketiga-tiga konsert dijual pada harga RM120. Harga tiket juga dijual pada harga berasingan mengikut pilihan.

Untuk tempahan tiket boleh hubungi 03-20517007, dfp_boxoffice@petronas.com.my (emel) atau layari www.mpo.com.my


Previous Post Next Post