Puteri Sarah Liyana idam anak kembar


Gambar kenangan pernikahan Puteri Sarah dan Syamsul Yusof 8 Mac lalu - Nur Adibah Ahmad Izam

Isteri kepada pelakon dan pengarah terkenal, Syamsul Yusof iaitu Puteri Sarah Liyana mengakui beliau mengalami keguguran.

Difahamkan insiden itu terjadi Ramadan lalu namun beliau reda dan tabah dengan ujian berkenaan.

Menghubunginya sebentar tadi, bekas pelakon yang mesra disapa Sarah itu bekerja dalam bidang pemasaran di Eiliya Boutique.






Oktober depan genap setahun Sarah bekerja di situ. Ikuti komen beliau.

"Bukan rezeki saya. Insya-Allah saya dan suami akan terus berusaha melahirkan zuriat sendiri. Saya nak minta semua yang baca cerita ini terus mendoakan saya dan suami. Saya tak rasa sedih dengan ujian ini dan saya percaya ada golongan isteri di luar sana yang melalui fasa yang sama.

"Ibu saya sendiri pernah melalui fasa yang sama. Katanya lagi, keguguran ini satu proses untuk menguatkan rahim kita. Suami saya sendiri cukup menyokong dan percaya akan ada rezeki kami lagi pada masa mendatang untuk mendapatkan anak.

"Keguguran ini sebagai petanda saya boleh mengandung. Insya-Allah kalau ada rezeki lagi mengandung lepas ini, siapa tahu saya boleh dapat anak kembar pula. Lagipun dalam sejarah ibu dan bapa saya, ada kembar yang dilahirkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sarah juga sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan pakaian jubah sendiri. Buat sementara waktu, Sarah mungkin akan meletakkan nama Shara by Puteri Sarah untuk label jubahnya itu.

Puteri Sarah bakal muncul dengan rangkaian jubah jenama sendiri - Halimaton Saadiah Sulaiman
"Saya bercadang nak keluarkan raya Aidiladha nanti. Saya merancang untuk keluarkan dalam tujuh koleksi. Untuk julung kali, saya mungkin akan keluarkan jubah secara terhad.

"Kita ikut kehendak dan permintaan pasaran. Nak tengok dulu macam mana sambutannya," katanya yang mendapat sokongan penuh untuk menjalankan perniagaan jubah itu.




Tarikh 8 September semalam genap enam bulan Sarah berkahwin dengan Syamsul. Pasangan ini bernikah 8 Mac lalu.

"Macam sekarang saya sibuk bekerja di butik, dia (Syamsul) pula tengah sibuk di lokasi penggambaran super tele Lagenda Long Piah yang diarahkan adiknya, Syafiq Yusof. Kesibukan ini jadi alasan yang kami sebenarnya boleh berdikari.

"Kami dapat berjumpa pun kadang-kadang pada hujung minggu. Dia sekarang menjalani penggambaran super tele itu untuk 20 hari dan saya pula bekerja dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Kami tak melihat ini sebagai ruang kosong tetapi untuk masing-masing tahu tanggungjawab.

"Saya pun sekarang tinggal di rumah keluarganya di Melawati. Jadi tak rasa sunyi pun. Kadang-kadang ada kesempatan saya balik rumah keluarga di Damansara," katanya.
Previous Post Next Post