Perancangan keluarga Mon Ryanti


MON RYANTI. Orangnya kecil molek, tidak lokek dengan senyuman malah, banyak ramah berbicara ketika bertemu di Studio Utusan baru-baru ini.

Diminta beraksi di atas tembok sekali pun, anak kelahiran Johor Bahru itu menurut sahaja.

Namun, terlihat jelas, Mon atau nama sebenarnya Mon Ryanti Muhammad Sahudina Lee, 26, tidak selesa dengan pakaian seksi. Hari tu, dia menyarung gaun pendek berwarna biru yang pada anggapannya sedikit mencolok mata.






"Saya bakal jadi isteri orang, tidak manis berpakaian seksi," katanya minta difahami.

Terlanjur Mon berkata begitu, topik perkahwinan menguasai perbualan. Pelakon ini bakal bernikah pada 12 September ini dengan kekasih pilihan hati, Mohd. Hasrul Ali, 26, di Johor Bahru.

Tersenyum malu Mon apabila disoal tentang perkahwinan. Kesibukan dan debaran menjelang hari bahagianya tidak dapat disembunyikan.

"Saya berdebar sangat sampai tidak tahu apa perasaan saya ketika ini. Sebab saya merupakan anak pertama daripada tiga adik-beradik yang berkahwin. Abang dan adik saya belum berkahwin.

"Jadi, debaran sangat dirasai. Banyak perkara yang bermain di fikiran saya walaupun persiapan sudah siap keseluruhannya.

"Tidak sangka penat sungguh untuk jadi pengantin (ketawa). Selama ini saya lihat orang kahwin duduk cantik di atas pelamin tetapi proses sebelum itu sungguh memenatkan. Alhamdulillah keluarga banyak membantu saya," cerita pelakon filem Jin itu lagi.


MENJADI deejay dan dalam masa yang sama berlakon, karier Mon kini semakin berkembang.

Ditebak adakah dia inginkan cahaya mata awal. Mon tersenyum malu sambil berkata dia tidak kisah andai dikurniakan rezeki awal.

"Saya tidak mahu merancang anak pertama sebab ramai orang berkata tidak elok, bimbang nanti tidak dapat anak langsung.

"Sebenarnya saya memang sukakan kanak-kanak terutama bayi. Jadi, saya terima andai dapat anak dengan kadar segera. Orang kata anak pengikat kasih sayang dan saya sudah bersedia bergelar ibu pada usia 26 tahun," ucapnya penuh yakin.




Kahwin muda

Saat Mon mengikat tali pertunangan enam bulan yang lalu dan mengumumkan bakal berkahwin dalam tahun yang sama, ramai yang terkejut dengan keputusannya.

Bukan tidak gembira dengan berita tersebut tetapi dirasakan satu kerugian buat Mon berkahwin dalam usia yang muda walhal kerjayanya sedang meningkat naik.

Lain pula buat tuan empunya badan. Baginya jodohnya sudah tiba dan tidak ada yang merugikan untuk dia mengambil keputusan menamatkan zaman bujang bersama lelaki yang dikenalinya sejak dua tahun yang lalu.

"Jodoh saya sudah tiba. Saya dilamar oleh lelaki yang saya sayang, jadi saya tidak nampak sebarang kerugian di situ. Walaupun saya akui usia kami berdua agak muda iaitu 26 tahun, tetapi itu hanyalah angka.

"Walaupun bakal suami sebaya tetapi dia sangat matang dan kami berdua sudah bersedia untuk berkahwin. Soal kerjaya, saya percaya rezeki di tangan Allah.

"Tidak semestinya sudah berkahwin nanti, saya tidak laku. Saya lihat ramai pelakon yang berkahwin tetapi masih aktif sehingga hari ini," ulasnya sambil memberitahu, bakal suaminya mengizinkannya meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan.


MON kini makin cantik, pandai bergaya dan matang membawa diri.

Pilih orang biasa

Apabila dipinta menceritakan detik pertemuannya bersama bakal suami, Hasrul, Mon tertawa manja sambil mengenang kembali detik pertemuan mereka.

Ceritanya, pertemuan mereka berdua sungguh lucu kerana Hasrul merupakan rakan kepada abangnya dan menyangka Mon merupakan kekasih abangnya.

"Mulanya dia (Hasrul) ingat saya kekasih abang dan tidak tahu langsung yang saya seorang pelakon. Detik perkenalan kami bermula apabila dia membeli kuih raya daripada saya,

"Sejak itu kami mula rapat. Dia melamar saya pada penghujung Februari lalu ketika dalam kereta. Waktu itu kami ingin keluar makan. Saya sungguh terkejut, dua hari saya ambil masa untuk fikir sebelum menerima lamarannya.

"Alhamdulillah, tidak lama lagi kami akan disatukan. Prosesnya sangat cepat dan saya sendiri tidak sangka tetapi saya percaya sudah sampai jodoh kami berdua," katanya yang sebelum ini tidak terfikir untuk berkahwin awal.

Memilih Hasrul sebagai teman hidup, pasti ada keistimewaannya sedangkan Mon bekerja dalam dunia glamor dan dikelilingi ramai teman artis.

"Ya, dia sangat istimewa di mata saya. Dia kacak, baik hati dan menerima pada waktu senang serta susah. Walaupun karakternya gila-gila, saya cukup selesa apabila ada bersamanya. Kami serasi

"Jujurnya saya memang memilih orang biasa bukan orang yang bekerja sama industri seni kerana jika sama bidang takut sibuk dan tidak ada masa berjumpa," akui Mon tentang kekasihnya yang bekerja sebagai ahli perniagaan.
Previous Post Next Post