ZUL ARIFFIN cuba untuk tidak terlalu mendedahkan hal peribadinya kepada umum. Dia mahu dikenali kerana mempunyai reputasi kerja yang baik.
SETELAH kejayaannya memegang watak Zill Faezrul Iqbal dalam drama Rindu Awak 200% menjadi fenonema dan kegilaaan peminat industri hiburan tempatan. Kini pelakon bertubuh sasa, Zul Ariffin merasai kesannya apabila sering dihambat kontroversi sama ada melibatkan percintaan dan kisah peribadinya.
Mengakui drama tersebut banyak memberi impak terhadap karier seninya, Zul bagaimanapun lebih gemar peminat mengenalinya melalui karier seninya bukan kisah peribadinya.
Jejaka kelahiran Taping, Perak itu berkata, dia sudah tidak mahu memberi kenyataan yang lebih mendalam berhubung isu peribadinya memandangkan ia sering sahaja dieksploitasi pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tambah memburukkan lagi keadaan, baru-baru ini Zul dikecam kerana memuat naik gambar bahagian tubuhnya sehingga mendatangkan perasaan tidak puas hati sesetengah pihak dengan mengatakan bahawa dia kurang menjaga sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.
Ingin mengetahui jawapan konkrit berhubung isu tersebut, Kosmo! cuba mendapatkan penjelasan daripada tuan empunya badan.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon yang kini sedang hangat bercinta dengan penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai.
Kosmo!: Kesan drama Rindu Awak 200% sangat memberi impak dalam kehidupan Zul. Boleh jelaskan sedikit perbezaan sebelum dan selepas drama tersebut ditayangkan?
ZUL ARIFFIN: Tidak ada banyak yang berbeza, cuma saya sangat gembira apabila peminat kini menghargai kerjaya saya sebagai seorang anak seni dan perhatian yang diberikan sangat memuaskan. Saya juga bersyukur kerana hal tersebut sedikit sebanyak membuktikan lakonan saya kini dilihat dan mereka menyukai apa yang saya lakukan sekarang. Insya-Allah saya akan meneruskan momentum ini.
Berikutan daripada kejayaan drama tersebut, anda kini menjadi tumpuan ramai, terutama wanita yang ingin tahu dengan lebih mendalam berkenaan kisah peribadi dan kerjaya anda. Bagaimana anda melihat situasi ini?
Saya sangat suka orang menghargai karier seni saya, tetapi saya kurang gemar untuk mendedahkan peribadi saya kepada umum. Ini kerana saya sudah serik kerana kebanyakan orang mengeksploitasi kenyataan saya dan akhirnya saya sendiri yang menerima natijahnya. Saya ingin orang ramai mengenal saya dengan hal yang berkaitan kerjaya dan bukannya kontroversi ataupun sekadar gosip liar.
Berikutan daripada tumpuan yang diberikan baru-baru ini, anda telah dikecam hebat dalam laman sosial Instagram apabila memuat naik gambar sebahagian daripada tubuh anda. Boleh anda jelaskan isu tersebut?
Saya terkejut kerana perkara sedemikian dijadikan isu malah sebelum ini ada sahaja pelakon yang memuat naik gambar yang kurang menyenangkan namun ia tidak pernah menjadi isu. Saya memohon maaf sekiranya gambar tersebut menyinggung mana-mana pihak sehingga ada yang menyifatkan saya kurang menjaga sensitiviti masyarakat Islam di negara ini. Jika ia menyinggung mana-mana pihak saya akan segera memadamkan gambar tersebut.
Mungkin selepas ini anda akan berhati-hati ketika memuat naik gambar dalam laman sosial Instagram?
Ya. semestinya selepas ini saya akan berhati-hati untuk melakukan pelbagai perkara termasuk memuat naik gambar dalam laman sosial Instagram saya. Saya juga berharap agar perkara sebegini tidak timbul lagi selepas ini.
Boleh anda ceritakan serba sedikit mengenai status terbaharu hubungan anda dan kekasih anda kini?
Alhamdulillah segalanya berjalan lancar, namun kami masih belum dalam perancangan untuk ke peringkat seterusnya dalam masa terdekat ini. Biarlah masa yang akan menentukan. saya akan menguar-uarkan berita baik sekiranya saya akan berkahwin kelak.
Boleh anda ceritakan mengenai perkembangan terbaharu anda?
Saya kini sedang bersedia untuk menjalani sebuah drama 28 episod berjudul Istiqarah Cinta terbitan Orange Tree Production. Saya terpaksa menolak beberapa tawaran yang diterima memandangkan jadual penggambaran saya telah dipenuhi sehingga hujung tahun ini.