Cinta vs karier Yana Samsudin



DIAJAK sebagai penghias portfolio minggu ini, Yana Samsudin tidak menunggu lama untuk memberikan kata putus menetapkan tarikh walaupun sebelum ini ada kata-kata yang berterbangan mendakwa kononnya pelakon kelahiran Yong Peng, Johor itu sudah berubah sikap.

Ini sekali gus menolak dakwaan kononnya pemilik nama sebenar Norliana Samsudin itu bersikap sombong sehingga sukar dihubungi pihak media untuk mendapatkannya bagi sesi fotografi atau temu bual.

Biarpun sibuk dengan jadual kerja yang padat, namun Yana tetap meluangkan masa untuk sesi fotografi. Kesempatan yang ada itu digunakan sebaik-baiknya oleh penulis untuk mendekati perjalanan kehidupan yang sedang dibinanya.






“Jika tiada nama yang terpapar dalam skrin telefon bimbit, saya memang takkan jawab panggilan kerana nombor peribadi saya sudah tersebar hingga ramai yang mengganggu. Sampaikan pukul 3 pagi pun masih ada yang menelefon untuk bercakap dengan saya.

“Isu sukar dihubungi atau ditemu bual itu tidak benar kerana bagi rakan media yang mengenali saya, mereka sudah tahu untuk mencari saya di aplikasi lain,” katanya sewaktu pertemuan bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.

Berhubung dakwaan lupa diri atau sombong yang dilemparkan kepadanya, jelas Yana, kesibukan di lokasi penggambaran serta bekerja di luar daerah membuatkan dia kadangkala sukar untuk dihubungi.

“Saya bukannya sombong, cuma apabila tidak lagi mempunyai pengurus peribadi sejak Mac lalu, segala urusan berkaitan kerja perlu dilakukan sendiri. Adakalanya saya terlepas pandang panggilan atau pesanan yang dihantar ke telefon bimbit.

“Sebenarnya, sejak bulan April hingga September lalu, saya banyak bekerja di luar kawasan. Jadi, faham sahajalah pada lokasi yang tiada liputan telefon,” ungkapnya terhenti sambil membetulkan posisi duduknya.



SETELAH berjaya mencipta nama sebagai pelakon, kini Yana diberi kepercayaan menjadi duta produk Super The Secret To A Smile selama tiga tahun.

Duta

Selama 10 tahun bergelar anak seni, membuatkan Yana semakin diberi peluang menceburi cabang baharu dalam industri.

Apa tidaknya, tahun 2014 menjadi saksi karier seninya terus ligat. Evolusi baharu yang sedang ditatang dalam dunia pengacaraan dan nyanyian semakin membuahkan hasil.

Lebih mengejutkan, sepanjang bergelar pelakon, baru kini dirinya diberi kepercayaan menjadi duta produk.

Kata Yana, dia bersyukur apabila dilantik menjadi duta produk Super The Secret To A Smile selama tiga tahun. Biarpun ada yang tidak percaya ini, adalah kali pertama dia dilantik sebagai duta, namun bagi Yana, dia percaya rezeki seseorang terletak pada yang Maha Esa.

“Saya sedar bahawa diri ini seorang anak seni yang lambat menempa nama. Tahun ketujuh baru nama saya dikenali sebagai pelakon. Begitu juga dengan tawaran menjadi duta.

“Biarpun menjadi duta bukanlah satu kerjaya dalam bidang seni tetapi saya anggap ia sebagai rezeki atau batu loncatan untuk berada dalam lapangan karier seni.

“Saya bersyukur kerana syarikat korporat sudah mula percaya dengan saya untuk membawa jenama mereka. Dilantik menjadi duta selama tiga tahun, bukan satu jangka masa yang pendek tetapi saya dimaklumkan disebabkan latar belakang saya yang tidak mempunyai sebarang kontroversi menyebabkan mereka yakin dan memilih saya,” ujar Yana.

Beralih kepada kerjaya baharu yang sedang dilakukannya kini, kata Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 itu, dia menyifatkan tahun 2014 telah memberi seribu satu ganjaran kepada dirinya apabila diberi peluang menceburi bidang baharu.

Buktinya, pelakon berumur 29 tahun itu baru sahaja melancarkan single duetnya bersama penyanyi kacak, Tomok menerusi lagu berjudul Cinta Tak Pergi serta diberi peluang mengacarakan program Juara Joran di Astro Mustika HD.

“Saya sangat seronok kerana tahun ini sasaran saya untuk mencuba dua kerjaya dalam industri seni tercapai.

“Walaupun bidang pengacaraan adalah sesuatu yang baharu, namun saya bersyukur kerana saya mendapat maklum balas positif daripada peminat yang menontonnya.

“Saya sudah lama mengimpikan untuk bergelar pengacara dan mencuba bidang baharu bagi membolehkan saya menjadi seorang anak seni serba boleh.

“Jadi, apabila tawaran pengacaraan datang, saya terus menerimanya. Mungkin saya boleh jadikan bidang ini sebagai salah satu kerjaya baharu dalam industri seni. Bagaimanapun, kerjaya lakonan tetap jadi pilihan utama saya,” kata Yana sambil mengenakan busana Melinda Looi yang dipakai cantik di tubuhnya.



BAGI Yana, dia percaya jodoh pertemuan ditentukan oleh Yang Maha Esa.

Dibelenggu Cinta

Tidak banyak kontroversi mahupun kisah sensasi yang mendahului kariernya, Yana masih terus dibelenggu dengan kisah cinta bersama adik kepada pelakon dan pengarah terkenal, Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari.

Sudah beberapa kali memberi penjelasan tentang persoalan serupa, kata Yana: “Antara saya dan Fadzil hanya kawan biasa. Saya menganggap dia sebagai teman rapat dan tidak lebih daripada itu.




“Sebenarnya dia seorang kawan lelaki yang setia dan memahami segala susah senang saya dalam melalui kehidupan ini. Apabila saya sedih, dia pasti ada untuk saya.

“Saya akan memilih rakan yang saya mudah untuk bergaul, selain cuba mengelak berkawan dengan orang yang mempunyai masalah. Bukan apa, saya tidak mahu membuang masa.

“Buat masa sekarang, kami memang rapat tetapi belum terfikir untuk ke fasa seterusnya,” jelas Yana sambil tersenyum malu.

Sementara itu, ketika ditebak tentang perancangannya untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ini, kata Yana, dia hanya mampu berdoa dan berserah kepada Yang Maha Esa, moga dia akan dipertemukan dengan lelaki yang mampu menjadi pemimpinnya.

“Sebelum ini, saya ada memberitahu bahawa tahun ini saya telah terbuka hati untuk menamatkan zaman bujang dan bergelar isteri. Disebabkan komitmen terhadap kerja menyebabkan segala-galanya terbantut kerana masa tidak mengizinkan.

“Perkahwinan ini merupakan satu kehidupan yang baharu. Dalam hidup ini, perlu ada perancangan kerana kita pasti mengimpikan sebuah perkahwinan sekali dalam seumur hidup.

“Terus terang saya katakan, pada usia 29 tahun, saya mengimpikan sebuah keluarga, namun saya terpaksa akur bahawa jodoh itu ketentuan Tuhan,” katanya menutup bicara.
Previous Post Next Post