PASANGAN bahagia, Farriz dan Erin merancang untuk berbulan madu di Los Angeles.
SIAPA sangka pertemuan singkat aktres Erin Malek, 20, bersama lelaki yang dikenali sebagai Farriz Fauzy, 30, menerusi laman sosial Instagram pada awal tahun ini membibitkan rasa cinta antara mereka.
Perkenalan yang tidak disengajakan itu mula bercambah menjadi rakan karib dan dek kerana keserasian serta keterbukaan berkongsi rasa hati, pasangan itu mula menyulam cinta dan berikrar untuk sehidup semati.
Jumaat lalu, manifestasi kasih sayang serta percintaan kurang daripada setahun itu termeterai selepas mereka disatukan dalam satu majlis pernikahan di kediaman milik keluarga Erin di Ampang, Selangor.
Erin dan Farriz akhirnya sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz. Pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Pernikahan, Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Zainal Abidin Mohd. Yusof sambil disaksikan bapa Erin, Abdul Malek Marwi.
“Alhamdulillah, majlis hari ini (kelmarin) berjalan lancar dan berkat doa daripada keluarga dan rakan-rakan, saya sah bergelar isteri kepada Farriz. Saya bersyukur kerana majlis yang dinanti-nantikan ini dapat dilaksanakan walaupun terdapat perubahan lokasi pada saat akhir.
FARRIZ mencium dahi isterinya, Erin selepas diijabkabulkan.
“Saya terpaksa menukar lokasi majlis kerana mengenangkan kesihatan datuk dan nenek yang kurang sihat. Jadi, Ahad lepas saya dan suami nekad mengubah perancangan asal kerana perlu mengutamakan keselesaan keluarga,” ujar Erin sambil memberitahu, majlis pernikahannya sepatutnya berlangsung di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur.
Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek yang anggun mengenakan sepasang busana rekaan Azura Couture dan tatarias ringkas kelihatan tenang saat diijabkabulkan.
Erin memberitahu, jantungnya berdegup kencang ketika Farriz melafazkan akad nikah. Apatah lagi statusnya kini sudah bertukar fasa bergelar isteri pada usia muda.
“Selepas ini, saya akan melalui hari-hari baharu bersama Farriz. Saya harap dapat jadi isteri bertanggungjawab,” ujarnya.
Sementara itu, Farriz yang merupakan seorang ahli perniagaan berkata, dia percaya keputusannya memilih Erin sebagai permaisuri hidupnya adalah tepat.
“Di mata saya dia cukup sempurna untuk dijadikan suri hati. Saya harap dia akan menjadi isteri solehah dan memastikan makan dan minum terjaga. Bagi saya, mendirikan rumah tangga itu mudah tetapi untuk mengekalkan institusi kekeluargaan itu memerlukan kerjasama dua pihak.
“Bagaimanapun, saya sudah bersedia menjadi suami dan akan sentiasa berada di sisinya saat susah dan senang,” tutur Farriz.
Farriz berkata, selepas selesai majlis resepsi di kedua-dua belah pihak, mereka bercadang untuk ke Los Angeles, Amerika Syarikat sebagai destinasi bulan madu.
“Insya-Allah pada 24 Oktober ini, kami akan ke Los Angeles dan akan bercuti selama 10 hari di sana. Idea untuk ke Los Angeles hadir secara spontan,” katanya.
Pada majlis yang disaksikan keluarga terdekat, Farriz membawa tujuh dulang hantaran termasuk sebentuk cincin, senaskhah al-Quran, seutas jam tangan, sepersalinan pakaian, beg, set wangian, telekung, sepasang kasut, kek berserta mas kahwin berjumlah RM10,000.
Pihak perempuan pula membalas sembilan dulang hantaran, antaranya sirih junjung, seutas cincin, sepersalinan pakaian, seutas jam tangan, beg dan tali pinggang, set wangian, sepasang kasut dan kek.
Sebelum mengakhiri temu bual dengan kedua-dua mempelai, Erin dan Farriz tidak terlepas daripada soalan perancangan masa depan.
Kata Farriz, dia tidak terburu-buru untuk memiliki cahaya mata dalam masa terdekat.
“Setiap orang yang berkahwin pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri hidup, namun saya tidak terburu-buru untuk memiliki anak kerana itu rezeki daripada Yang Maha Esa,” jelasnya.